Thursday, September 10, 2009

Kemeriahan di pusat bandar Jeddah


BEBERAPA orang beratur untuk membeli makanan bagi berbuka puasa di Jeddah pada Isnin lalu.


JEDDAH - Kawasan Balad di pusat bandar Jeddah, Arab Saudi yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi menjadi lokasi popular di kalangan penduduk tempatan serta pelancong setiap kali bulan Ramadan tiba, lapor sebuah akhbar semalam.

Balad bukan sahaja menawarkan pelbagai barangan tetapi turut terkenal sebagai lokasi beraneka kuih dan hidangan tradisi yang tidak terdapat di mana-mana tempat di Jeddah.

"Semua ada di Balad. Kawasan ini juga bersejarah. Anda boleh membeli barangan puak Badwi, barangan moden, barangan mahal dan juga barangan berpatutan," kata seorang warga India, Shaqeel Akram.

Lelaki itu dan keluarganya gemar berkunjung ke kawasan Bab Makkah di Balad untuk membeli rempah ratus dari India selain melawat Jalan Qabil untuk membeli barang kemas.


SEORANG peniaga menggoreng hati di pusat bandar Jeddah, pada Isnin lalu.


Seorang peniaga, Helmi Salam Al-Jabri memiliki sebuah gerai menjual manisan dan hati goreng di kawasan Bab Makkah.

"Saya membuka gerai pada pukul 10 malam setiap hari dan menutupnya apabila kebanyakan barangan habis dijual pada waktu sahur. Bulan Ramadan penuh sesak dengan pengunjung terutamanya pada hari puasa yang ke-20," katanya.

Balad turut terkenal sebagai lokasi santai di kalangan warga asing termasuk Filipina, kata Adullah Sierra yang berhijrah ke Arab Saudi dari negara Asia Tenggara itu.

Namun, bagi rakyat tempatan, Mona Al-Zahrani, tarikan utama kawasan itu ialah beraneka kuih tradisi yang dijual pada bulan Ramadan.

"Saya jarang datang ke sini. Namun, saya akan berkunjung ke Balad pada bulan Ramadan kerana di sini terdapat banyak hidangan tradisi yang tidak dijual di tempat lain di Jeddah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: