Sampai sekarang saya tiada lagi calon-calonnya, tidak laku agaknya, datang meminang pun tidak ada – AYU RAUDHAH

USIA penglibatannya dalam bidang seni tidaklah terlalu lama, malah tiada lagi anugerah yang berada dalam genggamannya. Namun, populariti dan perhatian yang diraih sama besarnya dengan kakaknya, pelakon Rozita Che Wan.
Sama seperti kakaknya itu, pelakon dan model yang semakin meningkat naik Ayu Raudhah Che Wan atau mesra disapa Ayu juga tidak ketinggalan dihimpit gosip-gosip panas.
Jika Rozita asyik digosip mempunyai hubungan dengan orang kenamaan, berlainan pula dengan Ayu yang sering berteka-teki tentang hubungannya dengan bekas kekasihnya yang juga seorang pelakon iaitu Pekin atau nama sebenarnya Iznan Ibrahim.
Sejarah menyaksikan mereka telah menganyam cinta selama hampir lima tahun, namun keretakan cinta di tengah jalan memisahkan mereka buat sementara waktu dan gosip cinta antara mereka reda sebentar.
Namun, gosip tersebut kembali hangat apabila foto Ayu dan Pekin yang dirakam secara sembunyi ketika sedang membeli-belah di sebuah pusat membeli-belah terkemuka tersebar secara meluas di Internet.

Rentetan daripada itu cinta mereka dikatakan bertaut kembali. Apatah lagi, mereka juga sering dilihat berdua di khalayak ramai.
Walaupun begitu Ayu yang ditemui pada majlis sidang media pelantikannya sebagai duta produk Giena Skincare di Saujana, Kuala Lumpur baru-baru ini menafikan berita tersebut.
Tidak melatah atau marah, tetapi Ayu mengakui dia sudah penat apabila dikaitkan dengan Pekin sedangkan hubungan mereka kini tidak lebih sebagai kawan.
"Saya penatlah orang asyik tanya benda yang sama, mana saja saya pergi semua orang tanya tentang Pekin. Rimas juga dibuatnya.
"Sedangkan kami tidak ada apa-apa lagi, hanya kawan sahaja. Memanglah kami masih baik dan berhubungan tetapi tidaklah sampai sambung balik hubungan cinta.
"Sekarang pun kami tidak ada mengesahkan apa-apa. Saya pun sudah jarang jumpa dan hubungi dia. Kami sudah buat hal masing-masing dan tidak terfikir sejauh yang difikirkan semua orang," katanya dalam tawa.
Apabila ditanya berita kononnya dia telah bertunang dan akan bernikah dalam masa terdekat, gelaknya semakin besar dan menyoal kembali daripada mana berita ini disebarkan.
"Saya tidak tahu menahu, kalau saya yang nak bertunang atau bernikah mesti saya sebagai tuan punya badan tahu dahulu, ini saya tahu daripada orang lain dan akhbar.
"Lucu juga bila dikenang sebab sampai sekarang saya tiada lagi calon-calonnya, tidak laku agaknya, datang meminang pun tidak ada," ujarnya dalam nada gurau.

Tambahnya, yang mengimpikan untuk berumah tangga pada umur 21 tahun bagaimanapun terpaksa melupakan impiannya itu kerana kini usianya telah pun mencecah angka 25 tahun.
"Memanglah berangan nak kahwin muda sebab senang di kemudian hari, anak-anak besar dan saya masih muda, tetapi sampai sekarang saya masih menunggu.
"Kalau ada jodoh tidak akan ke mana. Nak kata saya memilih tak juga, cukuplah dia memahami kerja saya yang tidak kira siang dan malam," terangnya jujur.
Kalau sudah namanya orang cantik, pastinya proses mencari jodoh cukup mudah buatnya kerana ramai yang jatuh cinta apabila melihat wajahnya di kaca televisyen.
Tetapi, lain pula halnya dengan Ayu. Sungguhpun memiliki kejelitaan dan populariti, Ayu sebenarnya seorang yang cukup pemalu dan bukan senang untuk dirapati insan bernama lelaki.
"Saya nampak saja riuh-rendah tetapi pemalu. Saya pun bukan jenis senang bergaul dengan mana-mana lelaki yang tidak dikenali, kalau tidak kenal jangan haraplah saya nak layan, begitu juga dengan panggilan misteri. Takut saya dibuatnya.
"Kata orang yang telefon, ikhlas nak kawan, tetapi mana saya tahu niat mereka yang sebenar. Nombor telefon pun entah dari mana mereka dapat. Itu yang membuatkan saya kadang-kadang tutup telefon sebab takut," ujarnya lagi yang mengakui sehingga kini dirinya masih lagi tidak dimiliki oleh sesiapa.
Kakak sebagai idola
Meskipun Ayu muncul terlebih dahulu daripada Rozita di persada seni tetapi banyak pihak yang sering membandingkan dirinya dan Rozita daripada segala aspek termasuk kecantikan, populariti, bakat lakonan serta gosip panas.
Namun begitu, Ayu tidak sedikit pun tertekan dengan segala kata-kata negatif yang diterimanya sebaliknya kakaknya itulah yang menjadi rujukan dan tempat mengadu.
"Siapa kata saya cemburu dengan kejayaan kakak saya. Saya daripada kecil hingga sekarang cukup kagum dengan kakak. Dia memang cantik sebab daripada dulu sehingga sekarang dia sangat menjaga kecantikan, tidak seperti saya yang ikut suka hati sahaja.
"Macam gosip yang dikaitkan dengan saya mulanya rasa rimas dan sedih sebab kerjaya lakonan pun tidak seberapa gosip pula yang lebih.
"Tetapi memandangkan kakak pernah kena lagi teruk daripada saya, dia banyak membantu dalam memberi nasihat. Keluarga pun faham, jadi lama-lama saya sudah tidak kisah. Apa pun kalau boleh tidak mahulah popular dengan cara begini," ulasnya yang selesa tinggal serumah dengan kakaknya itu.
Duta produk kecantikan
![]() |
| AYU menegaskan dirinya bukan seorang yang mudah didekati insan bernama lelaki. |
Pelakon yang berasal dari Kedah nampak memiliki tuah yang sama dengan Rozita apabila dilantik menjadi duta produk Giena Skincare milik syarikat kecantikan Beauty Arena Sdn. Bhd., yang beribu pejabat di Subang Jaya, Petaling Jaya.
Mengikat kontrak selama setahun bersama Giena Skincare membuktikan nama Ayu turut sebaris dengan pelakon-pelakon popular yang lain apabila diberi peluang keemasan seperti ini.
"Sebelum tandatangan kontrak, saya memang mencari produk yang sesuai dengan kulit saya dan apabila pengasasnya, Nor Azizan Ghazali meminta saya mencubanya baru saya rasa perbezaan kulit saya.
"Sebab itu saya bersetuju untuk menjadi duta produk ini. Saya tidak mahulah sekadar menjadi duta atas nama sahaja kerana kalau saya tidak mencuba sendiri bagaimana saya ingin mengetahui keberkesanan produk tersebut.
"Apa yang saya suka produk ini menggunakan bahan semula jadi, rasanya ia lebih selamat untuk kulit buat tempoh masa yang lama. Kesibukan kerja yang tidak menentu waktu, membuatkan kulit wajah menjadi penat dan berjerawat. Alhamdulillah, sejak menggunakan produk ini kulit saya semakin sihat," tuturnya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Kasih Alam dan Lara.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: