Wednesday, June 17, 2009

Mana cincin kahwin Lisda?




BIARPUN sudah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga, cerita mengenai mereka masih hangat dibualkan. Terbaru, mahligai cinta pasangan popular, Lisdawati dan Fauzi Nawawi sekali lagi dikatakan sedang berantakan.

Punca utama keretakan itu masih lagi diletakkan kepada Fauzi yang kononnya belum dapat meninggalkan hobi lama, berfoya-foya dengan wanita lain. Itulah harga yang perlu dibayar oleh mereka yang bernama selebriti yang sentiasa dihadapkan dengan cerita pahit.

Ada juga khabar angin mengatakan hubungan mereka semakin renggang bermula gara-gara ramai lelaki cuba 'memikat' Lisda setelah tamatnya penggambaran drama bersiri popular, Matahari baru-baru ini.

Ingin mendapat kepastian, Lisda disoal mengenai kontroversi tersebut pada pelancaran telefilem Buih-Buih Cinta di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di acara berkenaan, pihak media yang hadir dapat melihat beberapa kejadian yang dikatakan menjurus kepada hubungan pasangan ini sedang bermasalah.

Sebelum menemubual Lisda, beberapa aksi mengelirukan pasangan ini, seterusnya memperkuat khabar angin itu. Walau sesekali baik Fauzi dan Lisda tetap menunjukkan aksi mesra terutamanya apabila lensa kamera mengarah kepada mereka, ada perilaku yang menghairankan.

Misalnya, ketika pratonton telefilem itu, pada beberapa babak yang menunjukkan watak Lisda dan Fauzi sebagai suami isteri yang kelihatan begitu romantis, Lisda kelihatan menitis air mata. Tanpa menyedari dia sedang dipandang beberapa anggota media, Lisda seolah-olah melayan fikiran sendiri sekali gus memendam banyak perkara sedih.

Adakah Lisda terkenang kembali saat kenangan manis mereka yang sudah semakin hilang?

'Drama' titisan air mata itu bersambung semula selepas diambil gambar bersama oleh jurufoto. Ketika itu mereka duduk di bahagian belakang penonton untuk menyambung semula sesi menonton telefilem tersebut.


ADAKAH Lisda cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik keceriaan wajahnya?


Selepas tamat tayangan, Fauzi telah pun pulang meninggalkan Lisda yang sedang menanti untuk ditemu bual, sesuatu yang jarang dilakukan oleh pasangan yang dilabel 'romantis' sebelum ini.

Apabila bertanya tentang suaminya, jawab Lisda: "Fauzi dah balik. Dia kena buat 'stunt' (lakon lagak ngeri)."

Bagaimanapun bertanyakan mengenai insiden-insiden tersebut, seperti biasa, Lisda tetap mengatakan rumah tangga mereka masih utuh dan ia hanya khabar angin daripada media sendiri untuk membikin isu mengenai mereka.

"Itu cuma jentikan media sahaja. Saya dan suami pernah berfikir kenapa isu ini sering dibangkitkan. Tapi mungkin kerana wajah kami banyak terpampang di kaca televisyen, membuatkan pihak media sengaja ingin membuat cerita di akhbar mereka.

"Tapi saya selesa berdiam diri. Kalau betul, mesti isu ini akan berpanjangan.

"Bayangkan, ketika kami tengah bergelak ketawa bersama, tiba-tiba ada seorang wartawan telefon saya dan menyoal mengenai perhubungan kami yang dikatakan ada masalah, jadi kami rasa pelik," katanya.


GAMBAR ini membuktikan pasangan ini masih berbahagian, bukan seperti yang disangkakan pihak lain.


Tambah Lisda, dia sudah lali dengan gosip-gosip yang diceritakan mengenainya dan lebih selesa senyap bagi meredakan kontroversi itu.

"Orang kata kami 'propa' (berlakon) depan orang. Mana ada, kami masih lagi bersama. Tak apalah, asalkan kami tahu sejauh mana hubungan ini.

"Bagi saya, setiap kontroversi yang timbul membuatkan kami jadi lebih kuat walaupun suami tidak senang dengan itu semua. Cuma rasa macam tidak seronoklah, bila ada khabar angin mengenai krisis rumah tangga artis dan terus keluar di akhbar, membuatkan semua orang mahu ambil tahu," tuturnya berterus terang.

Bertanyakan pula tentang tangisannya ketika menonton Buih-Buih Cinta, Lisda berkata, titisan air matanya itu bukanlah sebab mengingati kembali kenangan manis bersama Fauzi yang semakin pudar.

Sebaliknya, Lisda terbayang jika Fauzi benar-benar menunjukkan rasa dingin terhadapnya seperti dalam beberapa babak drama berkenaan, hatinya dengan mudah tersentuh.

"Saya memang seorang yang sensitif, jadi bila menyaksikan babak itu, terasa sedih pula. Tetapi saya yakin Fauzi bukan seorang lelaki yang tidak melayan isteri.

"Dia seorang yang begitu romantis. Kami melayan sesama sendiri seperti kawan, kekasih dan suami isteri," ujar Lisda.


LAKONAN adik Puteri Qiestina bersama Lisda dan Fauzi nampak serasi sekali.


Bagaimanapun, satu hal yang membuatkan tanggapan media semakin terarah kepada rumah tangga pasangan ini sedang bermasalah apabila Lisda kelihatan tidak lagi menyarung cincin perkahwinan di jari manisnya.

Ketika hal itu ditanyakan, seolah sudah dapat meramal apa yang mahu ditanya, Lisda menjelaskan ia adalah satu hal yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, cincin berkenaan tidak menghiasi jari manisnya kerana sedang dibaiki.

"Batu permata cincin kahwin saya terjatuh. Jadi saya pergi hantar untuk membetulkannya. Tetapi hari ini saya masih memakai cincin hantaran. Jangan anggap yang bukan-bukan," katanya seraya memperlihatkan cincin yang diperkatakan.

Lisda yang lincah

Bicara pula tentang Buih-Buih Cinta, arahan Osman Ali, Lisda telah memaparkan sisi lain dalam telefilem ini.

Ibu beranak satu ini memegang dua watak berbeza dengan menjadi seorang isteri bernama Soraya yang terpaksa makan hati dengan kerenah suami, Sidek (Fauzi Nawawi). Satu ketika Soraya terpaksa mengubah identitinya menjadi Lolly demi untuk mengubah dan memahami Sidek untuk berbaik semula dengan isterinya setelah dua tahun perkahwinan.

Sidek bersikap dingin terhadap Soraya kerana terkenangkan kekasih lamanya, Mila, biarpun dia dan Soraya telah mempunyai seorang anak (Puteri Qiestina Nisrien Ahmad Nadzri).


LISDAWATI dan suaminya, Fauzi mendapat penghargaan pihak Johnson's Baby.


Menurut Lisda, ini merupakan kali pertama dia mendapat watak yang agak lincah selepas lapan tahun menceburi dunia lakonan.

Sehinggakan Lisda membuat kajian mengenai wataknya itu untuk mendapatkan penghayatan yang lebih ketika penggambaran.

"Takut juga nak bawa watak Lolly sebab tak pernah lagi saya menerima tawaran berwatak gila-gila sebab asyik bawa watak kampung. Rasanya, lepas ini saya nak lari daripada watak baik-baik," katanya yang turut mengkaji lakonannya melalui karektor pengacara dan pelakon, Sarimah Ibrahim.

Buih-Buih Cinta merupakan sebuah telefilem romantik tentang hubungan suami isteri yang diinspirasi daripada cerita yang dihantar oleh pemenang, Ezna Ahmad Khalili dan Jamakyah Ahmad dalam peraduan Mandi Susu Johnson's Baby Milk Bath 'Suami & Si Manja Semakin Sayang'.

Diterbit Red Communication, pasangan pelakon suami isteri, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak turut terbabit dalam telefilem tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: