![]() |
Ayu Raudah nafi bertunang, masih cari calon sesuai untuk dijadikan suami
SELEBRITI dan gosip memang tidak boleh dipisahkan. Sekerap mana seseorang pelakon, penyanyi, pengacara atau penyampai popular menegaskan, dia tidak suka mencampur-adukkan kisah peribadi dan karier, peminat tetap ingin mengetahui kisah di sebalik kerjayanya.
Ketika itu juga, mulut yang dikunci akan terbuka untuk berbicara mengenai kehidupan keluarga, alam pertunangan, kisah cinta bersama kekasih atau peritnya hati apabila putus cinta.
Ayu Raudah amat memahami selok belok dunia artis serta kisah peribadi mereka yang lambat laun akan diperkatakan juga. Justeru, dia tidak bersandiwara kononnya enggan mengulas mengenai kisah cinta, apabila ditanya wartawan. Walaupun enggan dikenali kerana gosip liar, tetapi apabila ada soalan yang rasanya perlu dijawab, ringan dia membuka mulut memberikan penjelasan.
Ketika menghadiri majlis pelantikannya sebagai duta produk kecantikan Giena Skincare dari Beauty Arena di Subang baru-baru ini, wanita berusia 25 tahun ini sekali lagi diasak pelbagai soalan berhubung cerita cintanya bersama pelakon Pekin, yang dikatakan sudah pun putus tetapi bertaut semula.
"Kami berdua masih berkawan baik, tetapi tidak berani saya katakan yang kami bercinta semula. Apatah lagi apabila saya pun jarang-jarang dapat berjumpa dengannya. Saya agak sibuk dengan jadual kerja, begitu juga dengan Pekin. Jadi, setakat ini, kami berkawan sajalah," jelas Ayu yang dilantik sebagai duta selama setahun bersama produk berkenaan.
![]() |
| AYU bakal turun ke lokasi penggambaran drama bersiri Nur Kasih tidak lama lagi. |
Akui pelakon cantik ini, memanglah dia pernah keluar bersama pelakon lelaki yang juga bekas anggota sebuah kumpulan penyanyi itu. Cuma, akhir-akhir ini kesibukan menghalangnya untuk terus bertemu jejaka berkenaan.
Ditanya mengenai gosip kononnya dia sudah pun bertunang, pelakon itu tiba-tiba ketawa sebaik saja diajukan soalan berkenaan.
"Saya sendiri pun terkejut sakan apabila membaca akhbar yang menyiarkan cerita kononnya saya sudah bertunang. Apa yang sebenarnya berlaku ialah kemungkinan peminat menyangka majlis perkahwinan seorang kakak saya yang diadakan pada Februari lalu sebagai majlis pertunangan saya," tegasnya.
Katanya, sehingga ke hari ini, dia sendiri belum ditemukan dengan jejaka yang boleh dianggap sebagai jodohnya.
![]() |
| NOR AZIZAN (kiri) memilih Ayu Raudah sebagai duta produk keluaran syarikatnya. |
"Jika mengikut rancangan asal, pada usia 21 tahun pun saya sudah hendak bergelar seorang isteri. Tetapi, empat tahun kemudian, nampaknya saya masih lagi bersendiri. Bukannya saya memilih, tetapi lelaki yang hadir dalam hidup saya nanti biarlah yang memahami dan menerima diri saya dengan seadanya," katanya.
Menurut Ayu lagi, dia juga tidak suka sekiranya orang lain pula yang berlebih-lebihan dalam usaha hendak memperkenalkan dirinya kepada seseorang lelaki. Begitu juga dia selalunya tidak akan melayan panggilan mereka yang tidak dikenali.
"Saya akui, ada sesetengah lelaki menghubungi saya pada awal-awal pagi. Kononnya mereka ikhlas hendak berkenalan. Sampaikan, telefon bimbit saya perlu diletakkan dalam keadaan pegun, bagi membolehkan saya mendapat sedikit tidur. Maklumlah, setelah penat seharian di lokasi, tentunya badan kita memerlukan sedikit rehat. Waktu itulah dia hendak mengacau," katanya.
Gembira dilantik jadi duta produk
MENYENTUH perkembangan karier lakonannya, Ayu memberitahu, dia baru saja tamat menjalani penggambaran telefilem berjudul Kasih Alam, termasuk dua hari rakaman di Sungai Koyan, iaitu sebuah perkampungan Orang Asli. Drama cinta antara orang Melayu dan Asli itu diarahkan Manchi untuk syarikat Layar Dimensi.
Baru-baru ini juga, pelakon ini berada di Kemboja selama 10 hari kerana mengikuti penggambaran drama bersiri berjudul Lara untuk siaran RTM. Turut menjayakan drama terbabit ialah Eizlan Yusoff, Badrul Muhayat, Marissa Yasmin dan Nisha Dirr.
"Dalam siri berkenaan, saya diberikan peranan gadis Kemboja. Penggambaran membabitkan saya hanya dilakukan di negara itu, iaitu di sebuah daerah dengan penduduknya boleh berbahasa Melayu. Watak saya sendiri bertutur dalam dua bahasa, Melayu dan Kemboja. Jadi, hendak tak hendak, saya belajarlah juga bertutur dalam bahasa mereka, dengan bantuan seorang guru bangsa Kemboja yang menetap di Kuala Lumpur," katanya.
Sedikit masa lagi, Ayu turun pula ke lokasi penggambaran siri Nur Kasih, sebanyak 26 episod, arahan Kabir Bhatia. Jika sebelum ini dia ke Kemboja untuk menjayakan Lara, Nur Kasih pula bakal membawanya terbang ke Arab Saudi. Turut membintangi siri yang juga menjadikan Indonesia dan Australia sebagai lokasi itu ialah Tizz Zakiah, Fizz Fairuz, Remy Ishak dan Sharifah Sofia.
"Nampaknya, beberapa projek drama yang saya bintangi akhir-akhir ini asyik mengembara saja. Memanglah seronok apabila dapat ke luar negara. Tetapi, apabila kita bekerja, tidak banyaklah masa untuk melepak atau berjalan-jalan di negara dilawati berkenaan. Kalau hendak betul-betul makan angin, nampaknya kenalah saya ambil cuti," ujar pelakon ramah ini.
Berhubung pemilihannya sebagai duta produk kecantikan berkenaan, pelakon ini berkata, sebelum dilamar sebagai duta, pengasas Beauty Arena, Nor Azizan Ghazali, sudah berbulan-bulan cuba menghubunginya.
"Saya sendiri tercari-cari produk yang sesuai dengan kulit saya. Jadi, apabila beberapa minggu mencuba barangan keluaran mereka, saya mendapati produk diperbuat daripada pati bunga-bungaan ini sesuai sekali dengan keadaan kulit saya. Ketika itu juga mereka melamar saya sebagai duta," cerita Ayu yang pertama kali bergelar duta kepada mana-mana produk kecantikan.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: