"Sebelum ini ramai yang cakap saya sekadar popular dengan lagu yang mendayu-dayu dan kedengaran kekampungan" – TOMOK

MENJADI seorang Tomok sebelum benar-benar diserahkan gelaran juara program realiti TV, One In A Million musim ketiga (OIAM3) hingga melayakkan dirinya membawa pulang hadiah berjumlah RM1 juta bukan sesuatu yang mudah.
Paling memeritkan, apabila namanya diumumkan oleh pengacara Awal Ashaari dan Marion Counter sebagai peserta yang disingkirkan pada malam peringkat akhir OIAM3 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam Jumaat lalu.
Gara-gara mendapat undian terendah, Tomok pula yang menjadi mangsa. Malam final OIAM3 sepatutnya hanya menampilkan dua peserta iaitu Aweera dan Esther.
Luluh jantung, malah dunianya pantas menjadi gelap-gelita mendengar perkhabaran memeranjatkan itu. Tidak lama kemudian, ada drama lain pula yang menanti. Tomok kemudian bersatu kembali bersama-sama Aweera dan Esther untuk terus beraksi di pentas akhir OIAM3.

Tomok yang ditemui selepas berakhirnya pertandingan itu memberitahu, dia menerima ketentuan tersebut dengan perasaan terbuka pada awalnya. Walaupun hati cukup terluka, namun itu realiti yang harus diterima.
"Awal-awal lagi saya sudah boleh terima jika ditakdirkan tidak dapat melakukan persembahan pada malam akhir OIAM3. Enggan bersikap terlebih yakin, saya sudah menjangkakan pelbagai keputusan sama ada baik mahupun buruk.
"Alhamdulillah, kesedihan saya kemudian bertukar jadi gembira apabila Allah memberi peluang kedua kepada saya untuk bertanding dengan rakan lain," katanya tersenyum bahagia sambil memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.
Jika mengikut format asal, peserta akhir OIAM hanya melibatkan dua orang. Apa jua boleh berganti tanpa diketahui.

Itulah yang terjadi kepada Tomok apabila peminat membuat undian di laman sesawang 8TV. Angka 90 peratus menyokong tiga orang peserta dipertaruhkan untuk ke peringkat akhir berbanding dua orang. Dan itulah yang dinamakan tuah kepada Tomok!
Sambung pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail itu, selepas namanya diumumkan layak masuk ke peringkat akhir OIAM3, semangatnya yang hilang terus membakar dengan marak sekali.
"Tiada lain yang saya fikirkan pada waktu itu. Sepantas kilat saya berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh membuat dua persembahan yang dirancangkan demi membuktikan kemampuan saya kepada peminat.
"Memanglah pada mulanya saya tertekan sebab dapat peratus tercorot daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton, tetapi saya lupakan segala kesedihan ini semata-mata ingin tonjolkan persembahan yang terbaik," ujarnya.

Jejaka berusia 25 tahun itu dapat melupakan kesedihan awalnya. Tiada apa lagi yang perlu ditangisi kerana Tomok kini secara mutlaknya sudah bergelar juara OIAM3.
Bukan itu sahaja, Tomok juga berjaya memecahkan tradisi OIAM apabila menjadi artis pertama dan peserta lelaki sulung yang memiliki gelaran itu.
Sudah tentu ia menjadi satu kebanggaan yang tidak mampu terluahkan dek kata-kata. Kenapa tidak, sepanjang empat bulan bergelar peserta OIAM3, Tomok memperlihatkan banyak peningkatan ketara hingga mengejutkan orang ramai.
Bermula saat itu, nama Tomok mula dibahaskan dalam nada-nada positif. Tidak lagi diperlekehkan seperti awal kemunculannya di laman seni tanah air sedekad lalu.
Ditanya sama ada istilah transformasi berlaku disebabkan dia memang mahu berubah demi kehendak sendiri atau sekadar memenuhi syarat program berkenaan, Tomok menegaskan: "Individu bernama Tomok yang dilihat dalam OIAM3 memang merujuk kepada diri saya yang sebenar."
Tidak ada sebarang kepura-puraan di sebalik empunya diri yang dikenali sebagai penyanyi lagu leleh sebelum ini, sebaliknya Tomok sudah lama mengimpikan untuk menjadi orang baru.
"Sebelum ini New Boyz bernaung dengan syarikat rakaman. Kami harus mengikut segala perancangan yang ditetapkan oleh pihak tersebut pada awal kemunculan bergelar penyanyi.
"Sudah pastilah peluang untuk memperlihatkan bakat yang ada agak terbatas. Sebab itulah saya nekad untuk menyertai OIAM3, walaupun pada permulaannya saya dikritik itu dan ini oleh masyarakat.
"Saya percaya OIAM3 menjadi platform terbaik untuk saya meluahkan diri sebenar kepada orang di sekeliling apatah lagi program ini sudah mempunyai reputasi tersendiri.
"Saya tidak mahukan lagi glamor, sebaliknya saya cuma hendakkan kerjaya saya lebih berpanjangan dan bagus berbanding sebelum ini.
"Dahulu peluang untuk saya tonjolkan diri memang susah. Sampai sukar untuk meyakinkan peminat bahawa saya juga boleh menjadi artis yang versatil.
"Saya melakukan perubahan kerana ingin menjadi Tomok yang baru," jawabnya telus.Dengan mendapat undian SMS sebanyak 39.3 peratus, Tomok menewaskan dua lagi peserta, Esther atau nama sebenarnya Elizabeth Applunius Chin yang meraih 33.29 peratus dan Aweera (Nasharul Aweera Norihissham) dengan undian 27.41 peratus.

Selain hadiah RM1 juta, Tomok yang menyanyikan lagu Aizat, Hanya Kau Yang Mampu dan lagu baru, Rindu Terhenti juga mendapat kontrak rakaman album bersama Monkey Bone dan albumnya akan diterbitkan oleh komposer terkenal, Aubrey Suwito.
Sudah bergelar jutawan muda, sudah pasti ia mengubah banyak perkara dalam diri Tomok. Itu menjadi kenyataan yang tidak mampu lagi untuk disanggah.
Tomok memberitahu, dia tidak akan sesekali menoleh ke belakang sambil mengenangkan Tomok yang berada di alam realiti sebelum menyertai OIAM3 empat bulan lalu.
"Saya tidak akan balik semula kepada Tomok lama," luah penyanyi yang sebelum ini terkenal menerusi lagu Sejarah Mungkin Berulang.
Tomok berkata, bukan disebabkan dia tidak mensyukuri sokongan peminat semasa dia bersama New Boyz sebelum ini, sebaliknya dia sudah merencana masa depannya agar terus berkembang lagi.
"Sebelum ini ramai yang cakap saya sekadar popular dengan lagu yang mendayu-dayu dan kedengaran kekampungan. Kini, saya mahu buktikan bahawa saya berjaya keluar daripada kepompong lama.
"Saya banyak belajar perkara baru semasa berada dalam OIAM3. Jadi, saya akan tampilkan pembaharuan diri menerusi album solo pertama saya.
"Sudah lama saya ada keinginan untuk muncul dengan album yang menampilkan sisi lain saya," jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Ingin bergelar komposer
Banyak lagi yang ingin dikongsi Tomok saat dirinya diwawancara pihak media. Karier seninya menjadi tajuk bualan utama sekali gus menzahirkan aspirasinya yang tinggi menggunung dalam cabang seni.
Menyelak satu persatu lembaran hajatnya, Tomok memasang angan-angan untuk menjadi seorang komposer.
Enggan dikenali sebagai penyanyi yang mendendangkan lagu milik orang semata-mata, sebaliknya dia mahu kreativiti yang dimilikinya diluahkan dalam lagu. Dinyanyikan sendiri olehnya atau barangkali diberikan kepada artis lain.
"Sepanjang berada di OIAM3, saya banyak berkomunikasi dengan Aubrey. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi seorang penyanyi yang berjaya.
"Saya berjanji untuk terus menimba ilmu dengan Aubrey. Selepas ini, kami akan sering bertemu untuk membincangkan tentang album saya yang akan dilahirkan.
"Kalau diberikan kesempatan, saya juga ingin melibatkan diri dalam penggubahan lagu. Saya akan belajar sedikit demi sedikit. Tidak kiralah kalau ia mengambil waktu panjang sekali pun.
"Saya tahu bukan mudah untuk menggapai cita-cita ini. Maka saya kena ringan mulut bertanya kepada individu-individu yang berpengalaman sebagai komposer untuk mengasah bakat yang tidak seberapa ini," ungkap Tomok yang bakal mengadakan projek istimewa bersama New Boyz dan membina studio muzik sendiri selepas ini.
Tidak melupakan nasib insan lain, Tomok juga akan menyumbangkan sejumlah wang yang diperoleh daripada hasil kemenangannya kepada rumah anak-anak yatim. Dia juga akan mengadakan kenduri sebagai tanda kesyukuran memegang status juara OIAM3.
Esther, Aweera terima kekalahan
Dalam pada itu, Esther juga dilihat tidak kurang hebatnya semasa menyampaikan lagu Please Don't Stop The Music dan Menggapai Mimpi, manakala Aweera pula memilih medley Sampai Syurga, My Baby You dan Hukum Karma selain lagu barunya, Kini Ku Di Sini.
![]() |
| Peminat kini menanti kelahiran album terbaru daripada Tomok yang baru. |
Tanpa berselindung, Esther, 21, mengaku Tomok menjadi insan paling layak meraih gelaran juara OIAM3. Namun dia pasrah dengan tuah yang lebih berpihak kepada Tomok.
"Tomok berhak jadi juara. Lagipun banyak perubahan yang sudah dia tunjukkan selama ini. Saya sendiri kagum dengan dirinya yang tidak mudah berputus asa dan sentiasa ada inisiatif mahu belajar.
"Terus terang, siapa sahaja yang tidak bersedih kerana kalah dalam pertandingan ini lebih-lebih lagi apabila mengenangkan penyokong yang selama ini memberi banyak galakan kepada saya.
"Mungkin tiada rezeki, tetapi saya sentiasa bersikap terbuka dengan kemenangan Tomok. Saya masih lagi boleh mengejar cita-cita untuk bergelar penyanyi selepas ini.
"Kalau saya berusaha dengan gigih pada masa depan, maka tidak mustahil saya juga akan mencapai kejayaan," jawabnya optimis.
Bagi Aweera, 18, kekalahannya dengan Tomok bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya. Dia tidak mahu menjadi seorang insan yang mudah mengalah apatah lagi usianya masih ranum.
"Saya akur dengan keputusan ini. Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana saya tetap akan menempatkan diri dalam bidang nyanyian dan bergelar penyanyi rock.
"Saya harap kemunculan saya dalam industri ini dapat diterima dengan baik oleh masyarakat. Hakikatnya, ini baru permulaan untuk saya.
"Banyak lagi pahit dan manis untuk saya hadapi selepas ini," ujar anak kelahiran Perlis itu yang awal-awal lagi sudah boleh menduga keindahan dan kejelikan lapangan seni.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: