Tuesday, May 5, 2009

Misi cari pembaca bertuah


Penyampaian hadiah kepada pemenang utama kategori pembaca, artis pada 13 Mei di Palace of the Golden Horses

MEMILIH pemenang bagi kategori pembaca di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008) memang tidak mudah kerana selain membuat membuat beberapa proses saringan, penganjur perlu pula memilih slogan yang paling kreatif.

Proses pemilihan slogan terbaik daripada kalangan pembaca diketuai oleh Pengarang Eksekutif (Rencana) Berita Harian, Norhayati Said; Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH2008 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah; Pengarang Bintang Popular Berita Minggu, Akmal Abdullah; Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan Pengurus Kanan Pemasaran NSTP, Wan Mohd Rapilin Wan Mohd Nor.

Hadiah utama bagi kategori pembaca ialah sebuah kereta Nissan Grand Livina 1.8L bernilai RM94,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, manakala hadiah kedua hingga keempat pula barangan kemas tajaan Rafflesia bernilai antara RM10,000 hingga RM50,000.

Selain itu, lebih 100 pembaca bernasib baik yang menyertai undian ABPBH2008 ini turut menerima pelbagai hadiah seperti barangan elektrik sumbangan JVC, perabot antik tajaan Empire Classice Furniture, fabrik daripada Euro Moda dan produk kecantikan tajaan Nano White.

Berdasarkan daripada borang pencalonan yang diterima, tidak dapat dinafikan sudah ada kesedaran daripada pembaca yang menyertai undian kali ini berubah sikap iaitu daripada membuat tekaan undian tepat kepada menghasilkan slogan yang inovatif.

Pembaca kali ini tidak menilai kepada populariti secara sembarangan saja, tetapi akan melihat faktor sampingan seperti bakat, kesungguhan, disiplin dan imej artis atau personaliti yang terpilih.

Ini menyebabkan kemenangan artis dalam beberapa kategori tertentu seperti yang diumumkan pada malam kemuncak ABPBH2008 di Arena of Stars Genting pada 12 April lalu menampilkan beberapa muka baru.

Mereka yang masih mengekalkan populariti masing-masing ialah Rosyam Nor bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Datuk Siti Nurhaliza (Penyanyi Wanita Popular), Aznil Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular), Faizal Ismail (Penyampai Radio Lelaki Popular), Fara Fauzana (Penyampai Radio Wanita Popular dan Penyampai TV Wanita Popular), Dynas (Pelakon TV Wanita Popular), Mawi (Penyanyi Lelaki Popular) dan Maya Karin (Pelakon Filem Wanita Popular).

Muka baru yang mendapat perhatian daripada pembaca sehingga mereka diundi sebagai popular dalam kategori masing-masing sudah tentunya Nabil yang meraih tiga hadiah iaitu Bintang Paling Popular, Pelakon Komedi Popular dan Artis Baru Popular.

Artis lain ialah Meet Uncle Hussain (Artis Berkumpulan/Duo Popular), Que Haidar (Pelakon Filem Lelaki Popular), Noorkhiriah (Artis Komedi Wanita Popular) dan Stacy (Artis Baru Wanita).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: