Wednesday, May 6, 2009

Potong gaji bayar zakat

KUALA LUMPUR - Pengarah Institut Kajian Hadis Kolej Universiti Islam Malaysia, Mohd. Farid Ravi Abdullah mencadangkan agar kerajaan mewajibkan umat Islam di negara ini membayar zakat secara potongan gaji.

Pemotongan itu perlu melibatkan semua orang Islam sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) supaya kutipan dan agihan zakat kepada asnaf dapat diselaraskan.

"Kalau langkah itu dapat diperkasakan, kelak kita akan lihat umat Islam akan ada satu sumber ekonomi yang menjamin asnaf.

"Bagi saya, orang yang tak bayar zakat pada hakikatnya menyembunyikan hak orang lain dalam simpanannya. Dia tidak menyumbangkan hartanya kepada orang miskin. Ini dikira mengambil hak orang miskin,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom memberitahu, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menguatkuasakan undang-undang membayar zakat seperti yang dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam mengutip cukai pendapatan.

Bagaimanapun, sebelum ia dilaksanakan, beberapa perkara dari segi peraturan, akta dan undang-undang perlu dikaji terlebih dahulu.

"Pembayaran zakat ini mencecah RM1 bilion bagi seluruh negara pada tahun lalu tetapi persoalan sama ada ia akan dikuatkuasakan dalam perundangan akan dikembangkan pada masa akan datang,'' katanya di Putrajaya semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: