
KUALA KEDAH - Kira-kira 55,000 nelayan berdaftar di seluruh negara pada masa kini menerima manfaat daripada insentif sara hidup sebanyak RM200 sebulan yang diagihkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Agihan itu diberikan sebagai insentif kepada golongan sasar itu untuk meringankan beban mereka bagi menampung perbelanjaan seharian.
Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, bantuan yang disediakan oleh kerajaan Pusat di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu memperuntukkan sebanyak RM180 juta dan hingga kini LKIM telah mengagihkan sebanyak RM110 juta.
"Dianggarkan terdapat kira-kira 70,000 nelayan di seluruh negara. Kita telah berusaha habis-habisan mengesan mereka dan sehingga kini berjaya memperoleh 55,000 orang sahaja.
"Kesemua yang dikesan ini terlebih dahulu disahkan layak berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum dibayar elaun sara hidup," katanya ketika ditemui wartawan pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri LKIM negeri di pekarangan pelabuhan LKIM Kuala Kedah di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: