Friday, May 15, 2009

Subash nak jual budaya Melayu


PERCUBAAN sulung pengarah baru, M Subash Abdullah menerusi filem Pensil gagal meraih sambutan penonton apabila filem itu sekadar mencatat kutipan RM36,000.

Walaupun mempertaruhkan pelakon berpengalaman seperti Maimon Mutalib, Ruminah Sidek, Khatijah Tan dan Jalil Hamid manakala M Subash sebagai pelakon utama, filem mengisahkan lelaki cacat iaitu Badrul yang berusaha mengumpul wang untuk membeli kaki palsu ibunya masih kurang mendapat perhatian khalayak.

Di sebalik kegagalan itu, M Subash mampu berbangga kerana filem itu mendapat dua anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-21 tahun lalu menerusi Anugerah Khas Juri kerana mengangkat sifat kemanusiaan dan kesedaran masyarakat terhadap golongan kurang upaya. Pelakon Ruminah Sidek pula menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Berbekalkan semangat dua anugerah itu, M Subash terus berkarya dan menghasilkan filem kedua, Syirik. Filem ini yang turut dijayakan Khatijah bersama M Subash sebagai pelakon utama dibantu Sham Sunder, Naindra Anuar dan Jeff Omar, membawa kisah berbeza mengenai pelajar jurusan perfileman iaitu Lina yang mati dibunuh kejam hingga mayatnya dikerat 18 bahagian. Dalam memberi kelainan, M Subash tampil melakonkan watak Lina yang merasuk ke dalam badan lelaki yang membunuhnya.

Ketika majlis pratonton filem ini di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Kuala Lumpur baru-baru ini, M Subash berkata filem keduanya ini bukan hanya cerita yang tertumpu kepada Lina yang mahu membalas dendam terhadap pembunuhnya, tetapi menyelitkan mesej positif pada nilai kekeluargaan dan perpaduan antara kaum.

Mengambil latar kampung untuk set penggambaran, filem ini menggambarkan hasrat Lina untuk menghasilkan filem dokumentari, tetapi tidak tercapai selepas dia mati dibunuh. Watak bomoh turut ditampilkan antara individu yang merancang untuk membunuhnya.

"Saya mahu 'jual' budaya Melayu dan perpaduan antara berbilang kaum yang diterjemahkan menerusi filem. Sebagai pengkarya, saya berpandangan filem menjadi medium penting dalam mencetuskan minda penonton untuk faham konsep budaya dan perpaduan.

"Filem ini sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Mona Fandey dan golongan bomoh juga tidak perlu bimbang jika mereka tidak mengamalkan pemujaan. Walaupun saya melakonkan watak wanita tetapi ia bukan memaparkan kisah pondan sebaliknya roh Lina yang merasuk ke dalam badan seorang lelaki.

"Saya mahu menjadikan filem ini suatu yang unik dan saya sendiri ingin mempelbagaikan watak berbeza dari lelaki cacat menerusi Pensil kepada watak wanita dalam filem ini. Aspek perpaduan pula dapat dilihat pada kewujudan watak keluarga Lina yang mempunyai ibu berbangsa Melayu manakala bapanya adalah India.

"Ibu Lina (lakonan Khatijah) pernah berkata dia terpikat dengan suaminya kerana keindahan lagu India hingga masih memperjuangkan tarian tradisional dan pantun yang turut diwarisi anaknya, Lina. Mengenai aspek lakonan, saya masih kecewa kerana Pensil gagal menonjolkan apa yang saya harapkan. Saya percaya lakonan saya untuk filem ini boleh diterima penonton," katanya.



Kata M Subash, dia tidak kisah jika filem kali ini kurang sambutan sebagaimana nasib Pensil tetapi berharap segelintir penonton mendapat manfaat dari mesej yang disampaikan. Filem ini menampilkan nilai perhubungan kekeluargaan yang erat antara ibu dengan anak. Malah, filem ini memberi ingatan pada penonton mengenai kes culik yang berlaku dalam masyarakat.

Penggambaran filem ini hanya dibuat selama empat hari dan menggunakan khidmat Pengarah Fotografi, Indra Che Muda. Judul Syirik, ia sebenarnya adalah singkatan pada tiga nama pembunuh iaitu Syamsul, Idris dan Kumar. M Subash berkata, filem ini tidak merujuk pada agama tertentu dan berharap filem ini tidak menimbulkan kontroversi.

"Saya fikir jika Pensil diberikan promosi secara meluas sebelum ini, ia mampu meraih sambutan positif penonton kerana saya yakin filem itu sepatutnya boleh 'pecah' panggung. Begitu juga dengan Syirik, saya berharap untuk mendapat promosi daripada media. Bagaimanapun, saya tidak terlalu mengharap pada sambutan penonton.

"Jika sambutan Syirik juga tidak membanggakan sepertimana Pensil, saya akan tetap meneruskan minat saya untuk menghasilkan filem baru. Pada saya, filem berkonsep sebegini yang membawa nilai perpaduan antara kaum dan budaya tempatan perlu diselitkan dalam filem," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: