Saturday, July 25, 2009

Silat tanpa ilmu batin

Kemunculan pelbagai jenis seni mempertahankan diri di negara ini menyaksikan silat semakin bergelut untuk terus dipraktikkan oleh generasi muda. Bagaimanapun, perkembangannya di peringkat Nusantara dan dunia nyata lebih membanggakan.




"TIDAK akan Melayu hilang di dunia." Demikian kata-kata hikmat yang keluar dari mulut Laksmana Hang Tuah.

Pahlawan yang menjadi legenda dalam sejarah Melayu itu merupakan seorang yang memiliki pelbagai ilmu persilatan yang tinggi tanpa tolok bandingnya.

Hakikatnya, silat bukan hanya ilmu mempertahankan diri tetapi dianggap sebagai lambang keperibadian bangsa dan seni budaya Melayu yang sudah sebati sejak zaman dahulu lagi.

Seni mempertahankan diri itu juga memainkan peranan yang cukup besar untuk membentuk angkatan pertahanan negara sejak kerajaan Melayu Langkasuka, Gangga Negara, Champa, Kemboja, Patani, Beruas, Minangkabau, Srivijaya, Majapahit, Melaka dan lain-lain negeri yang terletak di dalam Kepulauan Melayu, Nusantara.

Fakta sejarah menceritakan, Sultan Muhammad Shah (Sultan Melaka Ketiga) pernah melantik seorang rakyat Champa sebagai pegawai kanan istana kerana memiliki kemahiran dalam ilmu persilatan.

Sehingga kurun ke-19, pendidikan silat terus berkembang dan berjaya melahirkan ramai pemimpin perang Melayu untuk menentang penjajah seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Sago, Tok Janggut, Raja Haji, Mat Salleh dan sebagainya.

Pada zaman pemerintahan komunis pula, dipertemukan dengan tokoh seperti Kiai Salleh, Kiai Osman, Kiai Shamsuddin Abbas dan sebagainya.

Pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, ilmu persilatan tetap disampaikan kepada masyarakat melalui pendidikan silat gelanggang bangsal yang dikendalikan oleh guru-guru silat yang mahir.

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, terdapat ratusan aliran perguruan silat di Malaysia.


PESILAT Malaysia, Emy Latip (kiri) melepaskan tendangan ke arah pesilat Vietnam, Nguyen Thi Nhu Quynh di Kuala Terengganu.


Bagi tujuan membina, menyusun dan mengurus dengan baik, kerajaan telah mengarahkan pengamal-pengamal silat mewujudkan persatuan dan didaftarkan.

Usaha itu telah melahirkan Majlis Seni Silat Malaysia pada tahun 1983 sebelum ditukar kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), tiga tahun kemudian.

Pesaka dianggotai oleh empat persatuan silat iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayung Malaysia, Silat Lincah Malaysia dan Silat Cekak Malaysia.

Sementara itu, perguruan silat lain menjadi anggota Pesaka negeri yang diwujudkan di setiap negeri.

Kini, silat yang suatu masa dahulu hanya diamalkan oleh dunia Melayu di rantau ini telah berkembang dengan meluasnya sehingga ke seluruh pelosok dunia.

Melalui Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat), silat terus mengembara ke serata dunia menerusi penganjuran pertandingan seperti Kejuaraan Pencak Silat Sedunia, Sukan SEA dan Kejuaraan Pencak Silat Eropah

Bagaimanapun, silat untuk tujuan pertandingan tidak boleh menggunakan unsur-unsur ilmu kebatinan.

Yang Dipertua Persatuan Seni Silat Negeri Terengganu (Pesilat), Datuk Zubir Embong berkata, silat harus memainkan peranan serampang dua mata.

"Kita perlu melihat silat dalam dua konteks yang berbeza iaitu bagi tujuan penyuburan budaya bangsa Melayu dan kemajuan sukan.

"Jika ia hanya menjadi ilmu mempertahankan diri, ia akan mendatangkan kebosanan kepada pengamal-pengamal silat," katanya ketika ditemui Kosmo! pada Kejuaraan Pencak Silat Jemputan ASEAN Pertama Terengganu-Malaysia 2009 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Terengganu baru-baru ini. Kejuaraan itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Said.


SENI mempertahankan diri silat tetap subur di negara ini.


Zubir berkata, silat akan terus berkembang di negara ini meskipun seni mempertahankan diri itu mengalami transformasi dalam aspek peranan dan makna sosiobudaya Melayu. Katanya, transformasi itu perlu agar ia sesuai dengan peredaran zaman dan keperluan masyarakat.

Sehingga hari ini, masih terdapat banyak pusat perguruan yang mengajar ilmu persilatan kepada individu yang berminat termasuk remaja.

Bagaimanapun, guru-guru silat hari ini tidak lagi mengajar ilmu-ilmu kebatinan seperti mana yang diamalkan oleh tokoh-tokoh perjuangan pahlawan Melayu zaman dahulu.

Guru-guru silat hari ini lebih banyak tertumpu pada ilmu persilatan untuk tujuan pertandingan.

Hari ini juga menyaksikan seni mempertahankan diri yang menjadi tradisi orang Melayu akan dikuasai negara-negara yang tidak mempunyai latar belakang ilmu persilatan.

Buktinya, Vietnam kini muncul sebagai satu kuasa baru dalam sukan silat yang suatu ketika dahulu hanya dikuasai oleh negara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Mengulas lanjut, Zubir berkata, ada kemungkinan seni budaya masyarakat Melayu ini akan hilang identitinya jika tiada tindakan segera diambil oleh pemimpin-pemimpin negara.

Di Singapura, silat lebih diminati berbanding seni mempertahankan diri yang lain seperti taekwondo dan karate.

Pengurus dan Jurulatih Pasukan Silat Singapura, Abdul Raziz Mohd. Hussain, 54, berkata, setakat ini program pembangunan silat di negara itu berjalan lancar.

Selain mendapat peruntukan kerajaan, pengamal-pengamal pusat perguruan silat di Singapura juga aktif menjalankan tanggungjawab mereka untuk menanam minat generasi muda terhadap silat.


ABDUL Rahin memukul gong bagi merasmikan Kejuaraan Pencak Silat Jemputan ASEAN Pertama di Kuala Terengganu.





Katanya, terdapat lebih daripada 30 pusat perguruan yang aktif di negara itu.

Bagaimanapun, Singapura juga berdepan dengan senario yang sama dengan Malaysia apabila menghadapi kesukaran untuk melahirkan pesilat yang hebat bagi mengekang penguasaan Vietnam.

"Sistem pendidikan di Singapura menjadi faktor utama yang menghalang usaha kami untuk melahirkan pesilat yang baik di peringkat antarabangsa.

"Selalunya, pesilat-pesilat di Singapura lebih banyak memberi tumpuan terhadap pelajaran sebaik sahaja mencapai usia 17 tahun," katanya.

Bagaimanapun katanya, silat tetap akan subur di Singapura selagi wujudnya pusat-pusat perguruan yang mengambil inisiatif sendiri untuk mengajar ilmu persilatan.

Sementara itu, di Brunei, silat masih lagi menjadi amalan masyarakat Melayu di negara itu.

Pengurus Pasukan Silat Brunei, Mohd. Rushdi Abdullah berkata, silat masih menjadi antara seni mempertahankan diri nombor satu di Brunei.

"Prestasi pasukan silat kami semakin menunjukkan peningkatan selepas kami menerima sentuhan jurulatih dari Indonesia pada tahun 2008 lalu.

"Silat yang diajar kini tidak menonjolkan ilmu kebatinan kerana dalam pertandingan, pesilat perlu mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan," katanya.

Mohd. Rushdi berkata, orang Melayu di rantau Nusantara tetap akan menguasai ilmu persilatan meskipun silat telah tersebar luas ke Eropah.

Katanya, berbanding negara-negara yang tidak mempunyai latar belakang silat yang hanya belajar untuk tujuan pertandingan, negara-negara di kepulauan Melayu Nusantara belajar silat untuk mempertahankan ilmu kepahlawanan atau seni perang Melayu ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: