Tuesday, May 5, 2009

Suara hati Rossa


PALING hangat diperkatakan mengenai penyanyi popular seberang, Roslaina Sri Handayani (Rossa), 30 sekarang ini adalah status perkahwinannya dengan pemain dram yang juga komposer popular, Yoyo Presetyo.

Menerusi laman sesawang banyak dilaporkan mengenai pasangan ini tidak lagi hidup bersama selepas Yoyo didakwa menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Perkara itu turut disedari Rossa.

Terbaru media seberang melaporkan penyanyi yang sedang hangat dengan lagu duet Terlanjur Cinta bersama Pansa (Ungu) masih cuba mempertahankan rumah tangganya selepas pergolakan yang berlaku dengan tidak memfailkan tuntutan cerai atas nasihat ibunya sendiri, Eny Kusmiani.

Rossa sendiri tidak pernah menyatakan secara terbuka mengenai statusnya yang menjadi perhatian ramai. Mereka ingin tahu adakah dia sudah bergelar janda atau masih isteri Yoyo?

Kehadiran penyanyi itu bagi menjayakan persembahan Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) di Kuala Lumpur, Sabtu lalu memberi peluang kepada media tempatan untuk mendapatkan kesahihan berita dilaporkan itu.

Walaupun cuba menyembunyikan perkara sebenar, Rossa pada waktu sama bersikap jujur dengan menjawab segala pertanyaan dengan terbuka.

"Saya masih isteri kepada Yoyo. Itu saja yang boleh saya beritahu. Mengenai masalah dihadapi, sebagai manusia siapa yang tidak pernah dilanda dugaan.

"Namun, saya bersyukur kerana Tuhan sentiasa memberikan kebahagiaan lain yang datang dari permata hati saya, Rizky Langit Ramadhan dan kerjaya seni saya yang setiap tahun berkembang dengan sangat baik," katanya.

Mendengar lagu dimuatkan di dalam album terbarunya yang menggunakan judul namanya sendiri ternyata Rossa seakan-akan ingin memberitahu peminat mengenai pergolakan dialami.

Sebagai bukti, pendengar boleh menilai sendiri menerusi lagu Hati Yang Kau Sakiti ciptaan Enda (Ungu), betapa penyampaian dan penghayatannya cukup dalam seolah-olah itu adalah suara hatinya.



Menjelaskan mengenai perkara itu kata Rossa, dia tidak menafikan ada antara lagu dan lirik ditampilkan dalam album kesembilan itu berupa luahan hatinya.



"Album ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan dalam tempoh itu banyak perkara saya lalui. Sudah tentu ia sedikit sebanyak mempengaruhi suasana penyampaian dalam lagu dihasilkan.

"Lagu yang dimuatkan itu juga sebenarnya saya anggap seperti diari hidup menceritakan perjalanan yang dilalui dalam tempoh dua tahun itu. Cuma kepada pendengar dan peminat terpulang kepada mereka bagaimana hendak mentafsirnya," katanya.

Bercerita lanjut mengenai album itu, kata Rossa lagi, kerana itu album terbaru yang diedarkan syarikat rakaman Suria Records Sdn Bhd (SRC) di Malaysia menggunakan judul namanya kerana ia memang mengenai dirinya.

"Apa yang ada dalam album itu mewakili diri saya. Saya mahu menghasilkan sesuatu yang dekat dengan saya. Malah kebanyakan pencipta menghasilkan lagu dan lirik dalam Rossa adalah teman saya tempat mengadu.

"Rakan komposer dan penerbit ini tahu apa yang sedang saya lalui dan cukup faham mengenainya. Jadi, mereka menggunakan pengalaman hidup saya itu untuk menghasilkan lagu terbabit dan dirakamkan dalam Rossa.

"Saya akui ada yang berkata album itu terlalu 'Rossa'. Lagunya juga lebih banyak balada dan tidak mencabar vokal, tetapi ia lengkap mewakili saya dan menerangkan siapa diri saya sebenar.

"Begitupun, saya masih tidak meminggirkan peminat apabila turut menampilkan lagu berentak rancak seperti rock dan dance seperti dihasilkan Melly Goeslaw dalam Hey Ladies.

Menyentuh mengenai kemenangannya pada malam AIM16 apabila sekali lagi mengungguli kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Artis Luar Negara, jelas Rossa dia gembira kerana penggiat industri muzik tempatan menerima karya dihasilkan dan mengiktirafnya.

"Saya sangga berbangga dan berterima kasih kepada semua rakan pemuzik di sini yang menerima kehadiran saya dengan tangan terbuka," katanya yang akan kembali ke sini pada Jun ini untuk mengadakan konsert mini dan mempromosikan albumnya di Life Centre.



Profile

Nama Penuh: Roslaina Sri Handayani

Panggilan: Rossa atau Oca

Tarikh Lahir: 9 Oktober 1978

Umur: 30 tahun

Asal: Sumedang, Jawa Barat Indonesia

Pendidikan: Sarjana Muda Pengajian Politik dan Sosial, Universiti Indonesia

Status: Berkahwin (dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo Presetyo)

Anak: Rizky Langit Ramadhan

Kerjaya: Penyanyi

Album: Untuk Sahabatku, Nada Nada Cinta, Tegar, Hati Yang Terpilih, Kini, Kembali, Yang Terpilih, Runut Bunyi Ayat-Ayat Cinta dan Rossa.

Pencapaian: Artis Wanita Pilihan Anugerah MTV Indonesia (2000), Artis Solo Wanita Terbaik Anugerah Muzik Indonesia (2008), Penyanyi Paling Popular Anugerah SCTV (2008), Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Artis Luar Negara, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-15 dan Ke-16.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: