JIKA anda tidak ke mana-mana Ahad ini, apa kata habiskan saja bersama keluarga menonton hidangan hebat daripada saluran ntv7 seperti siri Two and A Half Men musim keenam, The Shot, How I Met Your Mother musim ketiga dan CSI: Miami musim keenam.
Two and A Half Men kembali dengan musim keenam yang lebih menyengat. Program mencuit hati ini mengisahkan Charlie, lelaki bujang terlajak yang tidak pernah kenal erti tanggungjawab. Mempunyai rumah di tepi pantai, kereta mewah Jaguar dan sering bertukar wanita, cara hidup Malibu yang dipraktikkan Charlie seakan terjejas apabila saudaranya, Alan yang baru bercerai muncul di depan pintu suatu hari untuk menetap bersama-samanya. Tidak ketinggalan bersama Alan ialah anak lelakinya, Jake.
Pastinya, kehidupan tiga watak berbeza ini di bawah satu bumbung mencetuskan pelbagai babak menggelikan hati apabila keadaan memaksa mereka untuk berlagak lebih matang dan bertanggungjawab. Keadaan menjadi lebih menarik apabila ibu mereka, Evelyn, wanita yang sungguh posesif muncul. Jangan lupa juga pada bekas isteri Alan yang menjengkelkan, Judith, serta jiran Charlie, Rose yang kembali dengan strategi tidak masuk akal demi memikat Charlie.
Pelakon komedi terkenal Charlie Sheen memegang watak sebagai Charlie, kasanova yang sentiasa ingin kekal bujang. Dia bertugas sebagai penulis lirik lagu kanak-kanak. Sering menggunakan adiknya sebagai subjek sindiran, namun jauh di sudut hati, kedua adik-beradik ini cukup menyayangi antara satu sama lain.
Calon Anugerah Emmy, Jon Cryer pula melakonkan karakter paling praktikal, Alan. Sikapnya cukup berlawanan dengan abangnya. Anak lelaki Alan, Jake (Angus T Jones), pula kanak-kanak yang kurang berjaya dan sering menghabiskan masa lapang dengan permainan video, makanan, menonton televisyen dan tidur. Dia cukup menyayangi bapa dan bapa saudaranya walaupun sering mengguris hati mereka. Jadi, lengkapkan malam anda dengan Two and and A Half Men musim keenam yang disiarkan setiap Ahad, jam 11 malam.
Di samping itu, siri realiti terbaru, The Shot, pertandingan mencari jurugambar terbaik di dunia turut ditayangkan. Dengan sepuluh jurugambar amatur yang didorong impian yang sama, The Shot akan membuktikan kesempurnaan sesuatu gambar itu sesuatu yang sukar untuk dicapai.
Peserta akan tinggal dan bekerja di Los Angeles sementara dilatih jurugambar fesyen ternama, Rusell James, jurugambar utama Victoria’s Secret. Peminat fotografi ini bakal mengharungi pelbagai siri penggambaran bagi menguji kreativiti serta membongkar kelemahan masing-masing.
Dilihat sebagai pengalaman sekali seumur hidup, peserta akan bekerja dengan supermodel dan beberapa tenaga profesional tatkala menjelajah lokasi eksotik dengan satu tujuan - untuk menterjemah lokasi indah itu dalam satu bentuk visual paling indah. Pelajari petua profesional dan saksikan kemahiran fotografi yang tiada tandingannya apabila The Shot disiarkan jam 10.
Berhibur juga dengan dengan musim terbaru siri How I Met Your Mother. Ia menceritakan kisah silam Ted dan bagaimana dia jatuh cinta. Segala-gala bermula dengan rakan karib Ted, Marshall, yang mendedahkan rahsia dia akan melamar kekasihnya, Lily. Khabar itu benar-benar membuatkan Ted resah dan dia mula menjejaki cinta sejati yang kemudian diwarnai pelbagai drama melucukan.
Bersama-sama dengan pendapat Barney yang agak luar biasa, semuanya bertukar menjadi lebih menghiburkan. Segala-galanya kelihatan sempurna apabila dia bertemu dengan Robin (Cobie Smulders). Ted yakin itulah cinta pandang pertama yang akan berakhir dengan jinjang pelamin, namun takdir mungkin tidak berpihak padanya.
Josh Radnor memegang watak Ted, arkitek yang mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan. Ted kembali ke zaman silam apabila dia mula menceritakan bagaimana dia menemui ibu mereka. Isteri Marshall, Lily (Alyson Hannigan) ialah guru tadika yang juga ketua kumpulan. Selain itu, Barney (Neil Patrick Harris) yang kerap bertukar wanita pula seorang yang sentiasa tampil kemas dan berpakaian sut. Saksikan kisah Ted dalam How I Met Your Mother musim ketiga yang ditayangkan jam 11.30 malam.
Akhir sekali, sertai Horatio Cane, bekas detektif yang mengetuai sekumpulan penyiasat untuk membongkar jenayah pembunuhan di Miami yang berlatarkan musim panas dan tropika dalam CSI: Miami musim keenam.
David Caruso melakonkan watak Horation Caine, Leftenan Kanan Jabatan Polis Miami Dade yang mengetuai rakan sepasukan termasuk Calleigh Dupense (Emily Procter), jelitawan Selatan yang dikurniakan dengan keistimewaan balistik serta Eric Delko (Adam Rodrigues) yang cukup arif dalam selok-belok jalan air di Florida yang sebenarnya satu kemudahan utama terutama di Miami.
Jangan lupa pada Ryan Wolfe (Jonathan Togo) yang menyertai unit berkenaan dua tahun lalu, namun mendapati dirinya masih sukar untuk menyesuaikan diri; Alex Woods (Khandi Alexander) pakar perubatan dan Natalia Boa Vista (Eva LaRue), gadis misteri dan pakar DNA yang sering ditugaskan untuk menyelesaikan kes ngeri.
Sertai pasukan yang terdiri dari individu berpengalaman dan berbakat ini bersama CSI: Miami, setiap Ahad, 8.30 malam mulai 14 Jun 2009.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: