Saturday, July 25, 2009

Dilema industri muzik

Kemunculan dunia muzik digital menyebabkan lagu-lagu hari ini didengar dan dimuat turun tanpa bayaran. Penggerak industri muzik kini berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk Google, Nokia dan rangkaian laman web sosial untuk mencari jalan penyelesaian.


KELEMBAPAN ekonomi global mengurangkan angka penjualan muzik secara fizikal.


MASALAH cetak rompak tidak terkawal dan pasaran cakera padat yang semakin perlahan meletakkan industri muzik di Asia di bawah tekanan serius. Namun begitu, pakar berharap teknologi dan media sosial mampu mengisi jurang tersebut.

Ketika permintaan terhadap muzik kekal tinggi di seluruh rantau ini, kelembapan ekonomi global telah memacu pengambilan muzik daripada Internet, sekali gus mengurangkan angka penjualan muzik secara fizikal.

"Para pengguna mendengar muzik lebih lama, cuma mereka tidak lagi membayarnya," kata Marcel Fenez, pengamal media dan hiburan dari PricewaterhouseCoopers.

"Kemelesetan ekonomi telah mempercepatkan migrasi kepada dunia digital kerana kandungannya percuma," katanya.

Fenez memberitahu dalam seminar industri Music Matters di Hong Kong bahawa pengedaran muzik di pasaran Asia jatuh sebanyak 9.3 peratus pada 2008, penurunan paling besar pernah dicatatkan industri dalam tempoh lima tahun.

Satu kaji selidik melibatkan lebih 8,000 muda mudi Asia berusia di antara 15 hingga 24 tahun mendapati hanya 11 peratus membayar muzik yang mereka ambil daripada Internet.

Berdepan dengan angka yang begitu rendah, industri kini cuba meneroka bagaimana ia boleh menggunakan teknologi baru, seterusnya mendapat bayaran untuk muzik melalui cara serba baru.

Paul Smith wakil Nokia memberitahu, pengeluar telefon bimbit itu kini menawarkan perkhidmatan muat turun muzik yang disekalikan bersama telefon bimbit.

Daripada membayar untuk setiap lagu, pencinta muzik dibenarkan untuk memuat turun apa juga lagu yang dimahukan ke dalam telefon bimbit mereka untuk tempoh 12 hingga 18 bulan. Kos muzik telah dimasukkan ke dalam harga telefon bimbit.

Ciri itu telah dilancarkan di beberapa buah negara Eropah, termasuk Singapura dan Australia.

Pendekatan boleh memuat turun muzik bukan sekadar untuk menjual telefon bimbit, ia lebih kepada usaha mengekang aktiviti pengambilan muzik secara tidak beretika.

"Kami perlu menawarkan pengguna apa yang mereka mahukan," katanya.

Lokasi percubaan terbesar bagi pendekatan inovatif itu adalah di China. Di sana, kira-kira 1.3 bilion penggunanya terdedah terhadap aktiviti cetak rompak dan pakar menyatakan, kadarnya melebihi 90 peratus.

Satu skim yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini telah dicuba oleh gergasi enjin carian, Google bersama label-label seperti Warner, Sony and EMI.

Berkolaborasi dengan laman web muzik China, projek Top100 yang dilancarkan pada awal tahun ini menawarkan pengguna di China untuk memuat turun muzik secara percuma tanpa menyalahi undang-undang.


PROJEK Top100 menawarkan pengguna di China untuk memuat turun muzik secara percuma tanpa menyalahi undang-undang.


Langkah itu diharap mampu menarik lebih banyak pengguna dan menjana pendapatan menerusi iklan berikutan peningkatan trafik.

Pasaran enjin carian di China kini didominasi oleh Baidu yang mengukuhkan penguasaannya melalui kemampuan membantu pengguna mendapatkan muzik secara percuma, walaupun pesaingnya menyatakan tindakan tersebut adalah haram di sisi undang-undang.

Keraguan masih timbul tentang sama ada kerjasama itu benar-benar boleh menjana keuntungan. Menurut Google, amat penting untuk menarik minat pengunjung laman web terlebih dahulu dan memanipulasinya melalui pengiklanan.

"Kami percaya dengan pelaburan besar dalam aspek inovasi produk, pengguna dan wang akan muncul," kata pengarah kejuruteraan Google China, Bin Lin di seminar yang sama.

"Rangkaian sosial menerusi laman web seperti Facebook dan Twitter yang menghubungkan orang ramai secara dalam talian juga satu platform yang cukup berpotensi," jelas Pengurus Besar Tencent, Ayrton Zhu.

Tencent merupakan peneraju firma Internet di China dan mengendalikan komuniti dalam talian, Qzone. Ia menjadi salah satu komuniti terbesar di dunia dari segi ahlinya dan bersaing dengan Facebook dan MySpace.

Para pengguna Qzone perlu membayar yuran pendahuluan keahlian. Jadi, mereka boleh mendengar muzik di laman web tersebut dan membuat dedikasi lagu yang digemari kepada rakan-rakan.

"Syarikat-syarikat memerlukan pemahaman mendalam mengenai tingkah laku pengguna dan bagaimana menggunakan muzik untuk membuatkan mereka berinteraksi dengan sahabat handai," kata Zhu.


PENGELUAR telefon bimbit kini menawarkan perkhidmatan muat turun muzik yang disekalikan bersama telefon bimbit.


Pengurus Bersama M&C Saatchi and Sunshine, Robert Campbell menegaskan pengiklan harus lebih sofistikated dalam menggunakan laman-laman web rangkaian sosial dan melakukan lebih banyak perkara, berbanding sekadar menampal iklan di laman web tersebut.

"Mereka bukan menjual muzik, tetapi apa yang diwakili oleh muzik. Ia adalah kemampuan untuk berkongsi emosi," kata Campbell.

"Saya sangat yakin wang ada di luar sana. Namun, anda harus menawarkan pengguna apa yang ingin mereka beli."

Presiden dan Pengerusi Warner Music Asia Pacific, Lachie Rutherford menyatakan, industri wajar mengambil kesempatan terhadap selera tinggi pengguna muzik.

"Kita beroperasi dalam persekitaran yang pantas berubah. Tetapi satu perkara yang tidak akan berubah, iaitu keperluan manusia untuk berhibur," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: