Thursday, May 14, 2009

'Pengajaran buat saya'...Nabil


SATU persatu kontroversi menerjah kehidupan Raja Lawak 2, Nabil Ahmad, 26, selepas diumumkan sebagai Bintang Paling Popular 2008, yang dilihat boleh mencalarkan perjalanannya sebagai anak seni.

Bermula dengan adegan terpeluk kekasihnya iaitu pelakon, Irma Hasmie, Nabil nampaknya masih tidak menyedari kesilapannya lalu mengulanginya, tetapi dalam bentuk lain pula.

Kali ini, Nabil dilihat begitu 'berani' meminta tanah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika diberikan kepercayaan untuk mengacarakan Konsert Ulang Tahun Ketiga TV9 yang sama sekali tidak pernah dibuat pengacara atau pelawak sebelum ini.

Mungkin pada dasarnya, ia satu gurauan bagi Nabil, namun sudah menjadi lumrah, pemikiran manusia sentiasa berlainan, maka wujudlah kepelbagaian persepsi terhadap lawaknya yang dianggap keterlaluan.

Rasa kesal dengan apa yang berlaku, membuatkan anak muda ini bertekad untuk lebih berhati-hati dalam gurauannya agar tidak mengulangi episod hitam dalam diari kehidupannya sebagai insan seni.

Bagi Nabil, apa yang berlaku, bukanlah untuk bersikap biadab kerana dia sama sekali tidak menyangka gurauan meminta tanah dilihat sebagai satu perkara tidak wajar dan serius.

"Saya akui kesilapan yang dilakukan pada konsert itu. Namun, saya sama sekali tidak bermaksud untuk tidak menghormati Sultan Selangor.

"Lagipun, tugas saya sebagai pelawak dan pengacara di konsert berkenaan adalah menghiburkan tetamu yang hadir.

"Mungkin, pengalaman yang kurang dalam perkara sebegini membuatkan lidah saya tergelincir meminta tanah daripada Tuanku.

"Cuma, ingin saya tegaskan di sini gurauan minta tanah daripada Tuanku bukanlah disengajakan, tetapi berlaku secara spontan.



"Bagaimanapun, permohonan maaf secara bertulis sudah saya serahkan kepada Sultan Selangor melalui Media Prima," katanya.

Ketidakwajaran lawak Nabil terus dilihat sewaktu bergandingan bersama Mr Os dan Shamsul Ghau Ghau apabila masing-masing cuba mengena sesama sendiri.

Melalui artikel Nabil Tergelincir Lidah dalam ruangan Jarum Emas, Metro Ahad 3 Mei lalu, bukan saja menyentuh lawak Nabil meminta tanah daripada Sultan Selangor, malah turut mempertikaikan kematangan Nabil apabila mengajuk Os dengan 'gigi rezekinya' dilihat satu tindakan tidak wajar.

"Saya tahu banyak perkara yang perlu saya pelajari dan saya mohon maaf di atas gurauan yang saya lakukan.

"Hubungan saya dengan Mr Os dan semua pelawak 'otai' baik dan akan saya gunakan kesempatan ini untuk memperoleh ilmu daripada mereka.

"Namun, saya anggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran baru buat saya. Siapa tahu, jika tidak berlaku insiden seperti itu, saya mungkin lupa diri.

"Saya melihat setiap perkara yang berlaku dari sudut positif dan saya percaya ada hikmah di sebaliknya. Apa yang menimpa diri, akan dijadikan pengajaran bukan sahaja untuk saya sendiri malah turut kepada mereka yang akan menerokai dunia ini kelak," katanya.

2 comments:

  1. nabil ko bkannya lawak sgat pun aku thu kau nak jatuhkan saiful apek....

    ReplyDelete
  2. haih..kenapalah sepertinya bodoh komen di atas ini..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: