| DIA sering tampil sopan dengan watak gadis baik-baik di televisyen. Antara yang cukup popular di kalangan penonton di Malaysia ialah watak gadis bertudung bernama Soleha dalam sinetron sama dan watak Madina dalam Aqso Dan Madina. |
Namun, untuk penampilan terbarunya di layar perak, pelakon kelahiran Jakarta, Indonesia pada 10 Ogos 1989, Andriani Marshanda, berubah terus apabila menjadi gadis tidak terurus kerana ketagih dadah.
Tawaran daripada Sinemart untuk membintangi filem Kalau Cinta Jangan Cengeng arahan Monty Tiwa ini nyata menarik perhatian Marshanda. Baginya, inilah peluang terbaik untuknya tampil berbeza daripada lakonan sebelumnya melalui watak Yani.
Marshanda juga tidak bimbang watak itu boleh mengubah imej gadis baik yang dibinanya selama ini. Baginya dalam soal memilih watak dia tidak perlu terlalu memikirkan imej sebaliknya menguji kemampuan berlakon.
"Sebenarnya Sinemart yang berfikir panjang sebelum membuat tawaran kepada saya. Maklumlah, sebelum ini saya banyak tampil bertudung dan 80 peratus watak baik-baik.
"Apabila menceburi dunia lakon, saya tidak pernah memikirkan soal imej baik kerana sedar watak yang dijayakan bukanlah diri saya sebenar. Kalau melakonkan watak jahat, bukan bermakna saya jahat. Semua itu hanya lakonan dan berbeza dengan diri saya yang sebenar," katanya.
Marshanda juga terima tawaran ini untuk membuktikan dia benar-benar mencintai dunia lakonan dan bukan sekadar mengejar glamor. Sebagai persediaan menjiwai wataknya, Marshanda membuat kajian dan pemerhatian sendiri.
Kekasih VJ MTV, Ben Kasyafani ini juga banyak menghabiskan masa berjam-jam membaca skrip untuk benar-benar menjiwai wataknya. Tidak cukup dengan itu, Marshanda juga bergaul dengan golongan ini untuk mengetahui kehidupan sebenar mereka.
"Untuk filem ini, saya sanggup habiskan masa selama enam hingga sembilan jam sehari membaca skrip kerana sangat teruja menjiwai watak itu.
"Saya juga menghabiskan masa selama seminggu bersama golongan terbabit kerana ingin tahu bagaimana rasanya ketika khayal selepas mengambil dadah.
| |
"Saya juga tahu banyak istilah yang mereka gunakan. Malah saya belajar cara mereka menghisap dadah, tetapi saya menggunakan tepung," katanya.
| |
Pelakon yang juga baru mewarisi bisnes perhotelan daripada datuknya mengakui, dia kini boleh bercakap kasar dalam kehidupan seharian untuk membiasakan diri dengan wataknya. Marshanda juga perlu diet mati-matian untuk benar-benar menggambarkan dirinya sebagai penagih dadah.
"Untuk benar-benar menjiwai watak ini, saya juga bercakap kasar dengan orang sekitar. Mujur mereka faham saya cakap kasar untuk menjiwai watak saya hingga terbawa-bawa ke dunia realiti.
"Sutradara juga meminta saya baling kerusi tapi itu tiada masalah kerana saya benar-benar bersedia buat apa saja untuk menjiwai watak itu.
"Saya juga perlu diet kerana tidak mungkin watak ini badan berisi. Saya tidak makan malam malah tidak makan nasi sama sekali sebaliknya hanya makan roti dan sayur-sayuran yang benar-benar boleh turunkan berat badan," katanya.
Marshanda juga tiada masalah apabila dalam filem ini ada babak dia merokok. Katanya, Ben juga memberi sokongan sepenuhnya apabila dia menerima tawaran ini.
"Saya pernah membawanya menonton sendiri filem ini. Ternyata dia memberi sokongan penuh malah sangat menyukai lakonan saya," katanya.
Apabila bercakap soal filem cinta, Marshanda yang berlakon dengan Ringgo Agus Rahman dalam Kalau Cinta Jangan Cengeng mengakui, lebih suka kisah cinta realistik dan menyarankan filem cinta Indonesia tidak terlalu mengada-ngada.
"Filem tema cinta seharusnya lebih realistik, tidak hanya bersandarkan tangisan dan terlalu mengada-ngada. Bagi saya itulah filem cinta yang ideal," katanya.
Filem ini ditayangkan di pawagam Indonesia pada 19 Februari lalu. Ia mengisahkan Boy, pelakon terkenal ingin mengubah cara hidupnya selepas satu kemalangan menyebabkan dua mangsa terbunuh. Boy menjadi duta antidadah dan sering berkunjung ke pusat pemulihan untuk membantu penagih dadah.
Suatu hari dia bertemu Yani di pusat pemulihan dan pertemuan itu mengingatkan Boy kepada orang yang dilanggarnya.
Disebabkan rasa bersalah, Boy berazam menyelamatkan Yani dengan mengeluarkannya dari pusat pemulihan. Akhirnya hubungan mereka akrab dan jatuh cinta, tetapi penuh dengan halangan dan dugaan.
Mengenai kisah cinta dirinya, selain digosipkan bercinta dengan Ben Kasyafani, Marshanda juga dikatakan rapat dengan Edi Baskoro yang juga anak kedua Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. Malah gosip terbaru ini dikatakan menyebabkan hubungannya dengan Ben Kasyafani mulai renggang. Sebelum ini Marshanda bercinta dengan Baim Wong yang sama-sama berlakon dengannya dalam Soleha dan Aqso Dan Madina.
Bagaimanapun Marshanda menafikan hubungannya dengan Ben kini renggang.
Katanya, dalam seminggu mereka bertemu sampai lima kali. Marshanda juga menafikan cuba mengelak daripada diwawancara bersama.
"Bukan tidak mahu, tetapi memang kebetulan kami tidak pernah diwawancara bersama. Walaupun kami jarang diwawancara bersama, yang pasti kami bertemu hampir setiap hari," katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik pasangan Irwan Yusuf dan Riyanti Sofyan ini mula menceburi dunia seni sebagai model ketika usia tujuh tahun untuk iklan Bank Danamon.
Namanya mula dikenali sebagai pelakon menerusi watak Laila dalam sinetron Bidadari diikuti sederet sinetron lain, Bidadari 2, Keluargaku Mata Hatiku, Kisah Sedih Di Hari Minggu, Kisah Kasih Di Sekolah, Adam Dan Hawa serta Manis dan Sayang.
Marshanda juga mendapat tawaran berlakon filem menerusi Pendidikan Bahasa Inggris dalam bentuk VCD dan Petualangan 100 Jam. Tidak hanya menceburi lakonan, Marshanda juga dikenali sebagai penyanyi apabila menghasilkan album kompilasi terutama bentuk dakwah seperti Allah Yang Kucintai pada 2002, Best Of Female Idol, Broken Heart, Now And Forever, Dua Belas Lagu Islami Terbaik dan dua album solo, Bidadari dan Marshanda.
Mengenai album baru, Marshanda mengakui akan muncul dengan karya terbaru tidak lama lagi, tetapi katanya, buat masa ini dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada lakonan.
"Soal nyanyi tetap berjalan tapi nantilah. Harap peminat sabar menunggu," katanya.
PROFIL
Nama sebenar: Andriani Marshanda
Tarikh lahir: 10 Ogos 1989
Tempat lahir: Jakarta, Indonesia
Bapa: Irwan Yusuf
Ibu: Riyanti Sofyan
Adik beradik: Anak sulung daripada tiga beradik
Agama: Islam
Kerjaya: Model, pelakon, penyanyi
Sinetron: Bidadari, Keluargaku Mata Hatiku, Kisah Sedih Di Hari Minggu, Kisah Kasih Di Sekolah, Adam Dan Hawa, Manis Dan Sayang, Benci Bilang Cinta, Soleha, Aqso dan Madina, Hikmah 2
Filem: Kalau Cinta Jangan Cengeng, Petualangan 100 Jam
Album: Allah Yang Kucintai, Dua Belas Lagu Islami Terbaik, Bidadari, Marshanda.
Iklan: Filma, Cadbury Eclairs, Supermi Ayam Bawang, Es Mony, Tango Wafer, Chicken Nuggets, Carvil Millenium, dan Susu Bendera.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: