
DUA tahun lagi, Datuk Rosnani Ibrahim, 56, akan melangkah masuk ke dunia persaraan. Namun, hari ini, dia sudah mula nampak sugul. Jika dihitung usianya, Rosnani memang sudah memasuki usia wajib bersara. Tetapi, kecintaannya terhadap kerjaya mendorongnya untuk terus bekerja.
Justeru, walaupun masih berbaki dua tahun untuk terus bekerja, wanita dari Kulim, Kedah itu sudah mula berasa sedih untuk meninggalkan kerjaya yang telah bertapak selama 30 tahun dalam hidupnya. Kerjaya menjaga isu alam sekitar begitu sebati dalam hidup ibu kepada tiga orang anak itu.
Bermula hanya sebagai pegawai biasa, wanita itu kini menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Putrajaya.
Rosnani pernah memberi sumbangan untuk membangunkan program baru iaitu Pengurusan Pembuangan Toksik dan Berbahaya untuk Malaysia. Beliau juga pernah diberi pengiktirafan pada tahun 1998 apabila dilantik menjadi presiden persidangan antarabangsa, Basel Convention On Transboundary Movement of Hazerdous Waste & Their Disposal untuk tempoh dua tahun.
Pada persidangan itu, beliau mempengerusikan rundingan di peringkat antarabangsa untuk mendapatkan kata sepakat masyarakat antarabangsa tentang alam sekitar.
Kata sepakat dicapai bertujuan mengelak negara tertentu mengimport dan mengeksport buangan toksik yang berbahaya sehingga boleh mengakibatkan kerosakan kepada alam sekitar.
Orangnya manis dan lembut. Tetapi apabila mula bersuara mengenai isu alam sekitar, Rosnani bertukar menjadi serius dan bersemangat. Ia begitu jelas tergambar pada wajah wanita gigih itu dalam menyuarakan isu alam sekitar sejak dahulu lagi.
Apabila ditanya mengenai keresahan dan kesedihannya meninggalkan kerjayanya itu, Rosnani memberitahu, beliau terkilan dan masih tidak berpuas hati dengan tahap kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
"Setelah 30 tahun berkhidmat di Jabatan Alam Sekitar, saya dapati kesedaran orang ramai mengenai isu penjagaan alam sekitar masih kurang memuaskan.
![]() |
| ROSNANI IBRAHIM menunjukkan buku untuk guru dan pelajar mengenai kepentingan lapisan ozon di Cheras, Kuala Lumpur. |
"Masih ramai yang mengambil sikap acuh tidak acuh dan tidak bersungguh menjaga alam sekitar," katanya kepada Kosmo! selepas menyempurnakan pelancaran buku bertajuk Ozonaction Education Pack for Secondary Schools - Teacher's Book and Student's Book di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur.
Selain sentiasa mengingatkan orang ramai mengenai usaha sejagat memelihara lapisan ozon, Rosnani juga menyampaikan mesej pendidikan dan maklumat kesedaran tentang pentingnya lapisan ozon kepada guru-guru pada hari tersebut.
Bagi Rosnani, beliau berharap orang ramai terutama generasi muda dapat meneruskan perjuangannya untuk menjaga alam sekitar.
"Buku yang bakal menjadi pembelajaran untuk pelajar sekolah menengah ini diharap dapat menjadi panduan berguna.
"Ia mengandungi maklumat mengenai lapisan ozon dan kesan penipisannya terhadap kehidupan di muka bumi khususnya kepada manusia," katanya.
Ulasnya, kedua-dua buku iaitu satu untuk pelajar dan satu untuk guru dengan tajuk yang sama turut mengandungi aktiviti-aktiviti menarik untuk dijalankan di dalam dan luar bilik darjah.
Jabatan Alam Sekitar dengan menggunakan dana yang diperoleh daripada Tabung Multilateral Protokol Montreal telah mencetak lebih daripada 10,000 naskhah untuk diedarkan ke semua sekolah menengah di Malaysia.
Bercerita lanjut mengenai diri Rosnani, beliau yang berpendidikan dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari sebuah universiti di United Kingdom, pada mulanya berhasrat untuk bekerja dalam bidang tersebut.

Namun, rezeki beliau lebih memihak pada kerjaya di Jabatan Alam Sekitar.
"Susah untuk saya memperoleh pekerjaan dalam bidang kimia pada tahun 1977. Akhirnya, saya ditawarkan bekerja di Jabatan Alam Sekitar.
"Sejak itu, saya mula menjiwai masalah alam sekitar di Malaysia. Kebetulan, saya seorang yang cukup mementingkan kebersihan dan alam sekitar. Jadi, kerjaya ini sangat sesuai dengan diri saya" katanya mengulas kerjaya yang dirasakan sesuai kerana turut mempunyai kaitan dengan bidang kimia.
Misi Rosnani kini adalah untuk menjadi pemimpin mesra alam masa depan yang sentiasa peka dengan isu alam sekitar.
Sebab itulah, Rosnani berharap kemunculan buku-buku itu dapat menyemai kecintaan para pelajar terhadap alam sekitar.
Ditanya, bagaimana cara beliau menyalurkan semangat cintakan alam sekitar kepada anak-anaknya iaitu Nor Aida Ab. Hadi, Arif Ab. Hadi dan Zaid Ab. Hadi?
Rosnani memberitahu, beliau menggalakkan anak-anaknya menanam pokok dan menggunakan barang-barang yang ada untuk dikitar semula.
"Saya juga menasihatkan anak-anak untuk berjimat cermat menggunakan sumber elektrik.
"Jika tenaga elektrik digunakan secara berlebihan, ia boleh merosakkan alam sekitar," katanya yang bersyukur kerana suaminya, Ab. Hadi Rahmat memahami kerjayanya dan sentiasa menasihatkannya agar berjimat cermat dalam penggunaan sumber air.
Rosnani yang terus bersemangat dalam kerjaya itu berharap, selepas persaraannya kelak, beliau dapat meneruskan sumbangan terhadap alam sekitar melalui penglibatannya dalam badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, menurut pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru Malaysia, Cheras, Nur Saidah Nor Mohamed, 26, buku yang diterima itu banyak membantu mereka dalam memahami lapisan ozon.

Saidah yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka memberitahu, buku tersebut mengandungi banyak maklumat berguna.
"Sebagai bakal guru, ia banyak membantu saya memahami alam sekitar.
"Para pelajar sekolah juga mudah memahami buku ini kerana ia disediakan dengan latihan dan aktiviti yang menarik," kata anak ketiga daripada lima beradik itu.
Bagi seorang lagi bakal guru, Cheong Lin Lin, 26, buku itu dapat membantu meningkatkan kesedaran pelajar mengenai isu alam sekitar.
"Buku ini memberi kesedaran kepada kita mengenai tanggungjawab menyelamatkan lapisan ozon dengan menggunakan barangan yang tidak mengandungi bahan pemusnah ozon (ODS).
"Ia juga akan menjadi panduan kepada guru supaya lebih memahami isu penipisan ozon untuk diterjemahkan dan disampaikan kepada pelajar," katanya yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: