Wednesday, September 2, 2009

Bayar 20 sen guna beg plastik

Di Pulau Pinang orang ramai tidak digalakkan menggunakan plastik ketika beli-belah dan pembungkus makanan polisterin. Mengapa?




JANGAN terkejut jika anda diminta membayar RM0.20 sen semasa membeli-belah di mana-mana pasar raya di Pulau Pinang. Ia bukanlah harga untuk beg plastik tetapi itulah nilai yang terpaksa anda bayar kerana menggunakan bahan yang tidak boleh dikitar semula itu.

Sejak 1 Julai lalu kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan hari Isnin pertama setiap bulan sebagai hari tanpa plastik. Sebagai ganti, orang ramai digalakkan membawa beg sendiri semasa membeli-belah atau menggunakan beg mesra alam.

Sokongan

Menariknya, langkah ini turut disokong oleh kira-kira 500 peniaga termasuk pemilik pasar raya besar di Pulau Mutiara walaupun mendapat bantahan terutama daripada pengilang plastik.




Mulanya, tindakan yang diperkenalkan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia itu dilihat janggal kerana menyusahkan pelanggan yang rata-ratanya terbiasa dengan budaya beg plastik ketika membeli- belah.

"Mengapa perlu bayar 20 sen sedangkan saya membeli-belah ratusan ringgit setiap minggu di sini," soal suri rumah, Nor Rehan Abd. Razak.

Bagaimanapun setelah dijelaskan oleh juruwang di kaunter, beliau menyambut baik usaha itu dan menolak beg plastik sebaliknya meminta digantikan dengan kotak kosong yang disediakan pasar raya itu.

Selepas sebulan diperkenalkan ia mendapat maklum balas positif daripada orang ramai terutama generasi muda termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

"Program ini memang cool saya sokong sepenuhnya walaupun ramai yang merungut tetapi inilah tindakan sebenar untuk selamatkan bumi kita," ujar pelajar sekolah, Raymond Tan, 17.

Polisterin

Bagi Siti Yusliza Zainal, 21 pula, terlalu banyak berkempen tanpa tindakan juga tidak ada gunanya. Bagi Siti Yusliza, usaha ini wajar dicontohi.


PLASTIK bukan saja tidak boleh dikitar semula malah memberi kesan pada alam sekitar untuk jangka masa panjang.


Kesungguhan kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang 'negeri hijau' bukan omong kosong apabila pada bulan yang sama ia memutuskan larangan menggunakan pembungkus makanan polisterin pada semua program rasminya.

"Penggunaan bekas pembungkus makanan tersebut secara tidak terkawal menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan larangan ini sebagai langkah memerangi demam denggi," ujar Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Phee Boon Poh.

Beliau berkata, penggunaan pembungkus polisterin bukan sahaja memudaratkan kesihatan pengguna, tetapi juga mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar.

"Tiada lagi penggunaan polisterin selepas ini dan diharap tindakan sama dilakukan oleh pihak swasta dan orang ramai, sebaliknya kita galakkan penggunaan bahan lain misalnya piring kertas.

"Ia mudah dibawa tetapi sikap pengguna yang gemar membuang bekas makanan ini merata-rata, bila hujan ia menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Beg kitar semula

Menurut Boon Poh, dua pendekatan yang diperkenalkan kerajaan negeri itu semakin diterima apabila beberapa penganjuran tidak lagi menggunakan bekas polisterin, manakala orang ramai mesra dengan budaya membawa beg kitar semula ketika membeli-belah.


PENGGUNAAN beg kertas antara pilihan lain untuk menggantikan beg plastik.





Katanya, bayaran 20 sen yang dikenakan kepada pelanggan yang terlupa menyediakan beg sendiri dan memerlukan beg plastik sebenarnya akan disumbang kepada Program Antimiskin Tegar.

"Duit itu bukan masuk kocek kerajaan, kutipan diambil oleh pasar raya yang terlibat untuk didermakan kepada rumah-rumah kebajikan di negeri ini.

"Pada dasarnya, ada beberapa pengusaha pasar raya besar turut memberi reaksi positif dan berminat untuk turut serta dan kami sedang memperincikan perkara ini," ujarnya.

Jelas Boon Poh, program itu bukan bermakna kerajaan negeri mengharamkan terus beg plastik sebaliknya mengurangkan jumlah penggunaanya sahaja, malah menggalakkan sekiranya beg plastik sama diguna oleh orang ramai semasa membeli-belah berulang-ulang.

"Hasrat kita seterusnya ialah memanjangkan lagi program ini mungkin kepada dua hari tanpa plastik atau minggu tanpa plastik.

"Jika ia tidak dimulakan sekarang, bila lagi. Walaupun tiada paksaan, tetapi kerajaan negeri berharap penduduk negeri ini dapat memainkan peranan masing-masing agar alam sekitar yang ada boleh diwarisi dengan selamat kepada generasi seterusnya," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: