Thursday, June 25, 2009

Sebab Jackie Chan suka Malaysia


JACKIE CHAN


SELAIN daripada tempat-tempat popular seperti Menara Berkembar Petronas dan lokasi pelancongan popular, Malaysia yang kaya dengan kawasan perkampungan, bandar kecil, pulau-pulau dan perhutanan juga menjadi pilihan produksi luar.

Satu lagi bukti yang tidak kurang hebatnya, apabila filem yang pernah dicalonkan untuk anugerah Oscar, Anna and the King (pembikinan semula The King and I) yang diterbitkan pada tahun 1999 dirakamkan hampir sepenuhnya di Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.


MICHELLE YEOH dalam filem Police Story 3.


Filem itu yang dibintangi Jodie Foster dan Chow Yun-Fat (dengan pelakon tempatan Deanna Yusof, Melissa Campbell dan Patrick Teoh) berjaya membantu mempromosikan Malaysia dari sudut pandangan berbeza.

Produksi Hong Kong, After This Our Exile (2006) yang dirakamkan sepenuhnya di Ipoh, Perak dengan menggunakan loghat Perak turut mencatatkan kejayaan besar di Hong Kong dan Taiwan.

Filem yang dilakonkan Aaron Kwok itu membolehkan dia memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada majlis berprestij Golden Horse Award 2005/6 di Taiwan.

Filem Hong Kong lain iaitu Looking for Mr. Perfect (2003) dilakonkan oleh Simon Yam dan Shu Qi turut dirakamkan hampir 100 peratus di Sabah.




Filem Summer Holiday (2000) lakonan Sammi Cheng dan Richie Ren pula meningkatkan jumlah pelancong ke Pulau Redang, Terengganu.

Seorang lagi aktor terkemuka yang suka mengunjungi Malaysia ialah Jackie Chan. Pernah berlakon bersama Datuk Michelle Yeoh dalam filem Police Story 3 yang turut dirakamkan di Kuala Lumpur, Malaysia, Jackie juga menyimpan hasrat untuk berlakon di Malaysia sekali lagi.

"Saya mungkin akan datang ke Malaysia untuk menjalankan penggambaran. Tapi saya masih sedang mencari lokasi yang berkemungkinan di Ipoh. Saya mahu menjayakan sebuah filem berkonsepkan tahun 1940-an," katanya.

Memiliki pelbagai jenis perniagaan di Malaysia termasuk pusat gim dan kedai makan, Jackie memberitahu dia menyukai makanan tempatan yang membuatkan dia sering datang berkunjung.

"Selain daripada makanan, saya juga sukakan kehijauan di sini. Saya rasa Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana mempunyai cahaya matahari dan hujan secukupnya untuk mengekalkan tumbuh-tumbuhan.




"Walaupun Malaysia merupakan negara yang didiami pelbagai bangsa, saya rasa seperti berada di Hong Kong. Orang di sini amat ramah dan tidak membuatkan saya seperti berada di negara luar.

"Semua orang boleh bercakap banyak bahasa termasuk Mandarin, Kantonis, Inggeris dan Melayu. Semua bangsa hidup secara aman dan itu amat bagus yang membuatkan saya sentiasa ingin kembali ke sini," jelas aktor berusia 55 tahun itu.


FILEM After This Our Exile menjalani penggambaran sepenuhnya di Ipoh, Perak.


Pengarah terkemuka yang pernah memenangi anugerah Oscar untuk filem Brokeback Mountain (2005) juga pernah menggunakan video arkib berlatarbelakangkan Perak dalam filem Lust, Caution (2007) yang dibintangi pelakon tersohor Hong Kong, Tony Leung dan aktres China, Tang Wei.

Mungkin judul yang tersenarai selaku filem buatan di Malaysia itu tidak mewakili kesemua produk antarabangsa yang pernah dirakamkan di negara ini namun bilangan itu cukup untuk menjadi rujukan wajah dan rupa Malaysia ke peta filem dunia.

Dari satu sudut, sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab anak tempatan mempromosi negara ke peringkat antarabangsa sebenarnya sudah terlaksana.




Terjentik satu persoalan, cukupkah Malaysia sekadar menadah 'anugerah' yang dimiliki untuk diratah orang luar. Anak tempatan, terutama pembikin filem sepatutnya tercabar oleh situasi berkenaan, jangan sekadar bervisi tetapi tidak kesampaian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: