Tuesday, June 16, 2009

Tabika Kemas dikunci kerana gagal bayar sewa - Murid belajar dalam khemah


MURID-MURID Tabika Kemas Bustanul Auladil Bahar di hadapan pintu masuk tabika yang dikunci dan dirantai di Pelabuhan Klang, semalam.


PELABUHAN KLANG - Entah apa silap dan salah anak-anak kecil yang mahu menuntut ilmu tiba-tiba dinafikan hak mereka apabila Tabika Kemas Bustanul Auladil Bahar di Blok I, Pangsapuri Seri Perantau, di sini tiba-tiba dikunci.

Berikutan itu, 43 murid tabika berkenaan terpaksa belajar di dalam khemah beralaskan tikar getah pada hari pertama persekolahan bagi penggal kedua semalam.

Sesi pembelajaran terpaksa dibuat di kawasan letak kenderaan pangsapuri sahaja apabila pintu tabika itu dikunci oleh Jawatankuasa Komuniti Blok I yang dikatakan menuntut pengurusan tabika melangsaikan tunggakan sewa RM2,500 sejak Januari lalu.

Akibat marah dengan tindakan jawatankuasa tersebut, kira-kira 40 penduduk yang terdiri daripada ibu bapa dan penduduk pangsapuri berkumpul di hadapan tabika dan mengugut untuk memecahkan kunci.


IBU bapa berkumpul di hadapan tabika kerana membantah tindakan mengunci tabika tersebut di Pelabuhan Klang, semalam.


Bagaimanapun, ketegangan itu berakhir apabila wakil jawatankuasa komuniti blok bersetuju untuk membuka semula tabika yang terletak di tingkat bawah bangunan itu kira-kira pukul 11 pagi.

Pengerusi tabika berkenaan, Che Ri Abdul Hamid, 49, berkata, akibat tindakan mengunci kelas tabika, semua murid berusia lima dan enam tahun terpaksa bersila di atas kanvas serta belajar seperti biasa selama tiga jam mulai pukul 8 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: