![]() Dayang Nurfaizah |
KETIKA wanita dari Bumi Kenyalang ini hadir untuk mencuba nasib dalam dunia seni, dia boleh dikira masih hingusan. Sebaik selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia membuat keputusan untuk terbang ke bumi Semenanjung bagi mencari ruang bergelar penyanyi.
Imejnya ketika itu amat berbeza dengan Dayang Nurfaizah sekarang. Di awal kemunculan, wanita yang bakal meraikan ulang tahun ke-28 tidak lama lagi kelihatan keanak-anakan dengan imej rambut pendek. Dia juga tidak petah berbicara seperti sekarang kerana Dayang yang dulu seorang yang cukup pemalu. Sepatah ditanya, sepatah juga jawapan yang diterima seolah-olah mulutnya dipenuhi emas.
Namun itu kisah 10 tahun lalu, sedar tak sedar sudah sedekad penyanyi yang mula melonjak namanya dengan lagu berhantu Seandainya Masih Ada Cinta itu bergelumang dalam dunia nyanyian. Tempoh itu ternyata mematangkan wanita berkulit hitam manis ini. Sedikit demi sedikit perubahan mula dilihat pada diri Dayang Nurfaizah Awang Dowty. Dari imej keanak-anakan, dia kini semakin feminin dan menawan, malah mulutnya tidak lagi terkunci rapat seperti dulu.
Dayang tidak silap percaturan saat dia memilih untuk serius bergelar penyanyi. Dalam tempoh sedekad, dia berjaya meletakkan namanya sebaris penyanyi popular tanah air yang lain. Kerjaya nyanyiannya menunjukkan perkembangan positif, malah beberapa trofi berjaya dirangkul sepanjang pembabitannya dalam dunia nyanyian.
Walaupun wajahnya jarang menghiasi dada akhbar mahupun majalah sejak akhir-akhir ini, gadis ini tatkala ditemui pada majlis minum petang di Hard Rock Cafe berkata, undangan persembahan untuknya masih lagi kencang.
“Memang wajah kurang muncul di akhbar atau majalah, tetapi ada kala naik semput juga kerana banyak undangan yang perlu dipenuhi. Sama ada undangan persembahan dan kadang kala terbabit dengan tugas sebagai Duta Perlindungan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah. Saya juga salah seorang artis untuk Selebriti Sokongan ‘Red Ribbon’ Malaysia Aids Council,” katanya yang bakal mengadakan showcase buat pertama kalinya di Hard Rock Cafe pada 19 Julai ini sempena sambutan ulang tahun ke-28.
Aktiviti itu sudah menjadi rutin anak anak ketiga dari empat beradik ini sejak lima tahun lalu. Saban tahun, setiap kali menjelang sambutan ulang tahunnya, wanita genit ini mula sibuk merangka showcase khusus buat peminat setianya. Lazimnya persembahan diadakan di Planet Hollywood, bagaimanapun apabila premis berkenaan ditutup baru-baru ini, Dayang bingung kerana peminat sudah mula bertanya mengenai acara wajibnya itu. Mujur, dengan adanya Hard Rock Cafe, aktiviti berkenaan masih lagi dapat diteruskan.
“Alhamdulillah aktiviti ini sudah menjadi satu acara tahunan sejak 2003. Dayang tidak sabar menantikan tarikh itu kerana buat pertama kalinya Dayang akan membuat persembahan di Hard Rock Cafe. Selain itu, ini juga kali pertama Dayang meraikan hari lahir pada tarikh sebenar kerana sebelum ini biasanya diadakan lebih awal.
“Lebih menggembirakan lagi, showcase tahun ini juga boleh dianggap sebagai meraikan 10 tahun pembabitan Dayang dalam bidang nyanyian. Dayang akan cuba bawakan kelainan pada persembahan malam itu nanti. Dayang akan membawakan 13 hingga 14 lagu dan mungkin juga lebih khas buat peminat yang masih setia menyokong kerjaya Dayang sehingga kini. Dayang terharu dengan kesetiaan mereka yang sanggup datang dari jauh seperti Singapura, Kuantan, Kuching dan Johor Bahru malah sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menonton persembahan Dayang.
“Dayang akan cuba memberikan persembahan istimewa buat mereka, mungkin pada malam itu Dayang akan menari. Dayang akan menyanyikan lagu daripada album milik Dayang, juga lagu saduran yang diberi nafas baru. Buat pertama kalinya juga, Dayang akan mempersembahkan lagu Luka dengan iringan muzik secara live,” katanya yang akan menggunakan khidmat Jenny Chin sebagai pengarah muzik pada persembahannya nanti.
Khidmat Jenny juga akan digunakan untuk menerbitkan album kelapannya yang kini sedang dalam rangka pembikinan. Dayang berkata, dia selesa bersama Jenny kerana sentuhan komposer itu sudah terbukti menerusi pengalamannya bekerja dengannya, selain Jenny juga memahami cita rasa muzik Dayang.
Bergelumang selama 10 tahun dalam dunia nyanyian juga mematangkan Dayang dari sudut pandangannya mengenai lagu. Jika dulu, dia hanya mengikut cita rasa syarikat rakaman tetapi kini dia berani bersuara menyatakan pendapatnya. Dia mahukan nafas baru untuk setiap album dilahirkan, tidak mahu album kelapannya itu kedengaran seperti album sebelumnya. Penyanyi itu ternyata mempunyai prinsip tetapi malangnya albumnya sejak kebelakangan ini tidak mampu memberi impak sebagaimana di awal kemunculannya dulu.
Bagaimanapun, penyanyi itu menafikan kenyataan berkenaan. Baginya setiap lagu yang terkandung di dalam albumnya mempunyai kekuatan tersendiri malah sepanjang pengalamannya ia diterima baik oleh peminat.
“Dayang tidak pernah merasa terkebelakang kerana peminat sentiasa menyokong. Dayang juga tidak pernah berasa orang tidak minat atau tidak mahu mendengar lagu Dayang kerana bagi Dayang seorang penyanyi itu perlukan perubahan. Tetapi ia perlu dilakukan secara perlahan-lahan supaya peminat dapat terima.
“Mungkin ada yang tidak berapa gemar dengan lagu baru Dayang kerana mereka selesa dengan lagu yang dulu, tapi Dayang pula tidak suka menoleh ke belakang. Disebabkan itu juga, untuk album ke lapan nanti, Dayang mahu gunakan khidmat komposer baru untuk memberikan nafas baru kepada album yang akan berkonsepkan R&B dan Soul itu. Dayang perlu bagi peluang kepada komposer baru kerana kita sebenarnya mempunyai ramai pengkarya muda yang berbakat tetapi mereka tidak tahu ke mana untuk menyalurkan karya dimiliki itu.
“Dayang percaya, kalau kita bantu orang, rezeki kita akan bertambah baik lagi. Namun itu tidak bermakna Dayang mengenepikan komposer lama, mungkin ada khidmat seorang dua yang akan digunakan dalam album baru ini,” katanya yang akan memulakan rakaman pada Ramadan nanti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: