Monday, August 17, 2009

Produk TaHa untuk warga kota


MOHAMED IZAM menunjukkan produk TaHa di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji melalui anak syarikatnya yang terlibat dalam bidang makanan dan minuman, TH Global Services Sdn. Bhd. (TH Global), menyasarkan jualan bagi produk terbarunya, perencah pra campuran yang berjenama TaHa, akan mencecah sehingga RM500,000 dalam masa setahun.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TH Global, Mohamed Izam Mohamed Yusof, sasaran itu mampu dicapainya memandangkan sambutan yang diterima kini amat menggalakkan ekoran gaya hidup rakyat negara ini pada masa sekarang yang mahukan masakan tempatan enak yang mudah dan ringkas disiapkan.

"Pada masa sekarang, produk TaHa yang mula diperkenalkan sejak pertengahan Mei lalu telah dijual di lebih 150 kedai utama di Lembah Klang.

"Sehubungan itu, kami menyasarkan jumlah tersebut akan meningkat kepada 1,000 kedai di seluruh negara, khususnya di bandar-bandar utama ekoran sambutan orang ramai terhadap produk tersebut yang berkualiti dan halal," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, kumpulan sasaran produk tersebut ialah warga kota yang kesuntukan masa untuk memasak serta golongan pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di perantauan yang inginkan masakan tempatan yang mudah disediakan.

Perencah pra campuran TaHa yang ditawarkan dalam bentuk serbuk itu terdiri daripada lima jenis hidangan popular iaitu tom yam, asam pedas, rendang ayam, kari ikan dan sambal tumis.

Katanya, setiap satu hidangan makanan itu boleh dinikmati lima oleh orang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: