Thursday, May 21, 2009

‘Pemburu Hantu’ sedia siasat aduan

TAHU mana-mana tempat yang dikatakan ‘angker’ dan mempunyai cerita yang boleh meremangkan roma? Jika tiada siapa mahu mempercayai anda, pergilah kepada ‘pemburu hantu’.

Tiga anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Pemburu Hantu terdiri daripada Hairi Shahrizal Mustafa, Iskandar Ishak dan Anis Azman. Menggunakan peralatan saintifik terkini, mereka akan menyiasat sama ada dakwaan menyatakan sesetengah tempat itu berhantu benar-benar sahih ataupun tidak.

“Jika terbukti kawasan itu menunjukkan kehadiran entiti kami akan tidak akan menyelesaikannya tetapi memberi cadangan jika pengadu mahu membuat langkah susulan seperti mengusir entiti berkenaan,” ujar Hairi mewakili dua rakan lain.

Dia yang mempunyai minat tentang dunia paranormal menambah, setakat ini Pemburu Hantu sudah pergi ke beberapa kawasan yang dikenal pasti mempunyai cerita mistik. Antaranya kubur lama dan rumah usang di Kuala Pilah dan Teluk Intan.

Lokasi lain yang turut dikunjungi mereka ialah tapak pembunuhan ADUN Batu Talam 1993, Allahyarham Datuk Mazlan Idris, kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan pontianak di Bukit Antarabangsa, hospital tinggal Lela Ratos di Jalan Pudu dan kawasan perkuburan di Sungai Buloh yang dikatakan menjadi tempat mangsa-mangsa tragedi 13 Mei 1969 ditanam.

“Antara yang berjaya kami rakam ialah bayangan entiti meninjau-ninjau pada sepohon pokok dalam episod Misteri Bunian,” ujar Hairi.

Segala hasil siasatan yang diperoleh Pemburu Hantu boleh disaksikan menerusi program drama dokumentari yang disiarkan setiap Khamis (malam ini juga), jam 11 malam di saluran Astro Ria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: