Thursday, May 14, 2009

SOSEH SOSEH: Berceramah campur emosi


ARTIS ini pernah meluahkan hasrat meninggalkan lapangan seni suara. Kejap kata nak berhijrah ke luar negara. Ada juga SS dengar dia hendak berundur diri sebab nak kahwin.

Tak tahulah mana satu yang betul kerana kebelakangan ini ada lagi muka dia dalam dunia seni. Baru-baru ini dia muncul dalam program berbentuk motivasi.

Selain kemunculannya dalam program itu, ada cerita lain yang lebih menarik mengenai artis itu. Cerita ini SS dengar daripada rakan yang hadir pada majlis pelancaran program berkenaan.

Melihatkan raut wajahnya yang manis dengan pakaian sopan santun itu, melambangkan dia gadis pingitan. Tapi kata rakan SS, jangan terpedaya dengan penampilannya kerana percakapannya tidak seperti imejnya.

Apabila dia buka mulut bercakap, terserlah bongkaknya. Kononnya dia dah baca macam-macam kitab, lepas itu sikapnya gedik semacam. Berbulu mata melihatnya, tetapi di sebalik 'kepandaian' dan 'kebijaksanaannya' bercakap pasal agama, masih sempat menyindir orang lain.

Khabarnya dia sekarang hendak cuba jadi penceramah pula. Memang hebat artis kita, penyanyi jadi pelakon sudah perkara biasa begitu juga pelakon jadi penyanyi. Malah ramai juga jadi pengacara dan kini ada satu cabang lain, penceramah.

Tapi satu yang SS musykil kerana selalu dengar yang mengatakan dia bercakap kelam-kabut bercampur emosi, bimbang juga bagaimana masyarakat menerima dan memahami apa yang cuba disampaikannya.

Nasihat SS, sebelum berceramah, cermin dan perbaiki diri dulu. Kalau diri sendiri dah kalut, macam mana kita hendak mengajak orang menuju kehidupan yang diredai Allah Taala? Jangan nanti kerana mahu merebut peluang ditawarkan, tidak buat pertimbangan sewajarnya. Bukan apa, bimbang nanti memalukan diri sendiri, nanti kena kritik, melenting pula.

Kalau menyampaikan syarahan, sebaiknya gunakan bahasa indah dan sangat beralas supaya tidak menyinggung hati sesiapa. Barulah sejuk hati mendengarnya. Ceramah yang disampaikan pun cepat meresap dalam jiwa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: