Thursday, September 3, 2009

Melodi raya pertama Noryn


NORYN AZIZ ternyata gembira dengan penghasilan lagu raya pertamanya, Sinar Lebaran.


NADA suara Noryn Aziz di hujung talian ceria sekali saat diajak berbicara tentang projek terbarunya. Masakan tidak, projek terbarunya kali ini merupakan julung kali dia merakamkan suara untuk sebuah lagu raya yang sebelum ini dia tidak pernah bermimpi melakukannya.

Karya berjudul Sinar Lebaran sememangnya memberi satu pengalaman baru buatnya sementelah dia bukanlah penyanyi pop yang sering kali berpeluang merakamkan lagu-lagu raya.

Muzik jazz yang diperjuangkan ada kalanya menjadi kekangan buat Noryn untuk menyumbangkan suara menerusi sebuah lagu yang mampu menghiburkan pendengar menjelang Syawal.

Tetapi, setelah mimpinya bertukar realiti dia mengakui berdebar dan dalam masa yang sama gembira menantikan reaksi peminatnya terhadap lagu Sinar Lebaran.

Menariknya, Sinar Lebaran merupakan karya terbaru Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah manakala lirik pula nukilan Siso dari kumpulan Kopratasa.

Berkali-kali Noryn memberitahu, dia berasa cukup bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Pak Ngah yang disifatkannya sebagai seorang yang mudah dan senang sekali untuk bekerja.

“Rakaman lagu tersebut pun tidak mengambil masa yang lama. Dalam tempoh tiga jam sahaja sudah siap. Begitulah mudahnya bekerja dengan Pak Ngah.

“Dia pun banyak beri kebebasan kepada saya untuk mewarnakan lagu Sinar Lebaran itu,” katanya dalam satu perbualan dengan Hits baru-baru ini.

Lagu Sinar Lebaran merupakan projek khas Noryn bersama syarikat rakaman, Suria Records (SRC) dan lagu tersebut dimuatkan dalam album kompilasi lagu raya terbaru, Sinar Lebaran yang kini berada di pasaran.

Menyambung bicara, kata Noryn, peluang yang diberikan SRC adalah secara tidak sengaja kerana kebetulan syarikat itu sedang mencari material terbaru untuk dimuatkan dalam album kompilasi terbaru mereka.

Pada masa yang sama, Noryn mahu merakamkan semula lagu Suara Takbir dengan susunan muzik yang digubahnya sendiri.

“Daripada situ, SRC mencadangkan kepada saya untuk merakamkan sebuah lagu baru moden.

“Kata mereka, buat apa mahu merakamkan semula lagu lama yang sudah berulang-kali dilakukan dan pendengar pula mahu mendengar dendangan penyanyi asal,” ujar Noryn yang begitu menggemari lagu Suara Takbir sejak kecil lagi.

Mengulas mengenai lagu Sinar Lebaran, Noryn optimis, lagu berkenaan mampu memikat dan menangkap telinga pendengar.

Ini kerana jelas Noryn, lagu serta liriknya yang mudah diingati biarpun pertama kali mendengarnya.

Sarat dengan elemen tradisional yang turut disuntik dengan muzik moden, Noryn teruja dan berdebar menantikan reaksi peminat dan pendengar terhadap percubaan pertamanya itu.

“Sejarah juga sudah membuktikan bahawa karya Pak Ngah mudah diterima dengan baik oleh masyarakat.

“Jadi, saya percaya lagu ini akan mendapat tempat di hati pendengar untuk musim raya ini,” ujar pemilik nama penuh Norazmahwati Abd. Aziz ini lagi.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini turut diminta pendapatnya mengenai lagu raya moden yang sukar sekali diterima sekali gus mencapai status malar segar (evergreen) seperti lagu-lagu raya lama.

Noryn menjelaskan, dengan adanya lagu-lagu baru setiap tahun ia mampu melangsungkan hayat lagu-lagu raya biarpun bukan semua mampu diletakkan dalam lagu-lagu yang evergreen.

“Elok juga kalau ada satu dua lagu baru setiap tahun. Ia juga memberikan variasi tetapi saya tahu bukan semua yang mampu diingati untuk jangka masa yang lama.

“Beri peluang kepada lagu-lagu ini dan tidak mustahil ia mampu dikenang dalam tempoh sepuluh hingga 15 tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: