![]() |
| PERSEMBAHAN Allen dan Lambert bersama Queen menerusi lagu We Are The Champions. |
Dengan undian melebihi 100 juta, hak mutlak itu diberikan kepada Allen yang mempunyai gaya persembahan tersendiri dengan mutu vokal yang ternyata memukau jutaan peminat rancangan itu di seluruh dunia.
Kemenangan penyanyi lagu-lagu rakyat itu menafikan hak peserta kegemaran, Adam Lambert, 27, yang turut berjuang di pentas keramat itu untuk bergelar juara.
Lambert digemari ramai kerana saban minggu bermula saringan pusingan akhir pada Mac lalu, dia mendominasi kedudukan dengan menampilkan peningkatan vokal dan mengubah sesebuah lagu menjadi lebih menarik.
"Saya minta maaf, tidak dapat berfikir apa-apa buat masa sekarang. Ini gila," kata Allen ketika mengulas mengenai kemenangannya.
Antara lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam itu yang berjaya mencuri tumpuan ialah lagu versi akustik nyanyian Donna Summer, She Work Hard For The Money, Ain't No Sunshine, What's Going On dan No Boundries.
Biarpun ramai yang menyatakan kemampuan vokal Allen sedikit terhad namun kebolehannya bermain alat muzik seperti gitar dan piano serta berkebolehan mengubah sesebuah lagu menjadi lebih menarik membuatkan dia diminati ramai.
Persembahan Lambert menerusi lagu Mad World dan A Change Is Gonna Come ternyata tidak mengecewakan. Malah, persembahannya menerusi lagu Mad World mendapat tepukan dan pujian daripada juri, Simon Cowell.
Bukan itu sahaja, menurut seorang lagi juri, Paula Abdul, persembahan Lambert pada malam itu adalah yang terbaik berbanding persembahannya sebelum ini.
Allen yang menjalani uji bakat American Idol musim kelapan (AI8) di Luisville, Kentucky bersama adiknya, Daniel tidak lama dahulu pernah memberitahu juri bahawa dia boleh menjadi penyanyi yang lebih baik dengan menyertai pertandingan itu.
Malah, sebaik memenangi pertandingan tersebut, Allen menyatakan bahawa kemenangan seharusnya diberikan kepada Lambert berdasarkan persembahan menarik pesaingnya itu.
Bagaimanapun, pilihan peminat rancangan itu termasuk rakyat Amerika sendiri ternyata bukan Lambert.
Bersandarkan kemampuan kedua-duanya baik Allen mahupun Lambert, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
Dua tahun lalu Allen pernah memiliki album berjudul Brand New Shoes.
Pertandingan akhir itu turut menyaksikan Allen dan Lambert berkolaborasi bersama Queen menerusi lagu We Are The Champions.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: