SERI KEMBANGAN: “Kami ikhlas berkawan dan berharap hubungan ini berakhir dengan sesuatu yang baik. Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar dan diizinkan Yang Maha Esa mungkin tahun depan mahu berkahwin,” kata personaliti TV3, Nur Syuhada Nurul Ain (Nurul), sewaktu menjelaskan hubungannya dengan Angkasawan Kedua Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed.
Kemunculan pengacara Majalah 3 itu bersama teman lelaki, Dr Faiz, di Pertandingan Akhir Pesona Nona, petang semalam yang berlangsung di Palace Of The Golden Horses, menarik perhatian tetamu, sekali gus menjawab desas-desus hubungan cinta mereka yang mula dihidu sejak setahun lalu.
Kira-kira setahun lebih menjalinkan persahabatan, pasangan sama cantik sama padan ini nampaknya lebih terbuka memperkatakan soal hubungan mereka.
“Bagi saya masyarakat sekarang bijak menilai jadi tiada apa yang perlu disorokkan. Terus-terang hubungan kami sesuatu yang ikhlas dan murni. Kalau hendak menafikan pun tiada gunanya kerana ini akan membabitkan perasaan keluarga kedua-dua pihak yang sudah pun mengetahui hubungan kami.
“Seperti majlis petang ini, Faiz diundang bersama kerana Nona adalah program yang paling dekat dengan saya. Saya membesar dan matang melalui program ini. Selain itu keluarga Nona sudah saya anggap seperti keluarga sendiri sebab itulah saya merasakan Faiz perlu mengenali keluarga Nona saya.
| |
“Secara tidak langsung mendedahkannya pada dunia kerjaya saya agar dia lebih memahami dan dapat membiasakan diri kelak. Tetapi tidaklah dalam semua majlis saya memutuskan untuk ditemaninya, saya hanya akan membawanya di majlis-majlis yang dekat di hati saya,” katanya.
Melalui temu bual yang dilakukan menerusi telefon itu, Nurul turut menjawab desas-desus kononnya dia dan Faiz sedang dalam perancangan untuk melangsungkan majlis pertunangan.
Bahkan, pengacara manis dan berlesung pipit ini turut menafikan gosip liar mengenai Dr Faiz yang dikatakan pernah bertunang sebelum ini sebelum memutuskannya sebaik tamat mengikuti program angkasawan kira-kira dua tahun lalu.
“Cerita dia sudah bertunang, satu gosip yang saya kira sengaja diada-adakan. Sepanjang menjalinkan hubungan setahu saya dia tidak pernah bertunang.
“Bahkan berita mengenai kami rancak melakukan persiapan pertunangan juga tidak benar sama sekali kerana kami tidak pernah merancang untuk bertunang dalam masa terdekat ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: