Friday, May 15, 2009

Saya tidak pernah hutang ‘ah long’ :: Alyah

Baru-baru ini penulis terkejut apabila mendapat khabar berita kurang menyenangkan tentang penyanyi yang kini popular dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang, Alyah. Dia dikatakan melarikan diri daripada ‘ah long’ kerana gagal membayar hutang.

“Saya tak pernah lari dari sesiapa. Jika betul saya ada berhutang, datang jumpa saya dan buktikan. Saya tak takut kerana saya di pihak yang benar. Pelik juga macam mana cerita ini boleh timbul. Usahkan dengan ‘ah long’, dengan rakan-rakan juga saya tidak ada berhutang.

“Setakat ini saya masih lagi boleh menampung hidup dan berbelanja mengikut kemampuan. Saya pun tidak tahu apa motif cerita begini disebarkan, tetapi saya mohon supaya ia dihentikan segera. Cerita-cerita begini boleh memberikan kesan buruk kepada kerjaya saya,” ujar Alyah ketika dihubungi.



Berdepan penyakit misteri

Di sebalik cerita berhutang, Alyah sebenarnya berdepan dengan masalah kesihatan sejak akhir-akhir ini. Dia terpaksa berehat beberapa hari di rumah lantaran penyakit misteri yang dihidapinya. Malah dua hari sebelum majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini, dia mengalami masalah sakit tekak yang serius hinggakan kehilangan suara.

“Saya tertekan sangat ketika itu kerana perlu membuat persembahan untuk AIM. Badan saya sihat, tak ada batuk atau sakit dada tetapi suara tak keluar. Jumpa doktor, tetapi doktor cakap ok tak ada masalah. Mungkin disebabkan stres saya hilang suara.

“Saya ikhtiar juga cara lain dengan merujuk kepada perubatan tradisional. Alhamdulillah, setelah mendapat air penawar suara saya kembali pulih. Itu yang dapat membuat persembahan di malam AIM hari itu. Kalau tidak, saya tak tahulah nak cakap apa,” ujarnya.

Ditanya sama ada sakit misteri yang dialaminya itu berpunca daripada sikap dengki dan kurang senang seseorang terhadap kerjaya seninya yang semakin menyinar, Alyah tidak menolak kemungkinan itu. Walau bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu memikirkannya dan menganggap apa yang berlaku sebagai dugaan dan ujian yang harus didepani sebagai anak seni.

“Sakit ini datang apabila saya kerap keluar TV atau majalah. Saya sendiri tidak tahu kenapa. Namun, kalau benarlah ada yang kurang senang dengan saya, saya mohon maaf banyak-banyak. Saya hanya mahu bekerja dan mencari rezeki untuk keluarga, tidak ada niat lain selain itu.



Tidak pernah berdendam

“Saya tidak pernah berdendam dengan sesiapa. Saya memaafkan semua orang. Cuma apa yang saya harapkan agar kita tidak saling menjatuhkan orang lain. Kalau kita mahukan sesuatu, kita berusaha dengan cara yang betul,” ujarnya penuh makna.

Apa yang berlaku itu tidak pernah mematahkan semangat penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi pertandingan Bintang HMI anjuran RTM ini. Malah, keluarganya juga tidak menjadikan kejadian ini sebagai alasan untuk memintanya berundur dari kerjaya seni.

“Alhamdulillah keluarga amat memahami. Kalau diikutkan, memang ibu saya sangat risaukan keadaan saya bila dah kena macam ni. Tetapi kami menganggap apa yang berlaku ini sebagai dugaan. Kerja apa pun, tetap ada dugaan dan tekanannya. Tidak semestinya saya berhenti menyanyi, saya tidak akan berdepan dengan apa-apa masalah lagi.

“Lagipun, di awal kemunculan saya dalam bidang seni dulu, kerjaya saya tidak begitu menjadi. Sekarang saya mendapat peluang kedua. Jadi, tentulah saya tidak mahu mensia-siakan harapan yang diberikan oleh peminat ini,” ujarnya penuh semangat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: