
Konsert yang diberi judul Satu ini merupakan konsert eksklusif Siti setelah sekian lama. Bagaimanapun keuntungan jatuh nombor dua, kerana ruang yang diberikan Istana Budaya ini dianggap Siti peluang untuknya beramal. Justeru sebahagian hasil jualan tiket akan diserapkan ke Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Dalam keadaan kegawatan sekarang, Siti mengukur baju di badan sendiri. Kos yang dikeluarkan untuk konsert ini tidak terlalu besar dan hingga ke hari ini, kami masih menanti jika ada pihak yang bermurah hati untuk membantu dari segi tajaan,” ujar Siti yang menjangkakan kos konsert kelak mencecah lebih setengah juta.
Meskipun dengan kos yang berpada-pada, Siti bagaimanapun melahirkan kesyukuran kerana mendapat karyawan terbaik bagi menerajui konsert ini. Antaranya Pat Ibrahim selaku pengarah konsert dan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.
“Konsert ini bakal menterjemahkan perasaan suka duka Siti sepanjang bergelar anak seni. Ia turut dijayakan 20 orang pemuzik yang dipilih sendiri oleh Aubrey dan 25 penari,” ujar Siti yang akan mendendangkan kira-kira 30 buah lagu termasuk secara medley.
Menyentuh tentang gimik yang mungkin dilakukan, Siti menyatakan tiada cadangan untuk babak ‘terbang’ atau kejutan spontan lain yang pernah dilakukannya sebelum ini, sebaliknya dia mahu menekankan aspek nyanyian, mainan emosi, tarian dan sudut teknikal lain untuk memastikan cerita di balik lagu yang didendangkan sampai kepada penonton.
“Segmen yang dalam konsert kelak akan memaparkan perjalanan Siti daripada budak sekolah yang ingin memasuki bidang seni kepada kejayaan yang diraih, dugaan yang mendatang, alam percintaan hinggalah masa sekarang,” katanya.
Sebak mengenang bapa
Secara kebetulan, Konsert Satu diadakan bersempena Hari Bapa pada tahun ini. Namun Siti kelihatan kurang selesa untuk memperkatakan soal ini kerana akuinya, hati cukup mudah tersentuh mengenangkan bapa tersayang yang baru sahaja meninggal dunia 15 Februari lalu. Saat terus diajukan soalan berkaitan, jari jemari Siti mengusap-usap sebentuk cincin berbatu putih di jari manis kanannya.
“Ini cincin kenangan, abah yang bagi sewaktu Siti mula-mula menjadi penyanyi. Siti memakainya selalu untuk mengubat kerinduan pada arwah,” ujar Siti.
Dan, soalan berkaitan Hari Bapa kemudiannya ditinggalkan apabila air mata Siti mula bergenang saat Rozie, kakak iparnya menyampuk menyatakan arwah amat menyayangi Siti sehinggakan setelah ketiadaannya, satu-satunya gambar yang mereka dapati ada dalam dompet arwah ialah gambar lamanya bersama penyanyi bersuara emas ini.
Bakal usahawan kosmetik
Melihat wajah mulus milik Siti, pasti ramai yang mengharap untuk kelihatan sepertinya. Kini hasrat itu tidak mustahil kerana Siti bercadang untuk berkongsi barangan penjagaan kulit dan kosmetik keluaran syarikatnya tidak lama lagi.
“Sudah tentulah Siti akan memakai produk tersebut dan memastikan keberkesanannya dulu, kemudian baru boleh jual " ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: