| SEMAKIN dekat hari pernikahan, semakin berdebar perasaan pelakon Emelda Rosmila (Emelda) yang akan bernikah dengan Adlin Aman Ramlie pada 22 Mei ini. |
Majlis pernikahan mereka bakal diadakan di rumah ibu bapa Emelda di Ipoh, Perak diikuti majlis resepsi di Dewan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK), keesokan harinya pada sebelah malam.
Perasaan berdebar dan gementar itu diceritakan Emelda kepada rakan SS ketika memaklumkan mahu mengedarkan kad undangan. Kata Emelda, dia berasa gementar terutama apabila memikirkan persiapan yang sedang dilakukan.
Katanya, mujur keluarga turut membantu membuat segala persiapan diperlukan dan ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan.
Bagi SS, perasaan dirasai Emelda sekarang adalah biasa bagi mereka yang mahu mendirikan masjid. Malah tidak dinafikan pelbagai dugaan terpaksa diharungi pasangan pengantin baru sebelum dapat merasai manisnya hidup bergelar suami isteri.
Ia boleh dianggap sebagai ujian, tetapi percayalah apabila tiba harinya nanti, pasti segala yang dirancang dapat dijalankan dengan sempurna.
Menjelaskan mengenai persalinan di majlis pernikahan dan persandingan itu nanti, cerita Emelda, dia mendapatkan khidmat pereka muda Rizman Ruzaini dan Calvin Thoo.
Dalam gementar, SS lihat bakal suami Emelda juga pelakon dan pengarah, Adlin begitu teruja untuk bernikah dengannya. Malah minggu lalu ketika menjadi juri Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), pewaris seni AR Tompel dan Ruminah Sidek itu bersungguh-sungguh memberitahu kepada semua mengenai majlis yang bakal berlangsung.
Baguslah begitu, ia menunjukkan Adlin berasa sangat bangga kerana dapat menyunting Emelda menjadi suri hidupnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: