Saturday, July 4, 2009

Hadiah hari jadi Dayang


PENUTUPAN Planet Hollywood sememangnya meninggalkan kesan cukup mendalam buat penyanyi bersuara lantang, Dayang Nurfaizah Awang Dowty (Dayang), 28.
Di pentas itulah Dayang membesar, menitip pengalaman, membaiki kelemahan dan mewarnai persembahan sehingga menjadi penghibur yang dihormati .

Lebih daripada sebuah persembahan sebenarnya, satu jalinan silaturahim terbentuk antara Dayang dan peminatnya setiap kali bertemu di acara Sunday Nite Live.

Justeru, jelas sekali sejak ketiadaan pusat hiburan yang beroperasi di Bukit Bintang itu peminat tidak dapat lagi menyaksikan persembahan terbuka Dayang sebagaimana sebelumnya.

Bagaimanapun, bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-28 pada 20 Julai ini Dayang akan 'menghadiahkan' peminatnya dengan sebuah 'showcase' dinamakan Rock Bersama Dayang@Hard Rock Cafe pada 19 Julai 2009, jam 11 malam.

Menjanjikan persembahan yang berbeza dan luar biasa, Dayang ditemui baru-baru ini berkata, persembahan itu tambah bermakna kerana turut menyambut ulang tahun ke-10 di arena muzik tanah air.

"Pertama kali menyambut ulang tahun bersama peminat pada 2003 dan sejak itu ia menjadi acara tahunan. Jadi setiap tahun peminat pasti akan bertanya di mana majlis diadakan, konsepnya apa dan persembahan yang bagaimana ingin ditampilkan.

"Dulu sewaktu Planet Hollywood masih dibuka, memang tidak ada masalah mencari lokasi. Tapi sejak penutupannya, agak sukar mendapatkan tempat sesuai mengadakan majlis tetapi mempunyai kemudahan untuk mengadakan showcase.

"Sampai saya jadi bingung dan serba-salah apabila peminat dari Johor Bahru, Singapura dan Sarawak asyik bertanya, di mana sambutan ulang tahun saya akan diadakan tahun ini.

"Mujurlah pihak pengurusan di Hard Rock Cafe sudi menaja majlis ini.

"Apa yang menarik mengenai sambutan kali ini, secara kebetulan buat pertama kali saya dapat meraikan hari jadi bersama peminat pada tarikh sebenar kelahiran saya. Jika tidak, dulu tarikhnya tidak terlalu awal pasti lewat.



"Lebih bermakna, majlis ini adalah showcase pertama saya secara solo di Hard Rock," katanya ingin tampil dengan konsep persembahan yang dimuatkan elemen tarian dan belum pernah dilakukannya sebelum ini.

Uniknya mengenai persembahan itu nanti, Dayang akan menyampaikan lagu popular artis tempatan dan antarabangsa yang memberi inspirasi kepada kerjaya nyanyian sepanjang 10 tahun.

Termasuk, membawakan rangkaian lagu popularnya dipetik dari album terdahulu selain mempersembahkan 'single' terbarunya buat kali pertamanya dari album ketujuhnya berjudul 'Dayang Live'.

Persembahan terbahagi kepada dua set itu, akan dipimpin pemuzik handalan negara di bawah pimpinan Pengarah Muzik terkenal Malaysia, Jenny Chin.

Seiring kematangan usia, berbeza dengan Dayang yang dikenali sembilan tahun lalu, dapatlah disimpulkan Dayang jauh lebih matang, berani dan berkeyakinan.

Cara penampilan dan pertuturan, juga sudah banyak berubah. Tidak seperti dulu, berjela soalan diajukan, sepatah dia menjawab. Selain itu, transformasi gadis Bumi Kenyalang ini bergerak seiring dengan imejnya.

Terkenang saat Dayang muncul dengan album Seandainya Masih Ada Cinta, kira-kira 10 tahun lalu. Timbul isu apakah gadis ini mampu bersaing dengan hanya bersandarkan bakat? sedangkan industri ini lebih memihak pada paras rupa.

Namun lihatlah hasilnya sekarang. Dayang bukan saja disenaraikan sebagai artis wanita bersuara hebat, ikon muzik R&B di Malaysia bahkan diberi jolokan Beyonce Knowles kerana kehebatan vokal, 'stail' dan konsep lagu-lagunya.

Menyentuh perkembangan seni, Dayang kini dalam proses mengumpul material untuk pembikinan album studionya yang kelapan.

Mendambakan sebuah album yang lebih R&B dan soul yang memanfaatkan kemampuan vokal sepenuhnya, Dayang akan berkolabosi dengan ramai pencipta muda yang menurut pendapatnya mampu menawarkan idea lebih segar.

"Bermula dengan R&B balada, saya berubah sedikit demi sedikit untuk memartabatkan muzik saya kerana seperti kita tahu pendengar di Malaysia tidak boleh menerima perubahan secara drastik.

"Saya merasakan sudah tiba masanya saya menghasilkan sebuah album yang sememangnya saya idam-idamkan sejak dulu namun, masih boleh dinikmati pendengar.

"Cuma, masalahnya sekarang susah untuk mencari melodi lagu yang sedap. Selain itu, impian saya sempena 10 tahun menjadi penyanyi, sudah tentulah mahu mengadakan sebuah konsert dan berharap ada pihak yang sudi menaja.

"Saya akan pastikan ia menjadi kenyataan walaupun cuma sekali," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: