jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Thursday, July 16, 2009

Alyah pasrah




Bukan tidak pernah berusaha, tapi Alyah terus diuji tanpa henti. Timbul juga di benak fikiran, kenapa harus dia yang menerima ini semua?

BUKAN tak cantik dan tidak berbakat, malah penyanyi yang satu ini mempunyai pakej lengkap untuk bergelar bintang. Gelaran itu pernah diperoleh Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan, 28, sewaktu menjuarai Bintang HMI 2000.

Malah, penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor ini pantas merebut ruang yang terbentang di depan mata apabila disambar syarikat rakaman EMI yang masih wujud ketika itu.

Mengharap sinar dan tuah berpanjangan mendakap dirinya, bukan kecil rintangan dan dugaan yang harus dilalui penyanyi yang mula meledak dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang Ini. Terlalu banyak cabaran terpaksa diharungi sepanjang sembilan tahun melakar namanya di persada seni.

Jika sebelum ini dia mampu melawan ‘kesakitan’ dan ‘misteri’ melanda yang tak bisa dirungkai mata kasarnya sendiri, inikan pula sekecil-kecil ujian yang tidak pernah terjangka dek akal manusia. Malahan, hingga kini masih ada cakap belakang yang melabelkannya sebagai gadis berbakat besar yang tak henti-henti dirundung malang.

Kegagalan pacuan kerjaya yang dibinanya berlaku hampir setiap kali dia melangkah dengan azam dan keinginan baru. Ia kononnya ekoran berdepan masalah kesihatan yang dipercayai berpunca dek buatan manusia jumud melakukan perkara syirik serta mewarisi ‘saka’ keluarga, maka hayunan langkahnya pasti terbatas. Malang terus menghimpitnya, namun dia pasrah.



“Alyah sendiri tidak tahu sampai bila ‘keadaan’ ini akan berakhir. Bukan tidak pernah berusaha, tapi sebaliknya Alyah terus diuji tanpa henti. Timbul juga di benak fikiran, kenapa harus Alyah yang menerima ini semua? Hanya Tuhan yang tahu betapa perit menanggung segala-galanya.

“Tak Alyah nafikan masih terikat dengan ‘saka’ keluarga itu. Alyah masih dibelenggu ‘misteri’ yang tiada penghujungnya. Cuma apa yang Alyah boleh lakukan ialah mengelak daripada melakukan perkara yang tidak elok. Malah, kerana semua itu, Alyah tidak boleh berjumpa dengan orang sembarangan bagi mengelak diserang perkara yang tak diingini.

“Dalam keadaan tertentu, urusan kerjaya hanya diwakili pembantu peribadi, Hafiz Redza. Alyah kena terus kuat untuk meneruskan kehidupan ini. Kalau sembilan tahun dulu lagi teruk dugaan yang Alyah hadapi berbanding sekarang. Sudah pelbagai ikhtiar yang Alyah lakukan termasuk ke sebuah pusat rawatan bagi mengelak diserang amalan ilmu hitam,” katanya yang membiasakan diri membaca kalam suci seperti ayat Kursi dan Al-Fatihah.

Tak mahu kalah dengan dugaan

SOKONGAN rakan dan keluarga menguatkan semangat Alyah unyuk terus kekal dalam bidang seni.

KALAU mahu diimbas, sudah terlalu banyak air matanya jatuh tertumpah berlarutan hingga berbulan-bulan. Pernah suatu ketika, dia berasa malas kerana tidak terdaya untuk bangun dan seakan sesat tanpa hala tuju.

Ikutkan hati, dia sudah malas dan kecewa untuk berdepan dengan semua ini, namun dek mengenangkan begitu hebat cintanya terhadap dunia seni, dia tetap tabah.

“Untuk masa sekarang, Alyah tak akan kalah dengan dugaan ini. Kalau Alyah terlalu ikutkan perasaan dan manjakan diri, maka lagi lemah jadinya. Peluang berharga yang datang sesekali dalam hidup takkan Alyah persiakan. Alyah tak pernah berhenti berdoa memohon akan ada sinar menanti di hujung sana.

“Lalu, Alyah pertaruhkan album yang sudah berada di pasaran itu sebagai sandaran kekuatan untuk Alyah bina nama kembali. Alyah juga mengharapkan untuk ke satu fasa yang lebih baik lagi selepas ini. Cuma Alyah sedar setiap permulaan yang dihayun bukan semudah yang disangka.

“Harapnya dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, Alyah akan terus gagah berjuang. Terima kasih juga kepada rakan media yang sudi mengundang Alyah sebagaimana Hip yang selalu menyokong selama ini. Kalau mahu dikaji, Alyah sudah berusaha buat itu dan ini. Biar apa terjadi, Alyah harus fikir yang positif saja,” katanya yang kini sedang berkira-kira untuk menghasilkan album baru dan kini lagu single kedua, duetnya bersama Riz, Ku Pinjam Satu Bintang sedang rancak diputarkan di radio.

Kata Alyah kini dia lebih selesa tinggal di rumah jika tiada sebarang aktiviti seni. Sakit yang menyerang tidak seteruk yang dialaminya sebelum ini dan paling teruk dihadapinya kini ialah kehilangan suara dengan tiba-tiba. Kejadian itu terjadi beberapa hari sebelum Alyah terbabit membuat persembahan pada Anugerah Industri Muzik ke-16 pada 2 Mei lalu.

Sementara itu, tatkala diaju soalan apakah dia sudah bertemu pengganti yang mampu mengisi kekosongan hatinya, pintasnya sambil tersenyum manja, dia masih solo. Jika cintanya dengan seorang jejaka Indonesia bernama Irfan menjadi, pasti kini dia sudah memegang status isteri. Namun, cinta itu berakhir tanpa isyarat tertentu biarpun sudah menjangkau tiga tahun usia hubungan mereka.

Katanya berseloroh, dia selesa tanpa cinta dulu, malah kalau mahu difikirkan banyak perkara lain yang perlu diberi keutamaan lebih. Difahamkan juga gara-gara meledaknya lagu Tak Mungkin Kerana Sayang, jodoh Alyah makin kuat menghimpit.

“Buat saat ini, apa yang boleh Alyah katakan, nanti dulu kalau menyentuh soal cinta. Kesan putus cinta dulu masih bersarang di hati. Alyah putus cinta dengan Irfan ibarat terbabit dalam kemalangan yang teruk. Dia (Irfan) pun sudah kahwin dengan orang lain,” katanya yang akan muncul dengan sebuah telefilem bersempena Aidilfitri nanti berjudul Cinta Meriam Buluh bagi siaran Astro Prima. Drama komedi itu turut menampilkan Ajai, Nabil Raja Lawak, Marsha, Zahid dan Haiza. Penggambarannya dilakukan pada 25 hingga 28 Mei lalu.

PROFIL: Alyah

  • Nama penuh: Noor Hasliah Abu Hasan
  • Tarikh lahir: 3 Januari 1981
  • Asal: Gelang Patah, Johor
  • Hobi: berenang, memasak, menyanyi dan mengembara
  • Idola: Celine Dion, Aishah, Sheila Majid dan Anita Sarawak
  • Pencapaian muzik:
    • Juara Wirawan EON (1994)
    • Juara Bintang Pepsi (1996)
    • Juara Suara Johor (1997)
    • Naib Johan Asia Bagus (1998)


INFO:
  • Pernah menyertai One In A Million musim kedua, namun tersingkir pada konsert minggu keempat.
  • Kegilaannya untuk menyanyi tidak pernah padam apabila menyertai Fabulous Cats untuk projek album sulung berjudul Fantastik. Bagaimanapun, Alyah menarik diri dan mencuba pula nasib dalam pertandingan pencarian kumpulan terhebat Asia, Gang Starz musim kedua untuk diserap masuk ke dalam One Nation Emcee. Namun disebabkan masalah kesihatan, dia menarik diri.

  • Album menggunakan judul Alyah turut dicalonkan dalam kategori Album Pop Terbaik AIM 16.

1 comment:

  1. kesiannyer Alya... namun tu lah HIKMAH!!!
    Sekarang Alyah bukan main malatop lg ngn lagu Tak Mungkin Kerana Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang!! Edan suka kedua2 lagu tersebut!!! Suara alyah pon lunak n sebutan nyanyian Aliah sngt sempurna!! sebutir2 yg keluar, JELAS!!! :D

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: