KARAK: Seorang pemborong ikan hanya mampu meraung menyebut nama Allah berulang kali apabila menyedari tangan kirinya putus selepas lori dinaiki bersama rakannya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 26.7, Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Azman Mat, 28, dan rakan kongsinya tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang lori berkenaan.
Kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu rakan Mohd Azman gagal dikawal lalu merempuh belakang treler yang bergerak di laluan tengah lebuh raya itu.
Pemandu lori berusia 30-an terbabit berjaya dikeluarkan anggota bomba manakala mangsa yang tersepit menjerit kesakitan akibat separuh badan terhimpit dan tangan kirinya putus.
| |
Bomba menggunakan alat pemotong hidrolik untuk mengeluarkan mangsa.
| |
Mangsa yang meronta kesakitan dapat ditarik keluar kira-kira 20 minit kemudian sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.
Mohd Azman bagaimanapun meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar yang dihubungi, berkata lori yang dinaiki mangsa merempuh belakang treler membawa besi di laluan mendaki di lebuh raya berkenaan.
Menurutnya, akibat pelanggaran kuat itu, mangsa tersepit dan putus tangan kiri manakala rakannya yang memandu lori berkenaan cedera ringan.
“Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang sebelum kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Jerantut, Pahang meninggal dunia jam 4 pagi manakala rakannya hanya diberi rawatan pesakit luar.
Kedua-dua mangsa yang menjalankan perniagaan sebagai pemborong ikan dalam perjalanan ke Pasar Borong Selayang.
“Polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) atas kesalahan memandu dalam keadaan cuai hingga mengakibatkan kemalangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: