| DALAM keadaan kelam-kabut membuat persiapan perkahwinan tiba-tiba Diana Rafar dikejutkan dengan berita tunang tersayang, Zamarul Hisham dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah sakit dada. |
Perkara itu dijelaskan Diana sendiri sewaktu menghubungi teman SS kerana ingin memohon maaf kerana masih belum berkesempatan mengedarkan kad jemputan perkahwinan.
Majlis pernikahan dan persandingan pasangan ini dijadualkan berlangsung pada 16 Mei di Shah Alam Selangor. Cerita Diana, kejadian itu berlaku minggu lalu.
Zamarul tiba-tiba menghubunginya mengadu mengalami sakit dada dan pada waktu sama apa yang merisaukan pelakon filem Susuk itu apabila tunangnya sedang memandu dan berada di tengah jalan raya.
Kata Diana, dia kaget apabila suara pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia itu tiba-tiba terhenti ketika bercakap.
Mujur ada suara lain di talian dan menjelaskan Zamarul pengsan dan terus menghantarnya ke Hospital Universiti untuk mendapatkan rawatan.
Zamarul dimasukkan ke dalam wad hampir tiga hari. Doktor yang merawatnya menjelaskan pelakon itu tidak menghadapi apa-apa masalah dan sesak nafas berlaku mungkin disebabkan dia terlalu stres atau penat bekerja.
Kata Diana, walaupun sebelum itu dia sudah menjelaskan kepada Zamarul supaya tidak terlalu memikirkan mengenai persiapan membabitkan majlis yang bakal berlangsung, aktor popular itu tetap risau.
Menambahkan lagi tekanan buat pasangan ini apabila ada majalah hiburan yang menyiarkan spekulasi tidak benar dan boleh mengaibkan mereka menyebabkan keadaan kesihatan Zamarul semakin terganggu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: