Friday, May 15, 2009

Rumah bintang Slumdog diroboh


Azharuddin berjalan di celah runtuhan rumahnya yang dirobohkan
di Mumbai semalam.


MUMBAI - Pekerja-pekerja perbandaran di sini merobohkan rumah bintang kanak-kanak filem Slumdog Millionaire, Azharuddin Mohammed Ismail semalam sebagai sebahagian langkah melenyapkan beberapa kawasan setinggan di sini.

Aktor tersebut berkata, dia sedang tidur ketika dikejutkan oleh seorang pegawai polis yang mengarahkannya dan keluarganya segera meninggalkan kediaman mereka.

Sejurus selepas itu, rumah setinggan milik bintang kanak-kanak itu bersama 30 lagi kediaman sekitarnya turut dimusnahkan.

"Seorang anggota polis cuba memukul saya dengan rotan, saya amat takut," kata pelakon berusia 10 tahun itu.

Pihak berkuasa ketika dihubungi memberitahu keluarga pelakon itu akan diberikan rumah baru di kawasan lain.

Sebelum ini, lapan anugerah Oscar dan kutipan AS$326 juta (RM1.1 bilion) hasil jualan tiket filem Slumdog Millionaire gagal meningkatkan taraf hidup dua pelakon kanak-kanak filem itu, Azhar dan Rubina Ali yang berasal dari kawasan setinggan di Mumbai.

Seorang pegawai dewan bandar raya Mumbai, U.D. Mistry berkata, tindakan merobohkan kawasan setinggan itu adalah sebahagian proses pembersihan sebelum musim tengkujuh.

Katanya, hanya rumah-rumah setinggan yang dibina tanpa kebenaran akan dirobohkan

"Itu sudah menjadi tugas kami," ujarnya dengan menyatakan dia tidak mengetahui perkampungan setinggan itu merupakan tempat tinggal pelakon kanak-kanak itu.

Menurutnya, penduduk yang menetap di kawasan setinggan melebihi 15 tahun termasuk keluarga Azhar akan ditempatkan semula di kawasan perumahan kerajaan.

Sementara itu, beberapa penerbit Slumdog Millionaire menyatakan mereka sudah melakukan segala yang terdaya bagi membantu dua bintang muda itu.

Menurut mereka, satu yayasan dinamakan Jai Ho sempena nama lagu popular filem itu ditubuh bagi memastikan dua kanak-kanak itu memperoleh tempat tinggal, pendidikan dan simpanan selepas mereka tamat sekolah tinggi.

Azhar membawa watak Salim iaitu abang kepada hero filem berkenaan, Jamal Malik lakonan Dev Patel ketika zaman kanak-kanak.

Filem itu mengisahkan Jamal yang berasal dari kawasan setinggan menjadi jutawan sekelip mata selepas menjuarai kuiz Who Wants To Be A Millionaire di India.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: