Sunday, June 7, 2009

Persepsi Marion


RAUT wajah, perwatakan, bualan harian dan personaliti Marion Rose Counter jelas menunjukkan pengacara program One In A Million (OIAM) ini memiliki elemen antarabangsa.

Hakikatnya, anak kelahiran Pulau Mutiara ini mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan. Persepsi umum kononnya gadis ini tidak fasih berbahasa Melayu juga jauh meleset tatkala dia mula berbicara.

Mungkin segala percaturan karier seninya yang sudah tertulis untuk mengacarakan program TV dalam bahasa Inggeris menyebabkan ramai mengandaikan dia bukan produk tempatan.

Langkah awalnya membuahkan tuah apabila ditawarkan menjadi penerbit sebuah program bual santai, Quickie di 8TV yang ketika itu masih dalam proses pelaksanaan sebaik pulang daripada menuntut di Amerika Syarikat lima tahun lalu. Memiliki ijazah dalam jurusan Penyiaran menjadi faktor utama pemilihannya ke stesen berkonsepkan urban itu.

“Saya menganggap segalanya adalah rezeki dan tuah kerana ada saja jalan yang memudahkan saya ke tahap sekarang. Sepatutnya saya bekerjasama dengan produksi ketika itu bagi mencari pengacara baru, tetapi tiada siapa mencapai piawaian ditetapkan Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham.

“Lantaran itu, bersandarkan karektor dan kepetahan membuatkan pihak pengurusan dan Izham yakin untuk memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan program itu,” katanya yang banyak menimba ilmu penyiaran selepas dua tahun mengacarakan program siaran langsung yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantara itu.

Namun yang lebih melonjakkan nama gadis campuran Portugis, Inggeris dan Cina ini apabila tanggung jawab lebih berat diheret ke bahunya menerusi OIAM. Juga secara langsung dan digandingkan dengan Awal Ashaari. Sekali lagi kepetahannya berbicara dalam bahasa Inggeris dan gaya spontannya menjadi tiang kukuh baginya.

“OIAM satu tapak yang sangat berkesan bagi saya untuk terus memperagakan bakat dalam bidang pengacaraan, lebih-lebih lagi program ini disiarkan secara langsung dan memerlukan saya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Namun peluang yang terus mencurah ini makin menguatkan persepsi masyarakat dan penggiat seni bahawa saya tidak tahu berbahasa Melayu,” katanya.

Menurut Marion, pandangan prejudis seumpama itu sedikit sebanyak menjejaskan peluangnya untuk terus bertapak dan seakan-akan mengehadkan sayap karier seninya.



“Saya sebenarnya boleh berbahasa Melayu dan sikap komited saya pada kerja mampu mengasah kemampuan saya jika peluang dibuka untuk saya mengendalikan program berbahasa Melayu,” katanya yang pernah menghiasi skrin saluran antarabangsa Channel V dengan mengendalikan beberapa program utamanya seperti Poparazzi dan Remote Control.



Bagaimanapun, gadis yang sering mencuri masa dengan bercuti ke luar negara ini mempunyai satu impian yang mampu memenuhi kepuasannya sebagai penggiat seni secara total.

“Saya ingin sekali mencuba cabang seni yang lain seperti lakonan. Sudah lama saya impikan bergelar pelakon untuk merasa kepuasannya. Mungkin sudah terlalu lama saya tumpukan pada pengacaraan dan tiba masanya untuk mencuba sesuatu yang baru dan mampu menolak saya ke tahap lain.

“Saya idamkan watak perempuan jahat dan kejam sehingga boleh membuatkan penonton merasa kesannya. Namun sehingga ke hari ini peluang dan tawaran ke arah itu masih sepi dan saya tidak menolak kemungkinan yang penerbit atau pengarah masih ragu-ragu keupayaan saya.

“Mungkin rezeki belum tiba dan saya memang menanti watak yang mampu memberi impak kepada penonton dan menguji kredibiliti saya di satu ruang seni yang baru.

“Selain itu, saya melihat bidang lakonan sebagai satu lagi landasan untuk menampilkan keseluruhan bakat yang ada memandangkan selama ini saya hanya memfokuskan komitmen pada dunia pengacaraan,” kata gadis berbintang Scorpio ini.

Bagaimanapun, Marion yang sangat mesra berbicara dan mudah didampingi ini menganggap segala persepsi orang luar yang melihat dan menilainya sebagai satu cabaran yang mendorongnya menjadi lebih baik serta berusaha lebih keras.

Marion kini juga sibuk mengatur jadual kariernya sendiri kerana jemputan dan tawaran mengacarakan majlis korporat dan pelancaran produk melimpah-ruah kebelakangan ini.

“Saya sebenarnya anak Malaysia dan sama seperti gadis lain di luar sana, namun saya akur dengan segala tanggapan masyarakat terhadap saya yang kononnya saya ‘international’ dan tidak mahu berbahasa Melayu.

“Hakikatnya, mereka perlu mengenali saya dengan lebih rapat untuk terus menilai peribadi saya,” katanya yang kini sibuk dalam perbincangan untuk mengendalikan sebuah lagi program berkonsep realiti dalam masa terdekat.

Percaya dan sentiasa yakin dengan kebolehan diri adalah kunci semangat buat diri Marion untuk terus berusaha dan tidak mudah patah semangat.

Malah, beliau berazam akan membuktikan kepada umum yang dia bukan pengacara yang hanya bersandar pada paras rupa semata-mata, sebaliknya ilmu pengetahuan dan pengalaman adalah resipi tersembunyi yang kuat digenggamnya.

Tidak mustahil satu hari nanti, wajahnya akan menghiasi layar perak pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment