Saturday, May 23, 2009

Nirina diperdaya di AS


NIRINA dan Ernest.


PASANGAN pengantin baru Nirina Zubir, 26, dan gitaris kumpulan Cokelat, Ernest Fardiyan Sjarif, 29, meluahkan rasa kesal mereka kerana diperdaya seorang pemandu teksi ketika melancong ke Amerika Syarikat baru-baru ini.

Kejadian tersebut diceritakan Nirina sendiri. Ia berlaku ketika mereka menaiki sebuah teksi untuk melawat Ground Zero, World Trade Center (WTC) untuk menyaksikan sendiri kesan peristiwa serangan 11 September 2001 lalu.

Awalnya, mereka merancang menggunakan kereta api bawah tanah menuju WTC, tetapi memikirkan mahu melihat-lihat kemegahan kota New York, mereka memutuskan untuk menaiki teksi.

"Malangnya kami ditipu pemandu teksi berkenaan. Padahal perjalanan tidak memerlukan masa yang panjang, tetapi pemandu berkenaan sengaja melengah-lengahkan masa dan mambawa kami bersiar-siar," jelas Nirina saat ditemui wartawan Indonesia pada malam pelancaran filem dokumentari, Amerikaku, di Jakarta baru-baru ini.

Kecurigaan Nirina dan Ernest semakin meluap-luap apabila pemandu berkenaan mula memberikan alasan bahawa ada kesesakan jalan raya dan harus mencari jalan alternatif.

"Kami bilang kalau jalan sesak hantar kami ke stesen kereta api, tetapi dia bilang kalau naik kereta api lebih teruk dan mengambil masa selama dua jam, padahal hanya lima minit sahaja," cerita Nirina.

Selain ditipu pemandu teksi, pengalaman disoal selidik oleh penguat kuasa di AS juga menyebabkan mereka merasa agak tertekan.

"Mereka asyik bertanya apa tujuan ke AS, mahu bikin apa? Semua petugas keamanan yang saya temui bertanya seperti itu," ungkap Ernest.

Menurut Ernest, nasib baik keadaan begitu tidak berlarutan kerana ada rakan-rakan yang turut sama dalam lawatan itu boleh menjernihkan suasana. Semua itu kenangan buat Ernest dan Nirina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: