Sunday, September 27, 2009

Hari lebaran erat persaudaraan

Hari ini genap seminggu umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kemeriahannya masih terasa dan hari ini juga, kebanyakan penghuni kota berpusu-pusu pulang ke rumah masing-masing selepas berada di kampung halaman meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa bersama keluarga tercinta.

Sewajarnya, sambutan hari raya ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama bangsa serta agama yang sedia terjalin dengan saling mengunjungi rumah saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga.

Jangan hendaknya selepas pulang ke kota dan sudah kembali bertugas, amalan mulia ini ditinggalkan. Lagipun, tempoh untuk menyambut Aidilfitri adalah selama sebulan dan penuhilah waktu yang terluang pada hujung minggu ini dengan beraya bersama keluarga terutama ke rumah keluarga terdekat.

Ini penting kerana masa berlalu begitu cepat dan anak-anak semakin membesar. Jika tidak mengunjungi rumah keluarga terdekat, dikhuatiri anak-anak kita tidak mengenali saudara-mara dan menjadikan ikatan kekeluargaan itu semakin longgar dan 'jauh'.

Setiap kali hari raya, sudah pasti sesiapa sahaja khususnya mereka yang sudah menjangkau usia akan terkenang zaman kanak-kanak ketika meraikan hari lebaran. Tidak terkecuali kepada Mat Spek yang menjadikan hari yang mulia ini untuk 'mengumpul' wang dengan beraya dari rumah ke rumah walaupun pada jarak yang agak jauh.

Kami beraya secara berkumpulan dengan menaiki bas ke kawasan perkampungan. Agak nakal juga, kami memilih rumah yang mempunyai potensi dapat duit raya yang banyak. Bagaimanapun, nilai 20 sen pada zaman kanak-kanak dulu sudah dianggap besar.

Berlainan sekali dengan kanak-kanak zaman sekarang, tiada lagi wang syiling untuk dijadikan angpau raya malah mereka hanya mengenal wang kertas yang sekurang-kurangnya berwarna hijau atau merah.

Pada masa sekarang, seseorang kanak-kanak mampu memperoleh wang kutipan raya mencecah ratusan ringgit.

Dalam hal ini, sudah sewajarnya wang itu dipantau supaya anak-anak kita tidak joli wang tersebut. Sebaik-baiknya mereka digalakkan menabung dalam bank.

Ketika berada di kampung halaman, Mat Spek agak terkejut melihat pemandu kenderaan yang memecut laju di kawasan bandar pada hari kebesaran umat Islam ini. Ada yang tidak kisah langsung dengan kehadiran beratus-ratus kereta yang bersesak-sesak ke destinasi tertentu.

Terfikir sejenak Mat Spek, mungkin juga selepas syaitan dan iblis bebas setelah dibelenggu pada bulan puasa, makhluk halus itu segera menyelinap memasuki dalam jiwa pemandu terbabit hingga manusia dilihat berlagak macam syaitan.

Selepas kita menikmati pelbagai juadah yang enak lagi berlemak dan berminyak, eloklah juga kita 'rehatkan' semula enjin perut kita dengan berpuasa enam pada bulan Syawal ini. Ganjarannya sungguh besar iaitu berpuasa seperti selama setahun selepas menunaikan puasa di bulan Ramadan lalu.

Elok juga kita jangan melengah-lengahkannya kelak akan berasa malas. Sebaik-baiknya kita ajak sama isteri dan anak-anak berpuasa. Ada kenalan Mat Spek yang agak uzur sebelum ini, kelihatan lebih sihat sekarang selepas berpuasa terus pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan lalu.

PILIHAN RAYA DUN BAGAN PINANG

Saban hari, kita membaca dalam akhbar mengenai calon yang bakal diletakkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri kawasan Bagan Pinang di Port Dickson, Negeri Sembilan pada pilihan raya kecil nanti.

Mat Spek melihat seolah-olah ada ‘kemelut’ dalam membuat pemilihan calon yang difikirkan sesuai.

Biar apapun, kita seharusnya memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan dalam membuat keputusan untuk memilih calon yang layak dan lebih penting memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

Apa yang pasti, pengumuman calon BN untuk pilihan raya kecil ini yang dijadual pada minggu ini, tidak mencalar kesetiaan dan komitmen semua ahli serta jentera parti bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti kerajaan dan UMNO khususnya.

Mat Spek berharap tidak ada perbuatan sabotaj dan protes di kalangan jentera parti dalam kerja-kerja kempen nanti sebaliknya mereka perlu bersatu hati dengan menanam semangat kental untuk mengekalkan kerusi milik UMNO itu daripada jatuh ke tangan pembangkang.

Kemenangan BN pada pilihan raya kecil ini begitu bermakna sekali selepas tewas dalam beberapa pilihan raya kecil lalu.

Pilihan pengundi yang berpihak kepada BN adalah satu petanda sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu mendekati hati rakyat dalam apa juga dasar dan program yang dirancang.

Mat Spek percaya pengundi di Bagan Pinang tidak mengecewakan kerajaan diterajui parti BN pada pilihan raya kecil kali ini. Mereka juga tidak ada sebab untuk menolak BN.

Diharapkan para pengundi dapat mengenal yang mana satu intan dan kaca. Buatlah pertimbangan diri secara waras dan tidak sesekali mengikut emosi dalam membuat pemilihan wakil rakyat yang akan mewakili mereka nanti.

Di kesempatan sempena bulan yang mulia ini, Mat Spek menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat dosa dan kesalahan dalam menyusun kata-kata di ruangan ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: