Tuesday, May 5, 2009

Shila jelajah 15 sekolah


DISENARAIKAN dalam kelompok Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) yang berlangsung Sabtu lalu, dianggap pengiktirafan cukup besar buat penyanyi muda yang semakin melonjak naik, Siti Nurshahila Amir Hamzah, 19, atau Shila.

Dia yang mempertaruhkan lagu Memori Tercipta ciptaan Audrey Suwito, bangga kerana berada dalam kategori yang cukup besar dalam anugerah itu.

Tambah membanggakan anak dara penyanyi ND Lala ini apabila diberi penghormatan menjayakan persembahan malam itu bersama Nikki, Dina, Alyah dan Ayu menerusi segmen khas menyampaikan lagu popular Sudirman, Terasing sebagai penghargaan kepada pencipta lagu dan penulis lirik, Habsah Hassan yang menerima Anugerah Wirama.

Bersaing dengan rakan seangkatan yang mempunyai kekuatan tersendiri menerusi kategori itu seperti Ayu dengan lagu Hanya Di Mercu, Dina (Sejauh Ini) manakala Datuk Siti Nurhaliza yang menang kategori itu sejak 1996, dicalonkan menerusi dua lagu, Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman dan menang menerusi Di Taman Teman.

Shila rasa bertuah biarpun tidak memenangi anugerah itu kerana baginya ia tetap penghargaan besar sebagai anak seni. Malah menyifatkan petanda positif bakat seninya diiktiraf.

Mengulas kemenangan Siti, Shila menyifatkan ia sememangnya satu keputusan tepat malah berbesar hati kerana disenaraikan dalam kelompok terbaik di samping menjayakan persembahan pada malam kemuncak itu.

“Sebelum ini saya memang menyimpan impian untuk masuk senarai dalam AIM16. Soal menang atau kalah tidak timbul. Sudah tersenarai dalam kelompok itu sudah cukup memadai buat saya. Ia membuktikan satu peluang dan penghargaan yang besar,” katanya.

Mengulas perkembangan seni, Shila kini sibuk memenuhi jadual promosi Hannah Montana School Tour di 15 sekolah di seluruh Malaysia. Di samping itu, mempromosikan lagu dan filem pertama, Hannah Montana yang dijadual ditayangkan di seluruh pawagam tempatan pada 4 Jun ini.

Menurut jurucakap program Hannah Montana itu, menerusi program Jadi Hannah Montana Rock bersama Shila itu mencungkil bakat seni pelajar sekolah rendah dan menengah.

Peserta perlu menghantar penyertaan dalam bentuk video yang menampilkan persembahan menyanyi dan menari. Seorang peserta akan dipilih daripada setiap sekolah berkenaan untuk bersaing di peringkat akhir.



“Program ini lebih kepada mini episod untuk mempromosikan filem Hannah Montana yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Promosi dijangka berakhir pada 16 Mei ini.



“Setakat ini saya sudah menjelajah sembilan sekolah di Semenanjung Malaysia. Tidak dinafikan kebanyakan pelajar sekolah ini cukup berbakat dalam bidang seni. Program ini ternyata berjaya mencungkil beberapa bakat baru.

“Pada masa sama kita juga dapat melatih pelajar membina keyakinan diri ketika menjayakan persembahan selain menggalakkan mereka terbabit dalam bidang seni,” kata Shila yang turut tampil bersama single kedua, Kejar ciptaan Audi Mok yang bakal dimuatkan dalam album runut bunyi filem Hannah Montana.

Lebih menarik, pemenang juga akan diberi peluang tampil bersama Shila dalam program khas, Disney Channel (Astro). Setiap sekolah yang menang mendapat Yamaha keyboard, sijil penyertaan dan beberapa hadiah sampingan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: