Thursday, May 14, 2009

Tolak kerja lain demi Chef Jo

Sitkom gabung elemen masakan dan drama ubati rindu peminat terhadap Jaafar Onn

MEMANG sudah lama dia tidak muncul di kaca televisyen dengan memegang watak utama. Sering kali, siri televisyen yang menggunakan khidmatnya hanya menyenaraikan Jaafar Onn sebagai pelakon pembantu. Begitupun lelaki ini tidak pernah merungut, apatah lagi untuk mencaci. Baginya, itulah rezeki!

Namun, mulai 7 Mei lalu, namanya dibariskan sebagai pelakon utama Chef Jo, terbitan Grand Brilliance, siaran TV3. Menemui penonton setiap Khamis, jam 11 pagi, Jaafar mengetuai senarai pelakon lain seperti Nasrizal (Bell) Ngasri, Anne Ngasri, Anita Baharom, Aizad Jazmin, Noorkhiriah, Rozie Othman dan ramai lagi.

Sebaik saja siri terbarunya itu disiarkan, banyak SMS diterima pelakon yang juga tukang masak terkenal ini. Peminat yang merindui kemunculannya dengan watak utama, sejak Cili Padi, gembira dengan kehadiran siri terbabit. Ia petanda awal cukup membanggakan buat Jaafar, pengarahnya Fairuz Loy serta keseluruhan kru produksi.

"Jika sambutannya memberangsangkan, Insya-Allah musim keduanya akan diterbitkan untuk tayangan pada bulan puasa nanti," katanya mengenai siri yang dihasilkan atas cetusan ideanya sendiri.

Berlainan dengan siri lain yang ditayangkan sebelum ini, Chef Jo menggabungkan dua elemen dalam satu program - drama dan masakan!

"Jika kita menyediakan program masakan, ia mungkin hanya menarik golongan wanita saja untuk mengikutinya. Jadi, saya mempersembahkan sebuah konsep rancangan yang menggabungkan elemen drama dan masakan sekali gus, yang dirasakan boleh menarik kedua-dua golongan lelaki dan wanita untuk menontonnya," ujar Jaafar.

Dia berbangga apabila stesen televisyen nombor satu negara itu berani mencuba sesuatu yang baru seperti itu, demi mempersembahkan program yang mempunyai kelainan kepada penonton setia.

"Lagipun, memasak dan berlakon sudah menjadi sebahagian daripada hidup Abang Jaafar. Jadi, semuanya mudah dilaksanakan walaupun rancangan seperti ini belum pernah diketengahkan," ujarnya yang mencipta sendiri setiap resipi yang dipersembahkan dalam siri berkenaan.

Menurut artis komedi yang turut bergelar penyampai radio dan penyanyi ini, menerusi siri terbabit dia seronok melakonkan watak seorang chef yang mementingkan anak-anak dan kesejahteraan hidup mereka.

Drama bersiri ini memberikan fokus kepada watak Johari Sapeon atau lebih dikenali sebagai Chef Jo. Dia terkenal dengan kepandaiannya memasak serta kelazatan hidangan disediakannya. Begitupun, Chef Jo lebih selesa dengan gaya hidup sederhana, serta langsung tidak mengejar glamor.

Hasil perkahwinan dengan bekas isteri, Zuraidah (Rozie Othman) atau lebih dikenali sebagai Chef Zu, dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azman dan Azlynn. Walaupun jadual kerja Chef Jo cukup padat, dia tidak pernah mengabaikan tugas mengasuh anak-anak. Azman (Bell Ngasri) sudah bertunang dengan Serena (Anita Baharom), manakala Azlynn (Anne Ngasri) yang berkahwin dengan Farish (Aizad Jasmin) mempunyai seorang anak.

Chef Jo kerap diundang untuk memasak di merata tempat termasuk kompleks beli-belah, kenduri kahwin dan sebagainya. Dia dipuji kerana masakannya yang enak. Walaupun Chef Jo pernah ditawarkan untuk muncul di kaca televisyen, namun dia takut untuk berdepan dengan kamera.

Jadi, dia lebih senang bekerja sendiri dan membantu orang lain memasak. Chef Zu pula sering menjadi pesaingnya, tetapi Chef Jo lebih digemari kerana sikap ramah dan rendah dirinya. Dia juga sering kali tampil dengan resipi baru. Chef Zu yang berpura-pura ingin menjenguk anak-anak, sering kali mencuri resipi daripada bekas suaminya itu.

Chef Jo dirakam di Kuang, Selangor dan sekitar Kuala Lumpur. Penggambarannya baru saja selesai kira-kira dua minggu lalu, selepas kira-kira 40 hari rakaman berlangsung.

"Nampaknya, selepas siri ini dirakam dan kini ditayangkan, rezeki Abang Jaafar dalam lakonan bagai menjadi-jadi. Sebahagiannya Abang Jaafar terpaksa tolak kerana pertindihan jadual penggambaran. Bagi Abang Jaafar, pelakon tidak boleh bersikap tamak kerana akhirnya, ia akan menyusahkan banyak pihak.

"Abang Jaafar sendiri terpaksa melupakan beberapa projek komedi lain untuk menjayakan Chef Jo. Biarlah komitmen Abang Jaafar tidak terganggu dengan memikirkan jadual penggambaran yang bertindan-tindan, demi memberikan persembahan terbaik untuk peminat," katanya.

Sementara itu, Bell yang melakonkan watak Azman pula memberitahu, selain dia dan adik perempuannya, turut membintangi siri terbabit ialah anak lelakinya, Nasfazril Nasrizal, yang baru berusia setahun. Bagaimanapun, dalam siri berkenaan, anaknya itu membawakan watak seorang bayi perempuan, iaitu anak kepada Azlynn.

"Sebenarnya, ada bayi lain yang sepatutnya membawakan watak Aishah. Tetapi, apabila penggambaran dimulakan, bayi itu tidak dapat menjayakan projek ini. Jadi, hendak tak hendak, Fazril yang menjadi pelakon bidan terjunnya. Daripada seluar pendek, kenalah dia memakai gaun," cerita Bell yang bakal muncul dengan filem Kecoh Betul dan Kapowww!!! sedikit masa nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: