THE Merchants of Bollywood beraksi di Istana Budaya. |
Muzikal sejarah industri perfileman India gegar pentas Istana Budaya
MUNCUL sebagai produksi Bollywood pertama yang menjelajah terus dari Kota Filem Mumbai ke serata dunia, The Merchants of Bollywood bakal dipentaskan di Istana Budaya, pada 13 hingga 26 Julai nanti. Ia dibawakan ke negara ini oleh Asia Promote Ventures Sdn Bhd.
Pementasan muzikal ekstravaganza ini diarah dan ditulis oleh Toby Gough. Ia bercerita mengenai sejarah industri filem Bollywood dan dinamakan sempena Hiralalji Merchant dan cucu perempuannya, Vaibhavi Merchant, dua pereka tari disegani di India. Muzikal berkenaan dilihat sebagai kisah Billy Elliot versi India dengan tariannya direka sendiri oleh Vaibhavi.
Apabila persembahan itu sampai ke Australia pada Februari tahun lalu, mereka sudah pun mementaskan kira-kira 400 persembahan yang ditonton oleh 500,000 penonton. Muzikal itu juga sudah menjelajah ke United Kingdom, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.
Kata penerbitnya, Mark Brady, pementasan berkenaan bakal membawa penontonnya ke Bollywood, kota yang mempunyai industri perfileman terbesar di dunia. Lebih kurang 800 filem diterbitkan di sana dalam masa setahun, dengan 15 juta tiket dijual dalam masa sehari.
"Industri yang cukup besar itu memberikan kami pelantar untuk muncul dengan produksi yang hebat, penuh dengan warna, muzik serta tarian. Muzikal ini menyaksikan pementasan perdana yang amat berjaya di Australia pada 2005, disertakan dengan ulasan yang bagus juga. Sambutan hangat yang serupa turut diterima ketika kami menjelajah ke New Zealand, Switzerland dan Jerman. Penontonnya turut bergoyang di kerusi, bagaikan tidak mahu muziknya berhenti," kata Brady.
Kata kunci kepada kejayaan pementasan berkenaan, menurutnya ialah ketulenan kerana persembahan itu dicipta di tengah-tengah jantung Bollywood.
"Kumpulan kreatif kami terdiri daripada mereka yang cukup berbakat dalam industri perfileman Bollywood masa kini. Pereka tari yang amat disegani, Vaibhavi ialah nadi kepada muzikal terbabit, manakala gubahan muzik oleh Salim dan Sulaiman Merchant menyediakan nyawa kepada perjalanan cerita.
"Penarinya pula pernah menjayakan filem hebat Bollywood termasuk Lagaan, Dhoom, Paheli, Bunty Aur Babli, Rang De Basanti, Krishh dan filem terbaru yang menjadi kegilaan ramai, Kabhi Alvida Nak Kehna. Ramai juga di antara mereka yang pernah menjelajah bersama AR Rahman, Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Aishwarya Rai. Pelakonnya juga bakat yang bukan sebarangan dari pentas teater dan filem," ujar penerbit itu.
Muzikal berkenaan menampilkan lebih 40 penghibur di atas pentas, 20 lagi di belakang tabir, 1,200 helai pakaian, 2,500 barang perhiasan India dan muzikal itu sendiri tentunya akan terus menjelajah hingga ke waktu yang tidak ada penyudah.
Kata Brady, belum pernah industri filem India atau Bollywood dipertontonkan di atas pentas dengan begitu besar dan penuh kesungguhan. Keluarganya sudah membabitkan diri dalam penerbitan pementasan sejak 40 tahun lalu dan Brady dengan bangganya mengumumkan merekalah penerbitan pertama yang berupaya berbuat demikian.
The Merchants of Bollywood dilakonkan oleh Carol Furtado sebagai Ayesha Merchant, Arif Zakaria (Shantila Merchant), Chander Khanna (Tao), Pramod Pathak (Tony Bakshi), Romi Jaspal (Happy Singh) dan Deepak Rawat (Uday).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: