Friday, May 22, 2009

Rompak RM8.24j, geng penjenayah tiru filem


KERATAN Kosmo! 20 Mei.


KUALA LUMPUR – Rompakan membabitkan kerugian RM8.24 juta daripada sebuah van keselamatan di Cheras Selasa lalu dilakukan oleh kumpulan penjenayah profesional yang meniru aksi-aksi rompakan dalam filem.

Daripada siasatan, polis tidak menemui kesan cap jari pada badan kenderaan tersebut kerana percaya ketiga-tiga penjenayah itu memakai pita pelekat pada jari masing-masing semasa melakukan rompakan itu.

Kumpulan penjenayah itu juga dipercayai telah membuat pemerhatian teliti sehingga dapat mengeliru polis yang pada mulanya menjangka tiada wang dapat dilarikan dari van tersebut.

Ekoran modus operandi itu, polis sedang merangka beberapa teori yang mungkin dapat mengaitkan rompakan itu dengan dua geng penjenayah terkenal iaitu Geng Mamak atau Geng Deva.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan setakat ini hanya empat kakitangan syarikat keselamatan berusia 30 hingga 40-an yang ditahan.

“Kita belum buat tangkapan lain dan berharap akan ada saksi-saksi yang tampil membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, polis sedang menyoal siasat keempat-empat kakitangan syarikat keselamatan itu bagi mencari bukti-bukti yang mengaitkan mereka dengan kejadian itu.

“Jika siasatan mendapati keempat-empat mereka tidak terbabit dalam rompakan itu mereka akan dibebaskan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Muhammad Sabtu memberitahu, rompakan membabitkan jumlah wang yang besar dapat dikurangkan sekiranya syarikat tersebut menggunakan dua buah van keselamatan bagi mengangkut wang sebanyak RM11 juta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: