Sunday, May 24, 2009

Zarina sudah berpunya


Zarina


Ketika mengadakan sesi fotografi dengan Pancaindera Selasa lalu, Zarina, bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2) ini sesekali tersenyum manja apabila diusik. Sambil disolek oleh juru mekap selebriti terkenal Zulfazli Suhadi, bagaikan ada sesuatu yang menggembirakan jiwa dan raga di hati wanita berusia 25 tahun ini.

Selepas dirisik, memang benarlah tekaan itu. Dan benarlah juga ada desas-desus sebelum ini yang mengatakan hatinya sudah dimiliki.

Siapakah lelaki itu? Mungkin ramai yang beranggapan ia mungkin golongan VIP, mungkin juga suami orang?

Yalah, apabila sebut artis, apatah lagi jika memiliki wajah cantik tentu saja ramai yang akan mengaitkan dia dengan si polan dan si polan, orang itu dan orang ini.

Benar, bukan mudah menjadi orang cantik. Kalau tak cantik pun susah juga. Orang akan mengata. Pendek kata sukar untuk memuaskan hati dan perasaan orang lain.

Pirahhhh itu semua. Yang penting sekarang ini kita kena menggembirakan diri sendiri dulu. Tak payah nak fikir hati dan perasaan orang lain kerana orang di luar sana belum tentu mahu memikirkan soal hati dan perasaan kita.

Dan itulah menjadi prinsip Zarina. Dia pun dah lali dan muak dengan cercaan orang. Malah kalau boleh ditimbang hinaan orang itu, beratnya mungkin sudah beratus kilogram.

Ketika Zarina memiliki kereta mewah BMW dulu pun ada yang berkata ia mungkin kereta yang “dispedo” Datuk atau orang kaya-kaya.

Dispedo? Istilah apa itu? Ia bukan istilah kamus Dewan tapi istilah laras hiburan. Maksudnya ditaja.

Tetapi kalau orang yang kerjanya nak mengata memang dia akan terus mengata. Bukan apa, selama ini Zarina kelihatan hidup dalam limpahan kemewahan. Daripada mana dia ambil duit? Show pun bukan banyak sangat? Berlakon pun berapa kerat sangat wataknya?

Itu semua adalah soalan-soalan biasa tetapi sebenarnya tidak siapa pun yang tahu bagaimana susahnya wanita bernama Zarina Zainoordin ini untuk mencari sesuap nasi.

“Kadang-kala saya sakit kepala bila fikir macam mana nak cari duit. Tapi itu semua orang tak tahu,” kata Zarina.

Menurut Zarina lagi, kalau nak ikutkan setiap malam dia tak lena tidur kerana memikirkan bagaimana untuk mencari rezeki hari ini, esok dan seterusnya.

Bajet untuk sewa rumah, bayaran ansuran kereta dan juga duit untuk keluarga mencecah empat angka juga. Maka setiap hari masa yang digunakan oleh Zarina ialah memikirkan bagaimana menambah pendapatan bulanannya.

Dalam keadaan industri hiburan yang menunjukkan kemerosotan, Zarina mengakui dia amat terasa. Malah dia juga pernah “mengorek” duit simpanannya untuk digunakan bagi menampung hidup.

Tapi syukur juga kerana susah itu tak lama sebaliknya rezeki itu datang kembali.

“Awal tahun ini memang saya terasa sangat susahnya hidup. Saya terpaksa keluarkan duit simpanan untuk menyara kehidupan. Nasib baik juga selama ini saya banyak berjimat.

“Duit yang saya dapat masa buat persembahan dulu semuanya saya simpan untuk digunakan ketika terdesak. Tapi syukurlah sejak bulan Mac lalu, rezeki saya semakin bertambah apabila banyak pula syarikat produksi yang panggil saya berlakon,” katanya.

Uruskan diri

Sesetengah artis mereka lebih gemar melantik seseorang untuk menjadi pengurus atau pembantu peribadi mereka. Tetapi bagi Zarina duit yang diperoleh itu adalah lebih baik disimpan daripada menggaji orang lain untuk melakukan kerja-kerja pengurusan artis.

Dek kerana ini Zarina terpaksa menepis perasaan malu apabila dia sendiri yang berjumpa dengan pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan apa-apa peluang yang boleh.

“Nak buat macam mana? Saya terpaksa menguruskan diri untuk mencari peluang-peluang berlakon drama ataupun job persembahan pentas,” katanya.

Tambah Zarina lagi sebagai wanita kadang-kala banyak juga ujian yang tidak diingini berlaku ketika berurusan.

Yalah... perempuan katakan. Senang hendak ditipu selain ada saja yang akan mengambil kesempatan. Tidak menolak situasi itu Zarina mengakui hal berkenaan sebenarnya wujud.

Tetapi sebagai seorang wanita yang “kepala batu” macam Zarina, itu semua tidak menjadi masalah kerana dia tahu bagaimana untuk menguruskan sesuatu. Semua itu kerana pengalamannya selama ini yang berjaya menguruskan diri sendiri dengan baik selepas keluar dari AF.

“Kadang-kala tu saya guna juga bantuan rakan-rakan saya yang pernah bekerja sebagai PR (pegawai promosi) syarikat rakaman untuk menguruskan apa-apa perbincangan terutama mengenai urusan pertunjukan pentas.

“Sebagai seorang perempuan, sekuat mana kita sekali pun takut nanti ada juga orang akan tipu dan ambil kesempatan. Perkara itu yang cuba saya elak dan terpaksa menggunakan khidmat kawan-kawan untuk melakukan sesuatu urusan,” jelasnya.

Kahwin? memang nak!

Bakal mencecah usia 25 tahun pada 15 Oktober ini, Zarina sudah memikirkan soal untuk berumah tangga. Bila tanya bab kahwin, dia memang nak. Mungkin masanya sudah tiba, khabarnya hujung tahun ini akan termakbulah hasrat di hati itu untuk menjadi isteri orang.

Tidak mahu merahsiakan perkara yang baik tetapi Zarina agak berhati-hati untuk bercerita mengenai masa depannya itu. Bukan apa, bimbang nanti apa-apa perkara tak baik berlaku di kemudian hari jika ia dicanang sebelum waktunya.

Cuma kata wanita ini, kalau nak bertunang pun dia tak mahu ambil masa lama-lama. Cukuplah bertunang dua atau tiga bulan, lepas tu terus saja kahwin.

Cinta Zarina dengan seorang pemuzik sebuah band itu terjalin kira-kira tiga tahun lalu. Sepanjang tempoh itu macam-macam ujian berlaku di dalam cinta mereka.

Zarina mengaku dia seorang yang keras kepala dan tegas dalam sesuatu perkara. Mungkin disebabkan pengalamannya selama ini yang banyak melakukan kerja-kerja secara bersendirian.

Maka tidak hairanlah kalau bermasam muka dengan si dia, mahu dalam satu atau dua bulan dia “menghilangkan” diri.

Malah kata Zarina, dia pernah tidak menjawab panggilan telefon kekasihnya itu lebih dua bulan kerana geram terhadap perselisihan faham yang berlaku.

Tetapi bak kata orang sekeras-keras kerak nasi, terkena air lembut juga. Begitulah perempuan. Mereka mudah dan suka dipujuk. Malah Zarina bersyukur selama ini si dia tidak pernah bosan walaupun begitu fiil Zarina. Maka atas dasar itulah hubungan mereka kekal sehinggalah detik-detik untuk menjadi pasangan suami-isteri itu semakin hampir.

Hasrat untuk mendirikan rumah tangga kata Zarina sudah tiba kerana dia mula berasa penat dengan kehidupan artis. Bukan apa, selama ini banyak benda yang dia hendak fikirkan. Dalam erti kata lain dari A sampailah Z. Semuanya dalam “kepala” dia seorang sahaja.

Mengambil keputusan berumahtangga adalah jalan terbaik kerana paling tidak masalah-masalah kecil dapat dikongsi dengan bantuan suami.

“Kalau nak ikutkan saya dah penat dah nak uruskan diri. Sebab itulah saya fikir bila kita kahwin ada juga orang yang dapat berkongsi masalah dan susah senang kita.

“Dalam masa yang sama kata orang rezeki kehidupan suami isteri itu akan lebih murah. Pilihan terbaik, kami kahwin sajalah,” katanya.

Virus Zarina

Album pertama Zarina Mahkota Jiwaku yang diterbitkan tiga tahun lalu tidaklah beberapa menjadi. Tetapi itu semua tidak pun mematahkan semangat dia untuk terus berjuang dalam bidang seni.

Tidak mahu namanya sebagai seorang artis itu terhapus begitu saja maka Zarina sedang melengkapkan sebuah single terbaru berjudul Virus hasil kreativiti Cat Farish.

Berkonsepkan dance dan R&B, banyak juga dibelanjakan Zarina bagi menghasilkan single berkenaan.

Tetapi biasalah sebagai artis mereka memerlukan lagu baru jika mahu kerjaya dalam bidang seni berkembang. Dalam tempoh menunggu single tersebut siap sepenuhnya, maka Zarina banyak menerima undangan untuk berlakon drama-drama televisyen.

Terbaru dia baru saja habis menjalani penggambaran drama Zati & Si Mawas yang akan disiarkan menerusi slot Legenda di TV3.

Dalam masa yang sama filem terbarunya Jangan Pandang Belakang Congkak juga sedang menanti untuk tayangan pada 4 Jun ini.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: