Thursday, September 3, 2009

Kenduri kahwin secara gotong royong


ZILA dan Along Cham rancang kahwin tahun depan.


BIASANYA golongan artis mengadakan majlis perkahwinan atau resepsi mereka dalam suasana yang gilang gemilang seperti di hotel-hotel mewah dengan dihadiri oleh ramai sanak saudara dan kenalan masing-masing.

Bagaimanapun, bagi pasangan artis Zila (peserta Akademi Fantasi 4), dan Along Cham (Raja Lawak 2) bukan sahaja tidak mahu majlis perkahwinan mereka diadakan secara besar-besaran.

Sebaliknya, mereka mahu majlis perkahwinan mereka pada awal tahun depan diadakan di kampung masing-masing di mana segala persiapannya dilakukan secara gotong-royong oleh sanak saudara dan orang-orang kampung.

"Kalau boleh kami mahu majlis perkhawinan kami itu nanti diadakan secara sederhana sahaja. Kenduri itu akan diadakan di kampung saya di Felda Lui Selatan, Negeri Sembilan dan di kampung bakal suami saya di Johor Jaya.

"Ia diadakan macam kenduri yang biasa diadakan di kampung. Misalnya, soal masak memasak akan kami lakukan secara gotong-royong. Cara itu bukan sahaja menjimatkan belanja.

"Bahkan pada masa yang sama mengeratkan lagi hubungan sesama kami seluruh kampung," katanya ketika ditemui Hits pada pelancaran Astro Raya Screening 2009 di Rumah Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada pertemuan itu, Zila ditemani oleh tunangnya, Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad yang merupakan finalis pertandingan Raja Lawak musim ke-2 anjuran Astro.

Meskipun merancang mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana tetapi pasangan itu khabarnya sudahpun membuat persiapan lebih awal termasuklah menyediakan barang-barang untuk hantaran majlis bersejarah mereka.

"Pihak lelaki akan menghantar tujuh dulang hantaran, manakala pihak saya pula akan membalasnya dengan sembilan dulang. Majlis perkahwinan akan diadakan pada awal tahun depan. Tarikhnya kami akan diumumkan kemudian.

"Jumlah wang hantaran pula buat masa ini kami memang tidak mahu umumkan, begitu juga dengan jumlah mas kahwin. Buat masa ini, kami masih lagi membuat persiapan majlis itu secara berperingkat-peringkat," ujarnya.

Zila atau Nur Azilah Seeron, menyatakan, dia dan Along Cham merancang untuk menamatkan zaman bujang mereka pada awal tahun depan selepas bertunang pada 9 Disember tahun lalu.

Ketika ini, kata Zila, dia dan Along Cham sibuk dengan kerjaya mereka terutamanya dalam bidang lakonan termasuklah memenuhi undangan rakaman pelbagai rancangan berkonsepkan Hari Raya Aidil Fitri.

"Selain memenuhi undangan menyanyi pada majlis-majlis makan malam, saya juga semakin aktif dalam bidang lakonan. Ramai penerbit dan pengarah yang memberi kepercayaan kepada saya dalam bidang lakonan.

"Saya baru sahaja habis penggambaran telemovie berjudul Habibi Mawi Aidil Fitri yang diterbitkan sendiri oleh Mawi. Dalam telemovie itu, saya berlakon dengan Mawi dan ia akan ditayangkan di Astro Ria pada 20 September ini.

"Selain itu, saya juga baru habis menjalani penggambaran drama berjudul Aku Budak Minang. Dengan adanya tawaran berlakon dan menyanyi, saya agak sibuk sepanjang bulan Ramadan ini," katanya yang jarang berjauhan dengan tunangnya itu.

Biarpun sibuk dengan bidang nyanyian dan lakonan, tetapi Zila dan tunangnya tetap tidak mahu melepaskan peluang berbuka puasa bersama bagi mengeratkan lagi perhubungan mereka.

Pada 1 Ramadan yang pertama baru-baru ini, penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu irama Malaysia itu telah berkunjung ke rumah keluarga Along Cham di Johor untuk berbuka puasa bersama mereka.

"Peluang itu secara tidak langsung akan dapat memperkenalkan lagi antara saya dengan keluarga Along. Banyak yang saya pelajari daripada mereka. Ibu Along ada beritahu saya, makanan kegemaran tunang saya itu ialah daging masak asam pedas," ceritanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: