Wednesday, September 2, 2009

Derita penjamin di Balkan

Penjamin pinjaman kewangan di Balkan kini menghadapi masalah membayar semula hutang peminjam.


AMELA OLOVCIC (kiri) kerani kewangan di pertubuhan kredit mikro Sunrise berbincang dengan salah seorang pelanggan yang ingin membuat pinjaman.


APABILA Alma, ibu kepada dua orang anak bersetuju menjadi penjamin salah seorang rakan sepejabatnya, dia tidak menyangka bahawa suatu hari nanti dia terpaksa membayar semula hutang tersebut. Namun, perkara itulah yang menimpa diri wanita yang bekerja sebagai seorang pentadbir di salah sebuah sekolah menengah di Sarajevo, Bosnia itu.

Dia adalah antara 100,000 penjamin Bosnia yang terpaksa membayar semula pinjaman yang dilakukan oleh kawan-kawan atau saudara-mara yang berusaha membina semula kehidupan selepas dilanda peperangan pada tahun 1992 hingga 1995. "Saya membayar semula hutang yang dibuat oleh seorang bekas rakan sepejabat yang telah meninggalkan pekerjaan dan saya tidak lagi bersua dengannya," jelas Alma, 52, yang berasa terlalu aib untuk memberitahu nama keluarga.

"Alangkah baiknya sekiranya mimpi buruk ini berakhir," kata Alma. Dia menyewakan pangsapurinya untuk mendapatkan pendapatan tambahan kerana dua pertiga daripada gajinya diperuntukkan bagi pinjaman itu.

Murah hati

Setelah Yugoslavia jatuh pada tahun 1990-an, ramai yang bersedia menjadi penjamin untuk kenalan tanpa menyedari bahawa tindakan itu bukan lagi satu proses formaliti seperti zaman sosialis dahulu. Hari ini sifat murah hati yang melonjakkan semula Balkan selepas Perang Dunia Kedua menghimpit orang ramai merasai impak krisis ekonomi dunia.

Pada masa dahulu, pekerjaan terjamin sehingga persaraan dan mata wang asing dinar sering mengalami pecahan unit kecil yang memudahkan permohonan pinjaman. Dengan pemilikan hartanah yang rendah, penggunaan penjamin dilihat sebagai mekanisme terbaik. Walaupun pegawai kerajaan menyatakan bahawa jumlah keseluruhan pemiutang di Bosnia adalah rendah berbanding dengan negara Balkan lain, sektor mikro kredit tetap menghadapi kerugian ketika dunia dilanda krisis kewangan.

Ini meninggalkan kesan kepada golongan pertengahan dan kelas pekerja yang bergantung penuh kepada pinjaman seumpamanya. Perkara itu menambah lagi ketidakstabilan negara yang sudah pun merasai masalah pembahagian mengikut etnik. "Sebelum ini, kita tidak pernah mengalami kekurangan peluang pekerjaan atau ditimpa kemiskinan seperti hari ini," ujar Milan Seselj, seorang pegawai eksekutif di sektor kredit mikro di mana pinjaman diberi jaminan eksklusif.

Kerjaya

Syarikatnya, Sunrise di Sarajevo akan menyaksikan kerugian pada tahun ini buat pertama kali. Negara-negara jiran seperti Croatia dan Serbia pernah menghadapi masalah pelanggan yang tidak boleh dipercayai dan penjamin yang tidak berpuas hati.

Bagaimanapun, semua itu ditangani dengan melancarkan kawalan peminjam yang lebih ketat dan mekanisme perlindungan yang jauh lebih baik.

"Sukar untuk mencari seorang penjamin di Serbia kerana ramai daripada masyarakatnya dihimpit bayaran pinjaman yang tinggi dan segelintir pula tidak layak untuk menjadi penjamin," tutur kerani di bank Belgrade.




Di Bosnia, sebanyak 100,000 nyawa telah diragut akibat peperangan dan sebilangan besar harta benda musnah telah membawa kepada pergantungan hidup antara satu sama lain.

Sektor kredit mikro ditubuhkan dan dikawal selia oleh Bank Dunia dan beberapa orang penderma antarabangsa. Ia menerima pujian dan penghargaan daripada banyak pihak kerana membantu mengasaskan semula perniagaan-perniagaan kecil.

Kerugian

Lebih 100,000 peluang pekerjaan juga cuba diwujudkan sekali gus membolehkan pembukaan kedai menjual cenderamata, restoran, bengkel pengeluaran makanan, ladang dan bengkel memproses kayu. Tetapi, kejatuhan blok ekonomi dunia menyukarkan keadaan.

"Pelanggan-pelanggan kami berhutang dalam jumlah yang besar dan sebarang perubahan pada pengaliran mata wang di pasaran terbuka memberi tekanan langsung kepada bisnes," kata Seselj yang merupakan Timbalan Pengarah Sunrise dan menyediakan pinjaman kewangan kepada perniagaan kecil-kecilan.

Bunuh diri

Sektor kredit mikro itu melihat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada tahun-tahun lalu dalam lingkungan 40 hingga 50 peratus. Pada separuh pertama tahun 2009, kerugian sebesar empat peratus dijangkakan buat pertama kali selepas ditubuhkan. Ekonomi Bosnia merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 5.5 peratus pada tahun 2008 dan enam peratus pada tahun 2007.

Kali ini pula, pertumbuhan itu dipercayai akan mengecil sebanyak 3.3 peratus berdasarkan kepada anggaran yang dikeluarkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Pusat Bosnia.

"Memang susah tapi kita perlu teruskan," ujar seorang pelanggan Sunrise, Munira Babic.


MUHAMEDALI HOSI dapat meneruskan perniagaan kedai kulitnya dengan pinjaman kredit mikro.


Ramai peminjam mengambil beberapa jenis pinjaman di organisasi kredit mikro. Organisasi itu pula tidak termaktub bagi memaklumkan perkara ini kepada pendaftar kredit pusat sehinggalah beberapa bulan lalu.

Oleh itu, hanya peminjam yang mengetahui betapa pedih untuk membayar semula kesemua pinjaman tersebut.

Selain pinjaman sendiri, ramai yang menjadi penjamin akhirnya terperangkap dalam satu bulatan tanpa kesudahan. Di Serbia, ada sesetengah peminjam membunuh diri kerana tidak mampu membayar semula pinjaman. Kejadian itu menyebabkan pihak tertentu menggesa penggubalan undang-undang bagi melindungi penjamin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: