
SELEPAS 44 hari melahirkan puteri sulungnya, Engku Aleesya Engku Emran, akhirnya Erra Fazira menunaikan janji untuk mempertontonkan permata hatinya itu secara rasmi kepada khalayak.
Seperti yang dijelaskan pada saat Aleesya dilahirkan lebih sebulan lalu, kata Erra dia tidak berniat untuk menyorokkan anaknya atau cuba membuat sebarang gimik.
Sebaliknya dia berpegang teguh pada pendirian yang dicapai sekeluarga untuk 'menyimpan' Aleesya buat tatapan keluarga dahulu dalam tempoh tersebut.
Maka pada majlis cukur jambul yang diadakan semalam dalam balutan warna lembut merah jambu yang mendapat kerjasama dua penaja iaitu Cradle dan Butik Linda Rahim yang mengelola semua kelancaran majlis, Erra tidak lagi lokek.
Aleesya dipertontonkan tanpa sempadan. Sungguh, memang bayi comel itu memiliki raut wajah semanis Erra. Bibirnya juga seperti yang dikatakan suami tercinta, sungguh mirip Erra juga.
Dan Erra yang sepanjang berpantang menghabiskan masa menonton televisyen serta menggemari siri Mukjizat Tuhan di saluran Aruna, berbicara tentang kehidupan barunya yang kata Erra penuh dengan manis dan kelat yang seimbang.
Bagaimana dengan kesihatan Erra dan Aleesya sekarang?
Alhamdullilah, saya sihat dan Aleesya juga sihat. Sepanjang tempoh 44 hari, dia pun tak ada kena sebarang jangkitan atau demam kuning seperti yang selalu dialami bayi-bayi lain.

Semuanya baik-baik belaka. Aleesya pun sudah mencapai berat enam kilogram.
Ini pengalaman pertama bergelar ibu. Bagaimana Erra membiasakan diri dengan situasi baru?
Pengalaman 44 hari ini memang saya tak pernah jangka. Manis dan kelat bercampur. Jujur, saya pernah menangis sebab tak tahu nak buat apa bila Aleesya asyik menangis sedangkan susu sudah diberi, lampin sudah ditukar.
Tapi rupa-rupanya dia kembung perut. Jadi saya belajar dan paling elakkan anak kembung perut.
Aleesya sudah pandai apa? Bergilir dengan Emran menjaganya?
Dia suka main buih mulut dan terbaru, agaknya lepas sedar dia ada vokal, asyik menjerit sahaja.
Emran? Dia penyabar dan kemudian panggil saya kalau Aleesya nak apa-apa.
Okey, akhirnya Erra menunjukkan Aleesya kepada umum seperti yang dijanjikan. Mungkin ada perkara yang Erra nak jelaskan juga bila orang kata Erra sorok anak selama ini?
Bukan, saya bukan sorok anak dan tak timbul isu sorok anak. 44 hari itu tempoh berpantang dan lepas pantang, kita buat majlis cukur jambul.
Memang tak ada niat sorok, tapi kalau ada yang masih buat tafsiran saya sorok anak, terpulang. Sedangkan pada pemahaman saya, ini tak sorok, tapi saya kasihan dia.
Tunggu dia besar sikit untuk dipertontonkan. Dan paling penting, saya tunaikan janji saya untuk mempertontonkan Aleesya pada majlis cukur jambul ini.
Tapi sayang juga bila ada pihak yang kurang bertanggungjawab menyebarkan gambar Aleesya terlebih dahulu di Internet.
Itu benar gambar Aleesya?
Terima kasih pada yang tak sabar. Sebab orang dah tengok, saya tak nafikan, tapi secara formal, saya belum lagi mendedahkannya.
Jujur, saya pun tak kesal sangat sebab saya tak berapa yakin itu Aleesya kerana waktu pada gambar tersebut menunjukkan pukul 12, kalau nak diikutkan saya masih di dalam bilik pembedahan.
Tapi saya tak tahu kalau ada juga yang curi ambil gambar yang membuatkan saya berasa sekurang-kurangnya saya tahu siapa yang amanah dan siapa yang tidak.
Maksudnya lepas ini kebarangkalian Aleesya diminta buat fotografi tipis ya?
Bukan begitu. Mesti boleh, misalnya untuk raya atau fotografi keluarga. Pendek kata, harus relevan sebenarnya sebab seperti yang pernah saya dan Emran katakan sebelum ini, kami kurang gemar membawa Aleesya masuk dalam lime light ini.
Bagaimana dengan aktiviti seni? Anda sedang dalam rejim yang berat untuk berdiet?
Oh, soal berat badan jangan tanya, terluka jiwa. Sebab saya sudah terlebih 13 kilogram daripada berat asal. Sekarang banyak berurut dan selepas ini akan menjalani program Slim World.
Dan saya akan memulakan penggambaran telemovie pada Jun depan. Juga bakal muncul dengan program realiti saya sendiri yang menampilkan aktiviti harian saya bersama Aleesya terbitan Erra Fazira Entertainment dan Box Lite Film.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: