Tuesday, May 5, 2009

Pelik dituduh sudah kahwin...Azharina Azhar




ADA gosip yang mengatakan penyanyi bersuara serak-serak basah, Azharina Azhar sudah mendirikan rumah tangga sekali lagi secara senyap-senyap dengan seseorang yang berpangkat Datuk dari Kelantan.

Lebih mengejutkan, ada juga bisik-bisik mengatakan Azharina sudah rujuk semula dengan bekas suaminya, Datuk Sukri Mohd. Persoalannya, dua khabar angin itu sedikit berbeza tetapi masih bercerita tentang perkahwinan Azharina, sedangkan tuan empunya badan bergendang di sana sini bahawa diri masih solo.

Ketika ditemui pada Minggu Setiausaha di ibu negara minggu lalu, dia yang ketawa apabila diajukan mengenai persoalan tersebut bagaimanapun tidak menolak untuk membuat ulasan mengenainya.

"Banyak jugalah terdengar tentang saya yang sudah bertunang dengan orang itu dan ini serta berkahwin lain dengan individu dari negara Filipina sewaktu masih berada dalam edah.

"Sedangkan saya tidak ada kawan lelaki dari negara itu. Bagaimana pula orang boleh membuat tuduhan saya sudah berkahwin.

"Pelik rasanya dengar bermacam-macam kisah tentang diri saya selepas hidup solo. Demi Allah saya masih belum berkahwin.

"Entah Datuk mana lagi yang dikaitkan berkahwin dengan saya. Lebih baik peminat periksa betul-betul tentang kesahihan perkara ini," tegasnya.

Bagaimana pula dengan kisah rujuk semula? Sambil beristigfar, Azharina pantas menjelaskan bahawa desas-desus itu tidak benar sama sekali.

"Saya berani menjunjung al-Quran bahawa saya tidak pernah rujuk kembali dengan bekas suami, bahkan saya tidak ada sebarang perancangan untuk melakukan keputusan tersebut. Ini semua fitnah belaka.

"Kami tidak ada apa-apa hubungan lagi. Dia ada hidup sendiri dan sama juga dengan saya. Tolong jangan mereka-reka cerita kerana dia kini sedang berbahagia bersama isterinya.

"Memang hubungan kami rapat sebagai kawan dalam menguruskan bisnes. Kami juga selalu berhubung, namun ia tidak bermakna saya menjalinkan semula hubungan dengannya.

"Saya bersyukur kerana tidak melalui pengalaman macam artis lain yang terpaksa membuka pekung di dada semasa berdepan dengan penceraian.

"Alhamdulillah sebab nasib saya baik," luah Azharina yang sempat menegaskan 128 peratus gosip dia rujuk kembali adalah dusta semata-mata.

Tanpa diduga, banyak fitnah yang mendatang dalam hidup Azharina. Sebelum ini dia menafikan pernah mendirikan rumah tangga walaupun gambar perkahwinannya dengan bekas suaminya tersebar luas bagai virus di Internet.

Dia tetap menidakkan tentang perkara itu. Tidak lama kemudian, tembelangnya pecah apabila berita dia berpisah dengan Sukri, seorang ahli perniagaan disebarkan di media-media tempatan.

Gara-gara tidak tertanggung di hati menjalani kehidupan sebagai isteri kedua, akhirnya Azharina mengumumkan perpisahannya pada Februari tahun lalu.

Sambung wanita berusia 24 tahun itu, kalau dia benar-benar ingin mendirikan rumah tangga sekali lagi, maka sudah pasti dia akan menguar-uarkan berita baik itu kepada masyarakat.

Cuma Azharina masih berpegang teguh kepada satu prinsip yang tidak mungkin dapat diubahnya hingga bila-bila.

"Jika selepas ini saya masih ditakdirkan untuk mengahwini individu yang menyerupai bekas suami, saya tetap akan mengambil keputusan agar perkara ini tidak terlalu disensasikan.

"Saya minta supaya saya diberi ruang privasi andai situasi (perkahwinan) sama berulang kembali," tegas penyanyi yang terkenal menerusi lagu Elergi Sepi itu.


AZHARINA mahu tumpukan pada karier seni dan bisnes berbanding soal cinta.


Menurutnya lagi, segala keputusan bergantung kepada bakal suaminya kelak.

"Jika dia enggan mendedahkan status dirinya, maka saya harus menuruti pendiriannya agar tidak mencanangkan kepada orang ramai.

"Saya kena hormati dia sebagai suami dan menjadi kesalahan jika saya pecahkan rahsia yang tidak sepatutnya kepada orang lain.

"Peminat bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana saya tetap akan memberitahu bahawa saya sudah berkahwin, cuma identiti suami saya yang tidak boleh didedahkan.

"Siapa yang tidak mahu berkongsi kisah perkahwinan mereka? Cuma ini berkait rapat dengan kebahagiaan saya bahkan saya juga kena menjaga hati banyak pihak.

"Itu kalau saya betul-betul mendirikan rumah tangga sama macam situasi sebelum ini, tetapi saya minta dijauhkan sangat.

"Hakikatnya saya masih belum ada sebarang ikatan perkahwinan," luah Azharina lagi.

Biarpun begitu, agenda perkahwinan masih belum tertutup dalam diari kehidupan Azharina.

Dalam pada itu, dia mengimpikan untuk berkahwin pada bulan September kerana menyukai bulan tersebut.

"Cuma saya tidak tahu bila agaknya dapat direalisasikan kerana saya belum jumpa teman lelaki istimewa lagi buat masa ini.

"Memanglah saya ingin mendirikan rumah tangga setelah setahun saya hidup bersendirian. Cuma bukan dalam waktu terdekat ini," ujarnya.

Ingin perbaiki diri

Dalam pada itu, Azharina bertekad untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier seni dan perniagaannya pada tahun ini.

Dalam pada kisah peribadinya terus diperkatakan peminat, dia bagaimanapun melakukan perubahan besar dalam dirinya.

Cukup mengejutkan apabila mendengar kenyataan ikhlas yang diluahkan daripada bibir tebalnya itu.

"Saya mahukan perubahan dalam hidup," tegas Azharina ringkas yang pada awalnya enggan memberitahu lebih terperinci tentang apakah bentuk transformasi itu.




Setelah dipujuk, akhirnya dia mengakui akan membuat umrah dalam masa terdekat ini.

"Saya hendak pergi umrah dan sekembalinya dari sana, saya ingin menjadi seorang insan yang lebih baik.

"Sebelum ini, saya terkenal dengan sikap lantang apabila bersuara. Lantaran itu, saya mahu kikis sikap ini agar ia tidak lagi melekat dalam diri.

"Ditambah saya juga sudah semakin matang dan berdepan dengan banyak pengalaman lepas, maka saya inginkan perubahan.

"Saya berasa tertekan dengan sikap yang negatif ini. Namun, siapalah saya untuk menidakkan kelemahan diri.

"Saya hanya manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Kini saya hendakkan ketenangan," tuturnya.

Luaskan sayap di Indonesia

DALAM senyap-senyap, Azharina sebenarnya baru sahaja pulang dari Jakarta, Indonesia pada Mac lalu.

Bukan mencari kekasih hati di sana, sebaliknya dia berbincang dengan pihak tertentu di negara jiran itu bagi melancarkan single miliknya yang berjudul Rawan.

“Ia menjadi salah satu usaha saya untuk meluaskan bakat nyanyian di negara luar.

“Saya harap agar dapat diterima dengan baik oleh peminat di Indonesia,” katanya.

Menjelaskan panjang lebar tentang penerbitan album mininya, Azharina memberitahu, ia akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Selepas lagu Rawan yang merupakan ciptaan komposer Hazami mulai menjadi siulan peminat, Azharina kini mempertaruhkan lagu Rasa, ciptaannya sendiri dengan dibantu oleh sepupunya, Keyneed.

Antara lagu lain yang akan dimuatkan dalam albumnya itu ialah Hey Lelaki, Primadona, Sakarat dan lagu lama yang diberi judul baru yang dipetik daripada filem Do Re Mi iaitu Gitar Berbunyi.

“Pada mulanya saya hanya mahu selitkan enam buah lagu dalam album terbaru ini, namun saya mengubah fikiran dengan mempertaruhkan sebanyak lapan lagu.

“Saya juga akan menghadiahkan peminat dengan enam buah lagu yang sama dalam versi karaoke.

“Klip video karaoke ini dihasilkan sendiri menerusi syarikat saya, Azharina Entertainment,” jelasnya yang pernah menghasilkan dua buah album, Azharina (2003) dan Nina (2005).


AZHARINA BERAZAM untuk melebarkan sayap ke Indonesia.


Azharina mengulas lagi, lagu-lagu yang terdapat dalam albumnya ada yang diilhamkan daripada pengalamannya sendiri, rakan dan pengamatannya dalam menjalani kehidupan.

“Ada lagu yang cukup dekat dengan saya, malah ia boleh dikaitkan dengan orang lain.

“Contohnya lagu Hey Lelaki. Saya luahkan dalam versi hip hop yang menampilkan kolaborasi dengan Mimi daripada kumpulan One Nation Emcees.

“Lagu ini lebih terarah kepada sikap sinikal terhadap golongan lelaki dan lepas geram.

“Lagu Primadona pula saya tujukan kepada semua insan bergelar lelaki yang pernah mendekati diri saya,” akuinya.

Ketika menjayakan Minggu Setiausaha Hotel Istana itu, Azharina yang kelihatan jelita dengan busana merah menyala mendendangkan sebanyak dua buah lagu, Rawan dan Rasa.

Selain Azharina, majlis yang menemukan dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia turut diserikan dengan persembahan bertenaga daripada Faizal Tahir, Rio Febrian, Irwansyah, Delon (Indonesian Idol), Ello, Sarah Raissuddin, Jaclyn Victor dan Sheila (OIAM2).

Majlis yang dihoskan oleh Afdlin Shauki dan AC Mizal itu turut menampilkan jejaka-jejaka kacak dari dua buah negara, antaranya ialah Samuel Rizal, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Ashraf Muslim, Didi Riyadi, Ariffin Putra, Aqasha, Kamal Adli dan Fizo Omar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: