
JOHOR BAHRU - Polis berjaya menahan seorang lelaki dan merampas 108,250 biji pil Eramin 5 bernilai RM1.6 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Putri Wangsa di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, polis yang mendapat maklumat daripada orang awam telah menyerbu rumah tersebut dan menahan lelaki berusia 33 tahun itu.
Dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu, pihaknya menjumpai pil Eramin 5 dianggarkan seberat 7.7 kilogram (kg).
"Pil-pil yang dirampas dipercayai dijual untuk pasaran tempatan, negara jiran dan negeri-negeri yang berhampiran dengan Johor.
"Di dalam rumah yang dipercayai disewa lelaki tersebut, tiada sebarang peralatan memproses dadah ditemui," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.
Menurutnya, suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan pernah dipenjara selama enam bulan pada tahun 2004.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: