Sunday, May 24, 2009

Sam tidak buru kontroversi

Kecoh seketika atmosfera tanah air apabila pelbagai kisah buruk mat rempit yang dipaparkan di muka depan kebanyakan akhbar.

Ragut, rompak dan samun semakin berleluasa sehingga menyebabkan kematian. Malah ia terus menjadi perdebatan.

Yang pastinya ramai yang mengutuk golongan ini dan mahu ia dibanteras. Ada yang mahu gelaran mat rempit dipanggil samseng jalanan.

Apa yang dikhuatiri gelaran ini tidak memberikan apa-apa kesan kepada golongan mat rempit secara keseluruhannya.

Namun ada yang mula menunding jari kepada filem arahan Syamsul, anak kepada sutradara Datuk Yusuf Haslam yang baru sahaja selesai tayangan di pawagam seluruh negara.

Filem Bohsia-Jangan Pilih Jalan Hitam itu seolah-olah mempopularkan kehidupan mat rempit yang terlibat dengan pelbagai perlakuan sumbang.

Macam-macam dakwaan kononnya filem ini terus mengangkat dan mengagungkan golongan mat rempit walaupun hakikatnya menggunakan ia menggunakan kehidupan bohsia sebagai tema utama.

Bagi pelakon utama filem itu Shaheizy Sam atau Sam berpendapat semua itu merupakan andaian daripada pihak yang kurang senang dengan filem seperti itu.

Jelasnya, jika filem itu tidak dihasilkan sekalipun, kes-kes jenayah yang memang tetap akan berlaku.

“Saya tak mahu menyalahkan filem tersebut. Bagi saya masyarakat seharusnya bijak menilai apa sahaja yang dipaparkan. Semua orang boleh berfikir dengan baik.

“Apabila orang yang datang menonton berfikir, sudah pasti perkara negatif tersebut tidak akan terjadi. Kalau semua berterusan menyalahkan filem, maknanya kita tak boleh menonton apa-apa lagi termasuklah televisyen.

“Semua ini terpulang kepada setiap individu. Kalau mereka mahu melakukan kejahatan, mereka tetap akan berbuat demikian. Begitu juga sebaliknya,” jelas adik kepada pelakon Zizie Ezette ini.

Mengulas mengenai perkembangan terbarunya, Sam bakal muncul dengan filem Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Evolusi KL Drift 2 tidak lama lagi.

Dunia lakonan seakan-akan sudah sebati dengan dirinya memandangkan dia sudah mendapat pendedahan sejak kecil lagi.

Walaupun sudah hampir satu dekat terlibat dalam dunia lakonan, nama Sam seakan-akan suram, tidak seperti pelakon lain yang memburu populariti.

“Saya tidak mencari kontrovesi untuk popular. Kalau saya melakukan sebegitu sudah lama orang mengenali saya. Itu bukan cara saya.

Akui Shaheizy, dia merupakan seorang yang pemalu dan kurang berbicara kerana bimbang akan mengguris hati orang yang mendengar.

Apa yang menariknya tentang pemuda yang baru menginjak usia 26 tahun ini, apabila ke set penggambaran, dirinya akan terus bertukar kepada watak yang dilakonkan.

“Saya tidak memilih watak. Skrip adalah perkara terpenting yang perlu dititik beratkan. Kekuatan skrip akan membuatkan saya lebih bersemangat untuk berlakon seterusnya menjadi pelakon yang berjaya pada masa akan datang,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: