Saturday, May 23, 2009

Saka kerbau balar




KUALA LUMPUR: Bagi memastikan mereka sentiasa kelihatan jelita, muda dan kekal remaja, segelintir pelayan pelanggan (GRO) di ibu kota membelanjakan sehingga puluhan ribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan tangkal dikenali ‘saka kerbau balar’.

Segala-galanya kerana saka itu dikatakan mampu memberikan kuasa luar biasa kepada pemakainya sehingga mampu melayan nafsu lebih 10 lelaki hidung belang semalam.

Biarpun tujuan penggunaannya seakan-akan sama dengan susuk, saka kerbau balar dikatakan lebih ‘power’ selain mempunyai fungsi pelbagai.

Saka terbabit juga dikatakan mampu memulihkan keremajaan pemakainya secara semula jadi selepas melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki selain menjadikan mereka ‘kebal’ daripada kehamilan.


Selain itu, saka itu mampu menundukkan lelaki dengan hanya sekuntum senyuman selain memukau mangsa menuruti arahan pemakainya.


Difahamkan, saka itu dibekalkan segelintir pengamal perubatan tradisional dengan harga sekitar RM5,000 hingga RM10,000.

Penggunaan saka kerbau balar itu didedahkan seorang bekas GRO yang hanya mahu dikenali sebagai Yusliana, 20-an, kepada wartawan Harian Metro.

Menurutnya, dia membeli saka itu daripada seorang bomoh di utara tanah air selepas terpengaruh pujukan rakan sekerjanya.

“Mana tidaknya, rakan saya itu menundukkan ramai lelaki berjawatan besar sebelum mengikis harta mereka dengan mudah. Disebabkan itu, dia mampu hidup mewah.

“Mulanya saya ragu dengan kata-katanya, namun selepas dia menunjukkan bukti, saya mula berminat dan membeli saka terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Yusliana berkata, antara syarat untuk memiliki saka itu, dia perlu ‘menawan’ lelaki hidung belang selain melakukan pemujaan setiap malam menggunakan kain kuning yang dijampi bomoh terbabit.

“Bomoh terbabit mendakwa saka itu menjadi pelindung diri selain untuk memerangkap lelaki dengan hanya menghadiahkan sekuntum senyuman. Malah, selepas melakukan hubungan seks, saka itu akan memulihkan semula keremajaan saya secara ‘semula jadi’,” katanya.

Menurutnya, pemakai saka itu ‘kebal’ daripada kehamilan menyebabkannya bebas melakukan hubungan seks sesuai dengan pekerjaannya sebelum ini.

“Ini kelebihan saka itu berbanding susuk. Kuasanya berlipat kali ganda berbanding susuk. Tapi awas, sekiranya tidak dipuja setiap malam saka itu akan memberontak,” katanya.

Yusliana berkata, hanya kerana dia melanggar perjanjian, saka kerbau balar itu sering mengganggu ahli keluarganya menyebabkan mereka ketakutan.

“Malah, pernah satu ketika separuh wajah saya berubah menjadi kerbau menyebabkan saya malu untuk keluar rumah. Disebabkan itu, saya membuang saka terbabit, namun saya dan keluarga terus diganggu.

“Puluhan bomoh saya jumpa, tapi gagal untuk menghindari gangguan itu,” katanya.

Difahamkan, Yusliana kini menjalani rawatan dengan sebuah pusat perubatan alternatif Islam di utara tanah air dan mendakwa mula beransur pulih daripada gangguan saka itu.

Pengerusi pusat itu, Abdul Halim Yaacob, ketika dihubungi berkata, saka yang digunakan Yusliana berasal daripada air mani kerbau balar yang dipuja.

“Dengan menggunakan jampi serampah tertentu, jin akan dimasukkan dalam air mani terbabit sebelum dijual.

“Pemiliknya akan mempunyai kemampuan luar biasa dalam melakukan hubungan seks selain menjaga dirinya daripada sebarang musibah selain mampu memulihkan keremajaan mereka,” katanya.

Menurutnya, setiap pemilik saka terbabit mempunyai dua roh dalam badan dan sekiranya tidak dikeluarkan sebelum meninggal, saka itu akan mencari pengganti daripada keturunan berkenaan.

“Itu sebabnya individu yang melanggar perjanjian akan melihat separuh wajahnya berubah menjadi seperti kerbau,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, berkata Islam menyelar tindakan individu yang bersaudara dengan jin semata-mata untuk menyihirkan orang bagi mendapatkan kepentingan peribadi.

“Tidak kiralah saka, susuk atau apa saja perbuatan menyekutukan Allah adalah khurafat. Sudahlah perbuatan itu haram, digunakan pula untuk sihir orang...ini perbuatan orang yang sesat. Dia perlu bertaubat nasuha selain mengeluarkan ‘jin’ itu daripada tubuhnya segera.

“Kita hanya perlu beriman kepada Allah dan mengamalkan kehidupan seperti yang diperintahkan selain menerima ketentuan-Nya.

“Setiap benda yang dijadikan di muka bumi ada kelebihan dan fungsinya, rupa paras bukan ukuran di sisi Allah sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu...bertaubatlah sebelum terlambat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: