Wednesday, May 6, 2009

Rehatkan sementara pertandingan nyanyian


SUKI (bertopi) ketika memenangi One In A Million yang pertama pada tahun 2006.


PROGRAM televisyen (TV) realiti mula menjadi fenomena dan trend di kalangan stesen-stesen TV di negara ini kira-kira lapan tahun yang lalu.

Ketika itu, malah sehingga kini pun banyak stesen TV kita yang terus berlumba-lumba menerbitkan program-program TV realiti masing-masing.

Dalam banyak-banyak program yang diterbitkan, pertandingan nyanyian mencungkil bakat-bakat penyanyi baru paling mendapat tumpuan.

Akademi Fantasia (AF) merupakan program TV realiti tempatan yang paling popular dan tahun ini ia telah pun memasuki musim yang ketujuh.

Bukan setakat AF, tetapi kita juga ada banyak lagi program TV realiti nyanyian yang turut diterbitkan oleh stesen-stesen TV swasta yang lain.

Antara program TV realiti popular tempatan yang berteraskan bidang nyanyian termasuklah One In A Million, Mentor, Malaysian Idol, Gangstarz dan My Starz LG.

Jumlah itu tidak termasuk pertandingan nyanyian yang turut dianjurkan oleh stesen TV kerajaan iaitu RTM menerusi pertandingan Bintang RTM.

Tidak dinafikan pertandingan nyanyian lebih popular kerana ia menjanjikan populariti dan pendapatan lumayan dalam dunia hiburan.

Namun, kerana terdapatnya banyak pertandingan nyanyian, kemeriahan mencari penyanyi-penyanyi baru kini dilihat semakin pudar.

Stesen-stesen TV kini seolah-olah buntu bagi mencari para peserta yang berbakat untuk diketengahkan dalam program terbitan mereka.

Senario itu dapat dilihat pada sesi-sesi uji bakat yang telah diadakan apabila ia dihadiri oleh muka-muka yang hampir sama sahaja.

Bekas peserta

Malah paling ketara apabila ada peserta dalam program TV realiti yang disertai oleh bekas peserta program-program TV realiti yang lain.

Sebagai contoh, Amylea yang menyertai One In A Million 3 baru-baru ini merupakan bekas peserta dan juga finalis AF musim yang ketiga.

Tidak cukup dengan itu, ada penyanyi yang sudah pun merakamkan album seperti Tomok turut diambil menyertai program One In A Million 3.

Banyak kesimpulan yang boleh dibuat daripada perkembangan itu, antaranya kita seakan-akan ketandusan para peserta yang berbakat.

Sehubungan itu, ada baiknya jika stesen-stesen TV 'merehatkan' sementara waktu program-program TV realiti yang berteraskan nyanyian.

Mungkin penganjuran sesebuah program TV realiti itu boleh diadakan setiap dua atau tiga tahun sekali bagi melihat kemunculan muka-muka baru.

Ini kerana kebiasaannya program-program TV realiti nyanyian disertai oleh kalangan remaja berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Dengan adanya jarak bagi setiap musim sesebuah program TV realiti itu, ia akan memberi peluang lebih ramai muka baru menyertainya.

Remaja yang kini berusia 15 tahun misalnya, boleh mengikuti uji bakat program TV realiti yang akan memasuki musim baru dua tahun dari sekarang.

Pada masa sama, jika penganjuran program TV realiti 'direhatkan' sementara, ia akan memberi peluang para peserta membuat lebih persiapan.

Para peserta contohnya, boleh berlatih menyanyi dengan lebih baik supaya terpilih pada sesi uji bakat yang akan mereka sertai seterusnya.

Stesen-stesen TV juga tentunya akan menerima kehadiran bukan sahaja muka-muka baru, tetapi juga para peserta yang lebih berbakat.

Sebab itu tidak hairanlah ramai penonton kini yang mula berasa bosan kerana para peserta yang bertanding tidak berbakat atau berdaya saing.

Bagi mengisi ruang itu, stesen-stesen TV haruslah sentiasa kreatif dan memerah idea kerana program TV realiti bukannya nyanyian sahaja.

Sebaliknya, banyak lagi konsep program TV realiti menarik yang boleh diketengahkan serta mampu memikat jumlah penonton yang ramai.

Di Indonesia misalnya, mereka ada banyak program TV realiti di mana skopnya tidak hanya tertumpu kepada dunia nyanyian semata-mata.

Pada 24 April lalu, stesen SCTV telah menyiarkan sebuah program TV realiti berjudul Tukar Nasib yang berjaya menarik ramai penonton.

Program itu memaparkan tentang pelbagai gelagat peserta yang mencuba sesuatu yang berbeza daripada kehidupan seharian mereka.

Dalam episod minggu itu, sebuah keluarga kaya telah bertukar kehidupan dengan sebuah keluarga miskin bagi mencari suatu pengalaman baru.

Daripada episod itu pelbagai ragam dan pengajaran dapat dijadikan tauladan di samping menimbulkan keinsafan para penonton.

Selain itu, stesen-stesen TV juga mungkin boleh menganjurkan pertandingan mencipta lagu di kalangan pencipta muda di negara ini.

Buat masa ini, kita agak ketandusan komposer-komposer muda dengan lagu-lagu ciptaan mereka yang lebih segar dan terkini.

Kita yakin di luar sana terdapat ramai lagi komposer muda yang mempunyai banyak idea dan karya kreatif mereka yang belum diketengahkan.

Tidak salah rasanya jika stesen-stesen TV kita cuba menganjurkan program-program TV realiti lain, misalnya mencari pemain gitar generasi baru.

Justeru, kita mungkin silap jika beranggapan hanya bidang nyanyian sahaja yang boleh menghiburkan para penonton TV.

Ini kerana bidang nyanyian hanyalah salah satu cabang dalam bidang hiburan yang mencakupi dunia seni yang cukup luas untuk diterokai oleh kita semua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: